Isu-Isu Pendidikan di Malaysia

Ditulis oleh: kulanz ~ pada: August 6th, 2009.
WP Greet Box icon
Hello there! If you are new here, you might want to subscribe to the RSS feed for updates on this topic.

Tanggungjawab sistem pendidikan adalah untuk menyediakan generasi muda dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran supaya mereka dapat menghadapi alam dewasa. Dalam konteks menyediakan pendidikan yang ideal, tujuan dan matlamat pendidikan negara pada abad ke 21 amat jelas sekali. Kementerian Pendidikan telah menyusun dan merancang untuk memperbaiki, memperkukuh, dan mempertingkatkan mutu pendidikan negara sesuai dengan perubahan sosialisasi masyarakat hari ini. Salah satu unsur yang penting adalah memberikan peluang pendidikan yang sama kepada semua pelajar tanpa mengambil kira budaya, kelas sosial, kelompok etnik dan amalan atau cara hidup.

Dalam buku Pembangunan Pendidikan 2001-2010 (KPM, 2001). Kementerian Pelajaran Malaysia menyatakan bahawa pembangunan pendidikan dari Zaman Dasar Pembangunan hingga ke Zaman Dasar Wawasan Negara telah berjaya mencapai banyak kemajuan khususnya dalam penyediaan infrastruktur, kemudahan pendidikan dan latihan perguruan. Strategi meningkatkan peluang pendidikan berjaya mencapai sasarannya. Walau bagaimanapun, apa yang dilihat pada masa ini masih terdapat pelbagai isu yang ditimbulkan berkaitan dengan pencapaian Dasar Pendidikan Kebangsaan, antaranya perkara berhubung sengan struktur pendidikan; akses kepada pendidikan; ekuiti; kualiti tenaga pengajar; ketidakseimbangan penyediaan infrastruktur; Pelaksanaan Program PPSMI; dan kurikulum yang relevan. Ini selaras dengan pendapat Sufean (2004) yang menyatakan terdapat banyak isu pendidikan yang boleh dikatagorikan iaitu pentadbiran, peringkat pendidikan, teknologi pendidikan, organisasi sekolah dan keguruan.

Struktur Pendidikan
Beberapa isu berkaitan dengan struktur pendidikan antaranya termasuklah struktur pendidikan menengah yang tidak selaras kurang menepati keperluan, misalnya:

  • Bilangan tahun persekolahan struktur pendidikan Malaysia tidak sama dengan kebanyakan negara lain di dunia;
  • Tidak terdapat keseragaman dalam kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disebabkan wujudnya pelbagai haluan;
  • Kebanyakan pelajar memilih untuk menamatkan persekolahan mereka selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); dan
  • Skop kurikulum Tingkatan 1 hingga 6 sangat luas.

Akses Pendidikan
Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, KPM telah memperkenalkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau Information and Communication Technology (ICT) dalam pendidikan yang meliputi aspek prasarana, pengisian dan latihan guru. KPM telah melaksanakan pelbagai projek ICT dengan pembekalan komputer sebagai aktiviti utama penyediaan infrastruktur ICT. Namun isu dan masalah yang menjejaskan usaha penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antara masalah tersebut adalah berkaitan dengan:

  • pembekalan komputer yang tidak seimbang antara sekolah bandar dan luar bandar;
  • perisian komputer untuk P&P yang sesuai sukar diperoleh;
  • latihan dalam perkhidmatan untuk guru mengendalikan sistem komputer di sekolah yang kurang berkesan;
  • penyenggaraan komputer yang kurang memuaskan di sekolah; dan
  • bilangan guru terlatih dalam ICT yang belum mencukupi.

Justeru adalah menjadi cabaran kepada KPM untuk memastikan setiap sekolah akan memperoleh komputer menjelang usaha menjadikan setiap murid dan guru celik ICT.

