Home >> Artikel, Organisasi >> Kepimpinan Melalui Teladan – Konsep Khalifah Dalam Ajaran Islam

PENDAHULUAN

Wujudnya konsep khalifah dalam Tamadun Islam sudah cukup menggambarkan betapa pentingnya aspek kepimpinan dalam tamadun manusia. Didalam Al-Quran dijelaskan bahawa manusia ditugaskan sebagai khalifah untuk membangunkan dunia dan seluruh isinya. Sementara selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w, para sahabat dan umat islam ketika itu melantik saidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai khalifah Islam yang pertama diikuti dengan perlantikan saidina Umar Al-Khattab, saidina Uthman Al-Affan dan saidina Ali Abi Talib. Pembentukan kerajaan Islam Umaiyah, Abbasiyah dan Uthmaniyah selepas itu, sememangnya selaras dengan tuntutan konsep Khalifah.

Kepemimpinan adalah suatu seni. Untuk itu pemimpin perlu mengenal watak orang-orang yang dipimpinnya. Dari situlah dia dapat memainkan seni kepemimpinan dengan mengadakan pendekatan-pendekatan tertentu secara individu dan secara kelompok; mengetahui bahawa sikap manusia itu berpunca daripada kepentingan diri. Maka apabila pemimpin pandai memainkan seninya, menyentuh kepentingan orang-orang yang dipimpinnya, dia akan mendapat reaksi yang baik.

Dalam hal kepemimpinan, Islam membawakan contoh kepemimpinan Nabi Muhammad s.a.w. Itulah yang sebenarnya kepemimpinan Islam; pada diri Nabi s.a.w. terdapat contoh teladan yang baik dalam segala hal kehidupan manusia.

PENDEKATAN KEPIMPINAN

Nabi Muhammad s.a.w. menggunakan pendekatan individu dan pendekatan kelompok dalam memimpin. Dia selalu menyamakan dirinya dengan orang lain. Jika o0rang lain susah, dia juga susah seperti mereka. Apabila bertemu dengan kelompok dia menonjolkan kegembiraan: setiap kelompok yang ditemunya digembirakan terlebih dahulu. Kemudian barulah diikuti dengan catatan nasihat atau permintaan. Dia mengadakan variasi bila menghadapi kelompok yang berlainan: pelajar, ulamak, orang-orang miskin, orang-orang kaya, wanita, kanak-kanak dan sebagainya. Perbicaraan dibawa ke arah mereka. Dengan demikian terasa bahawa kehadiran mereka diperlukan.

Berdasarkan contoh itu, pemimpin perlu mengetahui keadaan agar dia boleh menjadi pemecah masalah. Pemimpin tidak boleh sekali-kali mematahkan semangat tetapi harus selalu menggembirakan.

Walaupun orang yang dipimpin itu melakukan kesalahan, pemimpin perlu menggunakan kebijaksanaan agar dia tidak kecewa tetapi sebaliknya timbul keinginan untuk berbuat yang lebih baik lagi.

Dalam keadaan yang lain pula, pemimpin perlu menitikberatkan pengabdian. Dia harus suka memberi dan kurang suka menerima. Ini memerlukan keikhlasan. Dengan melihat sifat baik yang seperti ini berterusan, banyak orang yang akan mengakuinya. Prestasinya meningkat. Dia dipercayai. Kewibawaannya akan bertambah. Dari sini dia lebih mudah menjalankan kepemimpinannya. Orang akan senang mengikutnya. Dalam masa yang sama harus diingat bahawa mengajak ke arah kebaikan itu lebih berkesan dengan perbuatan. Pemimpin sebagai orang yang paling menonjol selalu diperhatikan. Perbuatannya meninggalkan kesan yang mendalam di kalangan orang yang dipimpinnya.

Kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. adalah dengan melakukan sesuatu lebih baik daripada orang lain. Dia menyuruh orang lain sembahyang lima kali sehari, sedangkan dia sendiri berbuat lebih daripada itu. Dia menyuruh orang lain berpuasa sebulan dalam setahun, sedangkan dia saban hari berpuasa. Keberhasilan kepemimpinan Nabi Muhammad s.a.w. terletak pada sekurang-kurangnya empat perkara:

  1. Memimpin dengan berbuat, tidak cuma bercakap. Dia tidak hanya memerintah orang lain berbuat sesuatu, tetapi dia sendiri melaksanakannya.
  2. Memegang prinsip keadilan. Kepentingan orang-orang yang dipimpin adalah yang utama. Nabi Muhammad s.a.w. mampu menjadi kaya tetapi dia tidak ingin kepada kekayaan; dia lebih suka sama dengan orang-orang yang dipimpinannya.
  3. Penggunaan pendekatan yang tepat: cara inividu dan cara kelompok.
  4. Ketiadaan benteng pemisah: tidak ada sekatan antaranya dengan orang ramai. Suasanan kekeluargaan dan persaudaraan lebih diutamakan. Perhubungan tidak terlalu formal.

