Bonus Raya 2013

Kemaskini 24 Julai 2013 (Baca sini): Bonus Raya 2013 Sebulan Gaji dan Bantuan Kewangan RM500

Nampaknya ramai juga yang percaya bahawa kerajaan telahpun mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji sempena Hari Raya tahun 2013. Apa tidaknya, ramai penulis blog/portal berita celup yang menyalin (copy-paste) berita tahun lepas yang dikitar semula. Kebanyakannya pula menggunakan tajuk yang hampir sama “PM: Bonus Aidilfitri bukti kerajaan ikhlas, dibayar 9 Ogos“.

Perihal bonus raya 2013 ini sebenarnya sudah timbul sejak bulan lepas. Ramai yang berkongsi cerita ini berdasarkan rujukan kepada artikel di Portal Berita Harian bertarikh 29 April 2013 (rujukan mendapati artikel itu telah dipadam). Pada mulanya saya juga percaya dengan berita tersebut walaupun tarikh yang ditetapkan untuk pemberian bonus adalah tidak logik (9 Ogos adalah jatuh pada hari raya ke-2). Alasan saya, semasa pengumuman dibuat tarikh hari raya belum ditetapkan.

Apapun saya bukan jenis yang terlalu ghairah menulis sesuatu tanpa membuat rujukan. Selepas semakan dibuat, saya dapati tarikh 9 Ogos adalah sama dengan pemberian bonus 2012 lepas. Bahkan jika pembaca menggunakan enjin carian untuk ayat “Pemberian bonus kepada penjawat awam merupakan bukti keikhlasan kerajaan memperjuangkan kepentingan untung nasib rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak” pasti pembaca akan dapat berita yang sama diterbitkan pada tahun lepas (2012), bulan lepas hinggalah 2-3 hari lepas. Inilah namanya berita kitar semula.

Saya bukan sibuk untuk menyalahkan penulis blog yang terlalu ghairah berkongsi berita sebegini. Cuma rasa kasihan dengan beberapa pembaca yang bersungguh-sungguh percaya dengan berita yang dibaca. Mengharap bonus untuk menampung perbelanjaan raya terutama bagi keluarga yang besar namun kecewa apabila mengetahui berita yang dibaca adalah palsu.

Saya? Tipulah kalau saya kata saya tidak berharap dapat bonus raya. Tetapi kalau tiada pun saya tidaklah kecewa sangat hingga tidak bersemangat untuk bekerja atau tidak akan menyambut hari raya. Sebabnya saya tahu kerajaan pun belum umumkan apa-apa tentang bonus. Kalau ada baik, kalau tiadapun, masih bersyukur kerana 1 KGT yang diterima pada bulan Julai ini boleh dianggap bonus juga.

Jadi kepada pembaca semua, sehingga kini memang tidak ada pengumuman tentang pemberian bonus raya 2013. Yang ada hanyalah penjelasan daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN) bahawa kerajaan masih belum berbincang mengenai pemberian bonus kepada 1.4 juta penjawat awam sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Bonus Raya 2013

Jadi diharap janganlah kecewa dengan berita-berita yang dibaca sebelum ini. Tunggulah kalau ada berita baik nanti pasti akan dimaklumkan kelak. Selalulah kita berusaha dan berdoa semoga sentiasa dimurahkan rezeki. Selamat berpuasa di bulan Ramadan dan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan berjimat-cermat.

p/s: Kepada penulis blog, tak salah copy-paste berita, tapi pastikan buat beberapa rujukan untuk memastikan kesahihan berita tersebut. Jangan kecewakan pembaca anda.

Please like & share:

Comments

  1. says

    semalam pun kawan2 dah sebarkan cerita pasal bonus ni. Cuma saya x berapa nak caye sebabnya KGT pun dalam proses lagi manakan nak bagi bonus pulak.

    Tak usah berharap sangat2 pasal bonus tu nanti kecewa merana badan.

  2. says

    Itulah namanya blogger kitar semula, mereka tak tahu nak blog apa, kerja copy paste saja tanpa periksa kesahihan cerita yang di share mereka. Kalau nasib tak bagus seperti blogger hiburan kena saman baru tau pening kepala.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>