Home >> Blog >> Aku, Restoran dan Pelayan

Aku, Restoran dan Pelayan

by Kulanzsalleh on September 13, 2009

Suatu hari aku terpaksa pergi ke ibu kota kerana ada urusan yang perlu aku laksanakan. Memandangkan perjalananku kali ini secara mendadak dan tidak dirancang, aku terpaksa pergi bersendirian. Isteriku tidak sempat mengambil cuti untuk menemaniku. Sepanjang perjalanan aku rasa bosan kerana tiada kawan untuk berbicara. Selalunya isteriku yang menemankan aku terutamanya ketika perjalanan jauh.

Lebih kurang tiga jam perjalanan, aku tiba di tempat yang dituju. Tanpa berlengah aku segera melunaskan apa-apa yang perlu dalam urusan tersebut. Semuanya selesai dalam tempoh tidak sampai 30 minit. Aku memerhatikan jam tanganku yang sudah menunjukkan hampir pukul 12.00 tengah hari. Apabila teringat saja waktu itu, tentu sekali terbayang di fikiran untuk mengisi kekosongan perutku yang dari pagi hanya diisikan dengan segelas kopi o.

Setelah meletakkan kereta di tempat yang sepatutnya, aku segera menyusur laluan pejalan kaki dan menuju ke sebuah pusat membeli belah di ibu kota itu. Tujuanku sudah tentu untuk ke ruang makan yang terletak di aras paling bawah kompleks berkenaan. Namun sebelum sampai ke tempat itu, aku melalui satu bangunan yang terdapat banyak meja dan kerusi. Rupa-rupanya bangunan tersebut adalah sebuah restoran. Ketika mendekati pintu masuk restoran berkenaan, aku disapa oleh seorang penjaga pintu pelayan restoran berkenaan dan mempelawa aku masuk sambil menunjukkan beberapa menu yang menurut pelayan tersebut mungkin aku sukai… Aku berusaha menolak pelawaan itu tetapi tetap dipujuk oleh pelayan berkenaan. Akhirnya aku tertarik untuk masuk disebabkan pelayan itu berjanji yang restoran berkenaan pasti akan menghidangkan sajian makanan kesukaanku dan pastinya aku sangat berpuas hati dengan layanan yang akan diberikan nanti. Tambahan pula, pelayan itu cukup manis dan sukar untuk aku menolak pelawaannya.

Sejurus selepas duduk di kerusi empuk di restoran berkenaan, pelayan itu menghulurkan menu restoran sambil mencadangkan beberapa makanan yang kononnya sangat popular di restoran berkenaan. Aku yang kurang biasa dengan menu tersebut tanpa banyak soal terus memesan makanan yang dicadangkan. Dalam fikiranku, tidak salah mencuba sesuatu yang baru. Kebetulan pula poket tengah ‘berisi’. Pelayan itu kemudiannya menulis pesananku sambil memberitahu yang makananku akan dihidangkan segera. Kemudian dia lantas beredar meninggalkan aku.

Sementara menunggu makananku siap, aku memerhati sekeliling restoran berkenaan. Pada masa itu tidak ramai pengunjung berada di sana. Dalam fikiranku, tentunya pesananku akan siap dalam masa yang singkat. Jadi bolehlah aku menikmati hidangan yang menyelerakan.

Setelah duduk lebih kurang 10 minit, pelayan sebentar tadi datang. Apa yang menghairankan dia tidak membawa makanan seperti yang dipesan, sebaliknya hanya menghulurkan segelas oren dan menu yang telah aku belek-belek sebentar tadi. Dalam keadaan selamba, senyuman manis dan lirikan mata yang menawan, pelayan tadi memberitahu bahawa makanan yang aku pesan itu tidak dapat disediakan disebabkan kehabisan bahan. Lalu dia sekali lagi mencadangkan sejenis menu yang kononnya dapat memenuhi selera dan memuaskan hatiku.

Sekali lagi dalam keadaan yang tidak banyak bicara, mungkin terpukau dengan kelembutan suara dan keayuan pelayan restoran berkenaan aku memerhati menu yang dicadangkan. Perhatianku kini tertumpu kepada hidangan yang menurut pandanganku hampir sama lazatnya dengan pesanan yang pertama tadi. Aku baca dengan teliti setiap jenis makanan yang termasuk dalam hidangan itu. Bahkan turut aku perhatikan dengan penuh selera gambar hidangan yang menjadi penghias menu berkenaan. Dalam fikiranku, sudah tentu makanan ini juga sedap. Akhirnya tanpa berfikir dua kali, aku memesan makanan tersebut. Pelayan tadi mengambil pesanan dan meninggalkanku sendirian. Setelah kelibat pelayan itu sudah tidak kelihatan, aku mula membayang-bayangkan sesuatu. Tanpaku sedari senyuman mula terukir di bibirku. Mungkin sebab masih terbayang keayuan pelayan tadi dan sebentar lagi dapat pula menikmati hidangan di restoran terkemuka. Setidak-tidaknya, aku akan pulang ke kampung pada petang ini dengan sedikit kepuasan.