Ekuiti Pendidikan
Dalam pelaksanaan Pembangunan Pendidikan 2001-2010, setiap institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan dipastikan mempunyai infrastruktur yang berkesan yang mencukupi dan berkualiti untuk pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum yang berkesan. Oleh itu, input pendidikan yang meliputi guru, peruntukan kewangan, bahan dan peralatan pengajaran serta program sokongan akan diagih secara adil ke semua sekolah bagi mengurangkan jurang perbezaan antara sekolah beruntung (advantaged school) dan sekolah kurang beruntung (disadvantaged school). (Sumber: Pembangunan Pendidikan 2001-2010, KPM).

Namun, setelah lebih kurang tujuh tahun pelaksanaan program tersebut, masih terlalu banyak sekolah-sekolah di Malaysia yang belum dapat menikmati kemudahan yang dijanjikan. Ini menyebabkan timbulnya beberapa isu yang dikaitkan dengan ekuiti atau peruntukan yang disediakan oleh KPM tidak mencukupi untuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Sebagai contoh, kementerian tidak menyediakan prasarana yang amat diperlukan, seperti bilik darjah yang mempunyai kemudahan khusus, terutamanya sekolah-sekolah luar bandar atau pedalaman. Selain itu, kemudahan lain seperti sumber pengajaran dan pembelajaran dan kelengkapan buku teks juga masih berkurangan.

Tenaga pengajar
Kekurangan tenaga pengajar yang berkemahiran turut menjadi isu dalam pelaksanaan pendidikan pendidikan yang berkesan. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Perancangan Pembangunan Pendidikan (BPPDP) Kementerian Pelajaran Malaysia, pada tahun 2000 sebanyak 61.8 guru terdiri daripada guru perempuan dan KPM menghadapi masalah menempatkan mereka di sekolah luar bandar, khususnya di pedalaman dan pulau. Kebanyakan sekolah di pedalaman dan pulau mendapat guru yang kurang berpengalaman atau kurang latihan. Keadaan ini juga turut menyebabkan berlaku ketidaksepadanan (mismatch) dalam pengagihan guru mengikut opsyen. Maka berlakulah keadaan di mana kebanyakan guru yang mengajar di sekolah menjadi “bidan terjun”. Guru yang bukan opsyen terpaksa mengajar mata pelajaran kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris bagi memenuhi keperluan pelajar. Disebabkan kurang pengalaman dan pengetahuan tentang subjek berkenaan maka kewibaan guru dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar mula dipertikaikan.

Program PPSMI
Sejajar dengan matlamat ingin melahirkan pelajar yang “bertaraf dunia”, KPM juga telah melaksanakan Program Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Walau bagaimanapun penggunaan bahasa Inggeris sebagai pengantar subjek sains dan matematik telah mendapat respon yang negatif daripada rakyat. Ini kerana penggunaan bahasa asing bukan sahaja merosakan kedudukan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa ilmu, tetapi turut memusnahkan reputasi pelajar, khususnya di luar bandar. Mereka belajar melalui medium yang mereka tidak faham. Komunikasi tidak berkesan dalam pelajaran sudah tentu memberi kesan yang buruk.

Kesan globalisasi
Selain daripada itu, isu-isu berkaitan pendidikan juga turut melibatkan penggunaan internet. Era dunia tanpa sempadan atau globalisasi telah memudahkan maklumat diperoleh dengan cepat dan berkesan melalui internet atau laman-laman web dan sebagainya melalui komputer. Implikasinya, isu-isu Moral semasa khususnya isu-isu yang membabitkan nilai-nilai sosial menjadi begitu kompleks dan menjadi sukar untuk diselesaikan. Fenomena ini disebabkan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia yang ingin diterapkan bercanggah dengan nilai-nilai di Barat atau negara-negara maju yang lain yang mana mereka lebih mementingkan materialistik, individualistik dan budaya kosmopolitan.

