Apabila Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) menggariskan rasuah sebagai salah satu teras utama yang harus diperangi, ia secara tidak langsung mempamer sisi gelap sektor perkhidmatan awam yang tidak pernah lekang dengan imej rasuah di pelbagai peringkat.
Peletakan Indeks Prestasi Utama (KPI) kepada jurusan NKRA tersebut jelas menunjukkan kerajaan mempunyai sasaran khusus untuk mengukur usaha dan pencapaian dalam memerangi gejala itu untuk satu tempoh masa yang dijanjikan.
Namun, apabila kerajaan komited melakukan proses transformasi melalui pengurusan berteraskan pencapaian dengan menggunakan kaedah penetapan NKRA dan KPI, adakah rakyat bersedia untuk bersama menggembleng tenaga dan usaha bagi merealisasikan hasrat itu?
Kepincangan dalam organisasi barangkali wujud hanya disebabkan sedikit individu yang menjadi racun kepada pembangunan organisasi secara keseluruhan. Bukan sahaja rasuah, tetapi produktiviti dan kemahiran yang tidak mencapai kualiti yang diharapkan.