Penantianku selama lebih kurang 15 minit setelah pesanan kedua diambil kini berakhir dengan kedatangan dulang makanan yang dibawa kemas oleh pelayan yang sama tadi. Aku dengan senyuman menyambut kedatangan kedua-duanya. Pelayan tadi membalas senyuman dan menghidangkan makanan di hadapanku. Pandangan mataku seolah-olah berat untuk beralih daripada senyuman manis pelayan itu. Namun akhirnya aku terpaksa mengalah setelah pelayan tadi dengan lemah lembut menunjuk ke arah hidangan dan mempelawa aku makan. Aku hanya senyum tanpa berkata apa-apa. Dengan pantas aku mencapai sudu dan garpu yang diletakkan di tepi pinggan dan mula untuk menyudu makanan. Tetapi alangkah terkejutnya aku apabila makanan yang dihidangkan itu tidak sama seperti yang terdapat pada menu. Apa lagi jika dibandingkan dengan gambar makanan dalam menu itu.

Entah kenapa tiba-tiba perasaan gembiraku ditolak kuat oleh perasaan geram dan marah. Aku segera memanggil pelayan tadi yang kebetulan masih lagi berdiri hampir dengan mejaku. Aku beritahu yang pelayan tadi mungkin sudah tersilap menghantar makanan. Tetapi dengan yakin dia memberitahu bahawa makanan tersebut adalah sama dengan apa yang aku pesan sebentar tadi. Bahkan dia menunjukkan semula pesananku yang ditulis di buku nota yang dipegangnya.

Disebabkan rasa kecewa dan tidak puas hati, aku menyuruh pelayan itu memanggil boss pemilik atau tukang masak restoran berkenaan. Mungkin takut dengan suaraku yang mula kasar dan muka yang masam mencuka, pelayan itu segera beredar menuju ke ruang dapur. Tidak lama kemudian, kelihatan pelayan itu muncul semula bersama seorang lelaki yang memakai pakaian ala tukang masak. Lelaki itu memperkenalkan diri dan memberitahu bahawa dia adalah ketua tukang masak di restoran berkenaan. Aku tanpa berlengah segera mengadukan masalah berkenaan pesananku. Aku jelaskan satu persatu, dari A sampai Z bagaimana aku boleh sampai ke restoran tersebut dan sampailah ke bab pesanan aku sampai. Apa yang memeranjatkan, tukang masak itu juga memberitahu aku bahawa pesanananku itu memang betul seperti dalam menu. Aku mula terasa seperti dipermainkan. Perasaan marah makin meluap-luap dan aku tetap menegaskan bahawa mereka tersalah hantar makanan kepadaku kerana makanan di atas meja itu tidak sama seperti yang terdapat dalam gambar di menu. Kini giliran tukang masak itu pula naik radang dan memberitahuku yang makanan sebenar memang tidak sama dengan makanan dalam gambar. Setelah itu, dia turut memarahi aku sebab mengadu pasal masakannya. Menurutnya, aduanku itu boleh menjatuhkan reputasinya.

Aku jadi keliru dan tambah tidak puas hati. Adakah patut aku yang buat aduan, aku pula yang kena marah. Apa lagi, mulalah aku bertekak dengan tukang masak itu. Aku memarahi tukang masak itu dan menuduh mereka menipu pelanggan. Menu yang disediakan ditulis di kertas bukan main hebat lagi. Tapi lain pula dengan apa yang disediakan di atas meja. Bahkan aku turut mengungkit kata-kata pelayan di awal tadi yang kononnya aku akan berpuas hati dengan layanan restoran berkenaan. Sedangkan apa yang aku peroleh tidak sama dengan apa yang dikatakannya. Aku terus meluahkan apa yang terlintas di fikiran masa itu. Aku sudah tidak peduli orang di sekeliling yang dari tadi memerhatikan gelagat kami. Apa yang penting, aku dapat luahkan apa yang perlu. Aku sama sekali tidak akan mengalah dengan tukang masak itu. Bahkan berulang kali aku katakan yang restoran itu tidak menepati standard yang sepatutnya. Aku terus luahkan.. dan luahkan… dan marah
..

Dalam keadaan marah yang hampir tidak dapat dikawal dan hampir menampar tukang masak, aku terdengar satu suara yang seolah-olah berbisik di telingaku….

“bang…”.