Sahsiah Pelajar
Kualiti sahsiah pelajar pada pelbagai peringkat pendidikan juga turut menjadi isu dan dipersoalkan kerana masih terdapat sebilangan pelajar rendah yang naik ke sekolah menengah, atau pelajar menengah rendah yang naik ke Tingkatan 4 memiliki kualiti sahsiah yang kurang baik. Hal ini berlaku pada kebanyakan murid tanpa mengira kaum dan agama. Sebagai contoh, tabiat merokok di kalangan pelajar, gejala vandalisme, melepak, ponteng sekolah dan sebagainya di kalangan pelajar sekolah semakin menjadi-jadi.

Isu-isu lain dalam sistem pendidikan
Selain isu-isu yang dikemukakan di atas, terdapat pelbagai lagi isu yang timbul berkenaan pencapaian Dasar Pendidikan Kebangsaan, antaranya:

  • Kepimpinan sekolah masih tidak dapat berfungsi sepenuhnya sebagai pemimpin pengurusan dan pemimpin pengajaran (instructional leadership) yang berkesan;
  • Pengupayaan kepada sekolah adalah terhad. Semua sekolah masih perlu mengikuti satu sistem, prosedur dan pendekatan yang seragam dan tidak mengambil kira kemampuan, keupayaan khusus dan potensi untuk sekolah melaksanakan dasar dan program pendidikan sendiri;
  • Layanan yang sama diberi kepada semua sekolah walaupun pada realitinya sekolah mempunyai keperluan, kekuatan dan kelemahan serta keupayaan yang berbeza;
  • Keselamatan di sesetengah sekolah masih belum terjamin sepenuhnya;
  • Penandaarasan bagi menjamin sekolah di Malaysia setanding dengan sekolah di negara maju adalah terhad;
  • Struktur organisasi antara lapisan pentadbiran di KPM yang tidak setara menyebabkan penyaluran dasar dan pelan pelaksanaan kurang sistematik dan berkesan;
  • Sistem penyampaian masih belum cekap dan berkesan khususnya daripada aspek pemberian bantuan; dan
  • Sistem maklumat tidak menyeluruh dan tidak bersepadu.

Artikel Lain Yang Mungkin Berkaitan:

17 Responses to Isu-Isu Pendidikan di Malaysia


  1. Kulanz Salleh

    Penulisan ini dibuat berdasarkan keperluan tugasan. Oleh itu, berkemungkinan terdapat pernyataan yang dituliskan secara ringkas sahaja. Rujukan dan pembacaan lanjut perlu dibuat bagi mendapatkan maklumat yang benar-benar terperinci. Harap maklum.

    [Reply]

    farhah Reply:

    salam..en.kulanz sy telah amik penulisan en.sbg rujukan tugasan yg perlu sy buat..sy perlukan nama penulis untuk diletakkan di bhgn rujukan..boleh x sy minta nama penuh en. kulanz??sy letak url website en. tp lectrr nk nm penuh penulis..sy brhrp dpt kerjasama dr en…please..

    [Reply]

    kulanz Reply:

    salam..
    laaa.. kena bagi nama penuh jg ker? hehe
    Cik farhah boleh rujuk sini atau di sini. Saya ada letak nama penuh di page tu..

    terima kasih sudi singgah..

    [Reply]

    farhah Reply:

    dh dpt..tima ksh byk2 kerana sudi membantu..alhamdulillah lega rs..

    [Reply]


  2. Kulanz Salleh

    Saya juga memiliki penulisan asal berkenaan tajuk ini (yang belum disingkatkan).. sekiranya ada sesiapa yang memerlukan.. hanya perlu hantar hantarkan komen atau email kepada saya.. Hanya sebagai perkongsian dan saya tidak meminta apa2 bayaran.. :)

    [Reply]


  3. zarinaZ

    saya sngt berminat utk share idea dgn awak..blh x tlg email apa2 pendapat awak kpd saya..hasmariena[at]yahoo[dot]com..tlg ye..TQ

    [Reply]

    kulanz Reply:

    Terima kasih zarinaZ, tentang share idea xda masalah, sya dah emailkan pertanyaan kpd cik..

