Sebagai makluk hidup kita amat memerlukan air untuk memastikan sistem badan kita terus hidup. Meminum air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari akan dapat memastikan fungsi metabolisme dalam badan sentiasa terpelihara. Bahkan saya pernah terbaca, manusia boleh mati sekiranya tubuh badan tidak mendapat bekalan air selama 3 – 7 hari berturut-turut. Mungkin sebab itulah, dalam jadual kita seharian, waktu minum adalah satu perkara yang harus dimasukkan dalam jadual berkenaan. Sekiranya anda pernah mengikuti kursus, seminar atau bengkel, pasti dalam jadual turut diselitkan waktu untuk kita sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang, bahkan minum malam. Lihat, betapa pentingnya minum itu dalam kehidupan kita.
Justeru, saya ingin mengajak para pembaca untuk mengimbau kembali waktu sebelum ini. Fikirkan, berapa kerapkan kita meluangkan waktu untuk minum dalam sehari. Bagi setiap waktu minum tersebut, berapa minitkah masa yang kita luangkan untuk menghadap secawan minuman. Tidak kiralah kopi, coklat, teh atau sekadar air suam. Sepuluh minit, 15 minit, 20 minit atau setengah jam? Dalam pada itu, fikirkan juga waktu yang kita gunakan untuk minum itu. Adakah semasa kita bekerja di pejabat, mengajar di sekolah atau institusi pendidikan tinggi, bekerja di kilang, belajar, di ladang atau semasa duduk di rumah? Agak-agaknya, berapa masa yang kita gunakan sepanjang hidup ini untuk minum? Sama-samalah kita fikirkan…