Suara itu benar-benar mengejutkanku. Aku terkedu seketika. Cuba mendengar dengan teliti kalau-kalau bisikan itu muncul kembali. Memang benarlah ada suara berbisik ke telingaku.. dalam beberapa detik, sekali lagi panggilan yang sama kedengaran. Tapi kali ini lebih jelas daripada sebelumnya. Walaupun panggilan itu tidak menyebut namaku, namun aku cukup yakin panggilan itu ditujukan kepadaku. Secara tiba-tiba perasaan marah yang tadinya meluap-luap telah hilang. Diganti pula dengan perasaan keliru dan hairan. Aku tertanya-tanya bagaimana suara seorang wanita yang cukup aku kenali boleh kedengaran masa itu. Tapi di mana dia? Mataku melilau melihat sekeliling. Aku tambah keliru…

Tiba-tiba, suara yang lebih jelas kedengaran lagi.

“Bang, dapat guna internet sekarang ni?” Aku benar-benar terperanjat apabila kelibat isteriku berdiri betul-betul di hadapanku. Aikk.. interprem juga isteri aku… kenapalah dia muncul masa sekarang ni. Dalam keadaan terkejut beruk, aku segera menjawab..

“Mana dapat… sudah sehari begini…. Asyik-asyik streamyx down…”

Adussss… baru aku sedar.. rupa-rupanya aku mengelamun sendiri di hadapan PC ku… inilah gara-gara tidak dapat guna talian internet. Inilah gara-gara streamyx problem lagi… Geram betul.. Mau saja aku tempeleng ni streamyx… Beginilah selalunya yang berlaku.. apa lagi kalau hujung minggu… kalau setakat sejam dua jam tu kira okey lagi.. tapi ni sampai sehari.. kadang tu ada overtime juga.. sampai sehari semalam…mau ditambah lagi dasyatnya… dalam seminggu memang nasib baiklah kalau problem macam ni berlaku bawah 5 kali… selalunya berbelas-belas kali… tambah lagi dengan elektrik yang selalu mati terputus..

Lagi bikin panas hati, time orang update blog/website atau tengah-tengah chat, tiba-tiba streamyx down… buat malu betul kalau orang lain tengok blog aku yang tidak set betul-betul…nanti orang tertanya-tanya, kenapa tiba-tiba hilang dari chatroom.. mesti kena marah oleh isteri.. hahaha lawak betullah…

Buat aduan??? Banyak kali dah…. sudah buat aduan berjuta-juta lemon… tapi masalah tetap sama.. lepas buat aduan pula.. ambil masa 12 – 24 jam baru dapat respon.. huh, punyalah tension menunggu…

Aku bukannya berkira sangat pasal bayaran… RM110 sebulan tu apalah sangat kalau dibandingkan dengan kepentingannya internet ni… tapi mana tahan kalau connection asyik-asyik bermasalah… tu baru untuk kegunaan peribadi.. kalau untuk bisnes… alamat lingkuplah bisnes orang…

Tapi fikir punya fikir.. mungkin ada hikmahnya juga strimik ni down di hujung minggu.. mungkin kita disuruh berehat daripada menghadap PC atau layan internet ni… disuruh bersama keluargalah konon-kononya… baguslah juga… cuma lagi bagus kalau ada penambahbaikan… jadi, tidak perlulah tunggu berjam-jam untuk dapat connection! Tidak perlulah hati menyumpah-nyumpah sebab tidak dapat buat kerja gara-gara strimik down..

Jadi cerita pasal pelayan restoran dan tukang masak tu sebenarnya hanya rekaan minda aku semata-mata…Tapi memang ia mewakili seseorang atau sesuatu. Faham-faham sendiri sajalah… watak tu kiranya macam aku dengan PC, internet dan strimikku.

Ni kes semalam (12 Sept)… Dari petang tidak dapat connection.. pastu tengah malam cuba lagi.. harap2 masa tu okey lah.. tapi selepas lebih dua jam connection.. data yang diterima sebanyak tu saja… kiranya memang tidak dapat guna jugalah… Sampai tengah hari 13 Sept pun masih belum ada connection.. nasib baiklah sebelah petangnya connection dah pulih… Jadi sempatlah aku buat pos ni.. hahaha.


Jika anda dapati artikel ini bermanfaat, anda boleh kongsikan kepada pembaca lain.






Terima kasih kepada semua pembaca Kulanzsalleh.com. Semua Artikel di blog ini adalah berdasarkan pandangan peribadi saya sendiri melainkan artikel berbentuk ilmiah, berita, petikan dan perkongsian lain yang tiap satu akan saya nyatakan sumber asalnya (Baca Terma & Syarat). Jika anda dapati artikel di blog ini bermanfaat, anda boleh kongsikan kepada pembaca lain di FACEBOOK atau TWITTER.

Leave a Comment

Previous post:

Next post:


leaderboard denaihati Banner