    [Reply]


  4. hellen

    hi.
    sy terpikat dgn isu keselamatan disesetengah sekolah belum terjamin sepenuhnya…maka diperkenalkan Program sekolah selamat (kalau sy tak silap). apa agaknya sekolah slamat ini?apa pengertian saudara ttg skolah slamt ini?

    [Reply]

    kulanz Reply:

    Program Sekolah Sekolah Selamat asalnya adalah salah satu komponen Program 3K (Keselamatan, Kesihatan & Keceriaan) yang dilaksanakan di sekolah2 di Malaysia (Ketiga-tiga program ini telah dilaksanakan secara berasingan sejak 2004-penyusunan semula).

    Matlamat Program Sekolah Selamat ini adalah bagi memastikan setiap warga sekolah memiliki kesedaran tentang keselamatan di sekolah yang diterjemahkan melalui sikap dan tingkahlaku sensitif, prihatin dan tanggungjawab profesional untuk menjamin suasana pembelajaran dapat berjalan dengan baik. Di samping itu pelaksanaan program ini adalah bagi mewujudkan persekitaran sekolah kondusif, agar warga sesebuah sekolah itu merasa selamat untuk menjalankan aktiviti P&P serta menjalankan kegiatan kokum tanpa gangguan dari mana-mana pihak sama ada dari luar mahu pun dari dalam.

    Harap penjelasan ini dapat menjawab persoalan di atas atau jika perlukan maklumat lanjut, boleh hubungi saya melalui ruangan [contact] di menu atas.
    Untuk maklumat lain boleh juga sila rujuk – SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 4/2002 (dapatkan di google)

    Terima kasih krn sudi berkunjung ke blog ni..

    [Reply]


  5. azhar

    Tuan…. tulisan ttg isu amat menarik…saya berminat untuk mendapatkan rujukan lanjut. Bolehkah tuan beri maklumat untuk saya membuat bacaan lanjut ttg :

    Namun, setelah lebih kurang tujuh tahun pelaksanaan program tersebut, masih terlalu banyak sekolah-sekolah di Malaysia yang dapat menikmati kemudahan yang dijanjikan. Ini menyebabkan timbulnya beberapa isu yang dikaitkan dengan ekuiti atau peruntukan yang disediakan oleh KPM tidak mencukupi untuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Sebagai contoh, kementerian tidak menyediakan prasarana yang amat diperlukan, seperti bilik darjah yang mempunyai kemudahan khusus, terutamanya sekolah-sekolah luar bandar atau pedalaman. Selain itu, kemudahan lain seperti sumber pengajaran dan pembelajaran dan kelengkapan buku teks juga masih berkurangan.

    [Reply]

    kulanz Reply:

    Salam tuan, terima kasih kerana melawat blog ini…

    Berkenaan dengan isu yang dikemukakan,tuan boleh buat rujukan daripada buku Pembangunan Pendidikan 2001-2010, terbitan KPM (Download di sini) dan juga buku Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (boleh download di Bab 1-5 dan Bab 6-10).

    Kedua-dua buku ini mengandungi analisis spesifik secara keseluruhan pencapaian pembangunan Pendidikan di negara ini. Pada saya itu adalah rujukan yang paling tepat.

    Harap dapat membantu

    [Reply]


  6. aisyah rafli

    salam..saya pelajar tahun tiga fakulti pendidikan di sebuah IPTA memerlukan maklumat tentang statistik yang menunjukkan penurunan subjek geografi mengikut peperiksaan pada tahun 2003. saya berharap saudara boleh membantu saya untuk mengetahui cara untuk mendapatkan maklumat itu. terima kasih.

    [Reply]

    kulanz Reply:

    Salam Aisyah,
    Saya tidak pasti sama ada masih terdapat dokumen yang diterbitkan bagi statistik peperiksaan awam seluruh negara utk tahun berkenaan. Saya cuba dapatkan maklumat di internet tetapi tidak menemuinya, kalau adapun hanya statistik di sesebuah sekolah sahaja.

    Biasanya statistik seperti itu boleh didapati di Unit Peperiksaan, Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing atau Lembaga Peperiksaan Malaysia. Walaubagaimanapun saya akan cuba bertanya daripada rakan-rakan lain jika mereka mempunyai maklumat seperti itu. Sebarang maklumat akan saya update kemudian..

    Sementara itu mungkin Aisyah boleh rujuk blog ini dan bertanya kepada beliau jika ada maklumat seperti yang dikehendaki..

    [Reply]


  7. zahra

    salam tuan :-)
    sy amat tertarik membaca tentang tulisan tuan diatas ttg isu-isu pendidikan di malaysia.

    jadi,boleh tak tuan berkongsi pendpt dgn sy ttg pegajaran ke arah pengembangan intelektual sedangkan di dalam pedidikan ke arah pergembangan kognitif,afektif dan juga psikomotor.

    terima kasih.

    fernaiza@gmail.com

    [Reply]

    kulanz Reply:

    Salam Zahra…
    Pertama sekali terima kasih sudi berkunjung ke blog ni..

    Berkenaan persoalan – pengajaran ke arah pengembangan intelektual sedangkan di dalam pedidikan ke arah pergembangan kognitif, afektif dan juga psikomotor? Ligat juga otak saya berfikir untuk menjawab persoalan ini. Saya kurang jelas sebenarnya. Bagaimanapun saya akan cuba bincangkan secara ringkas mengikut kefahaman saya.

    Bagi menjelaskan persoalan ini terlebih dahulu saya berikan makna ringkas dua konsep:
    Pertama tentang pembelajaran. Ahli-ahli psikologi kognitif (cthnya Piaget) berpendapat pembelajaran adalah perubahan pengetahuan yang disimpan dalam ingatan. Maklumat tadi disepadukan dengan pengetahuan sedia ada serta disimpan dalam ingatan. Ingatan yang aktif membuat sintesis melibatkan tiga proses iaitu pemerhatian (attention), mengekod (encoding) dan penemuan (retrieval). Kedua tentang intelektual. Menurut Edward Shils, Intelektual adalah kebolehan seseorang dalam memahami nilai-nilai tertinggi (ultimate values), sama ada yang bersifat kognitif (pengetahuan), moral mahupun estetika.

    Justeru dalam pembelajaran, aspek intelektual perlu dikembangkan kerana ia akan dapat meningkatkan kematangan berfikir (aspek kognitif). Kematangan berfikir ini secara tidak langsung dapat membantu seseorang membuat interpretasi tentang perasaan, emosi, minat, sikap, penghargaan dan nilai (aspek afektif). Manakala psikomotor pula akan terlibat secara lansung melalui sebarang aktiviti pembelajaran (melibatkan kedua-dua proses di atas, contohnya melalui pemerhatian). Maknanya meskipun kita lihat pendidikan hari ini seolah-olah memberi tumpuan lebih kepada aspek intelektual, namun ia sebenarnya masih tidak lari daripada objektif pembelajaran yang utama, iaitu mengembangkan aspek kogitif, afektif dan psikomotor..

    p/s: secara peribadi saya berpendapat bahawa dalam pembelajaran tumpuan harus diberikan kepada perkembangan kognitif.. sebabnya tanpa perkembangan kognitif yang baik, bagaimana kita hendak melahirkan individu yang intelektual?…

    [Reply]


  8. farahin

    salam..en.kulanz, sy mengambil notes ini untuk dijadikan bahan rujukan tugasan sy..trima kasih byk2..smoge Allah saja membalasnya dengan kebaikan yang berlipat kali ganda~

    [Reply]

    kulanz Reply:

    salam,
    sekadar berkongsi sesuatu untuk kebaikan bersama..
    terima kasih juga berkunjung ke blog ni dan meninggalkan komen

    [Reply]

Leave a Reply

CommentLuv Enabled

Full RSS | Comments RSS