Begitu jugalah kepada seorang pemimpin Islam: sekurang-kurangnya empat perkara itu patut ada pada dirinya. Dalam pada itu harus pula diingat tentang prinsip umum Islam: apabila melaksanakan kepemimpinan ini, keseimbangan antara duniawi dan ukhrawi perlu dipelihara. Jika satu dipentingkan manakala yang satu lagi dibiarkan runtuh, kehancuran akan terjadi. Islam bukanlah terletak pada ciri-ciri Islam semata-mata. Untuk apa ciri kalau pada pelaksanaannya tidak mencerminkan keislaman.

Orang-orang Barat menganggap Nabi Muhammad s.a.w. berhasil dalam kepemimpinannya kerana prinsipnya mencakupi keduniaan; terdapat perseimbangan dan pengaturan yang baik antara material dan spritual.

Dua ajaran dari Barat tidak sedemikian. Karl Marx berpegang bahawa kesejahteraan itu bergantung kepada pemenuhan keperluan perut. Sigmund Freud pula mengatakan kesejahteraan bergantung kepada pemuasan nafsu, terutamanya nafsu seks. Pegangan-pegangan ini berbeza dengan ajaran Islam. Dalam Islam kebahagiaan adalah hasil daripada mengikuti ajaran Allah dan Rasulnya. Kebahagiaan adalah sesungguhnya spritual, dan material merupakan keperluan. Kedua-duanya mempunyai hubungan yang rapat. Bagaimana akan bahagia kalau keperluan tidak dipenuhi? Dan seperti yang nyata sekarang, jika cuma keperluan material sahaja yang dipenuhi, sedangkan keperluan spiritualnya terbiar, kebahagiaan tidak diperolehi.

SIFAT PEMIMPIN ISLAM

Seorang pemimpin Islam perlu mempunyai beberapa sifat terpuji:
1. Istiqamah
Ini bererti mempunyai pendirian yang teguh dan diikuti dengan keperibadianyang mantap. Pendirian ini tercermin pada perkataan dan perbuatan, iaitu sesuatu yang diyakini dipertahankan sungguh-sungguh dengan tidak terumbang-ambing oleh pengaruh apa pun.

2. Memelihara diri
Keadaan diri sendiri dihitung dan dianalisis. Apabila terjadi sesuatu kegagalan diri sendiri diperhatikan terlebih dahulu sebelum menyalahkan orang lain.

Rasullah pernah bersabda:
“Berbahagialah orang yang suka meneliti kelemahan dirinya dan tidak mempunyai masa untuk mencari kelemahan diri orang lain; dia bersedia memberi rezekinya yang lebih, serta bersedia mencegah kelebihan ucapannya”.

3. Bijaksana
Ini bererti membuat perhitungan yang jauh sebelum bertindak. Langkah yang dipilih tidak menyinggung orang lain.

4. Tenang
Dengan ketenangan, pilihan yang diambil tidak mudah keliru. Orang-orang bawahan juga tidak hilang kepercayaan terhadap pemimpin.

5. Sabar
Sabar bererti kuat menahan diri agar tidak melakukan sesuatu yang tidak bijak. Dengan bersifat sabar seseorang boleh menang dalam banyak hal.

6. Tidak takbur
Ini bererti tidak membanggakan diri berlebihan-lebihan sama ada dengan perbuatan, perkataan atau sikap.
Allah telah berfirman dalam surah Luqman,ayat 18:
“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu, mememekkan orang lain, dan jangan pula engkau berjalan di bumi ini dengan bongkak; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang bongkak dan angkuh”

Allah juga berfirman dalam surah Assyura, ayat 215: “Hendaklah kamu bersikap lemah lembut terhadap orang-orang mukmin, pengikutmu”.

7. Tidak mungkir janji
Segala janji yang dibuat ditunaikan. Kalau pemimpin mungkir janji, kepercayaan orang terhadapnya akan hilang.

8. Adil
Adil bererti meletakkan sesuatu pada tempat yang semestinya dan memberi samarata. Kewajipan, pembahagian tugas, hukuman dan sebagainya, dilaksanakan dengan wajar.

Rasulullah telah bersabda:
“Hati-hatilah kalian terhadap doa orang-orang yang teraniaya, sebab tidak ada tabir pemisah antara doanya denga Allah, walau dia orang kafir sekalipun”.

9. Tabah
Tabah bererti keras kemahuan dan diikuti dengan usaha yang cukup serta tidak cepat putus asa. Orang yang tabah mempunyai keperibadian yang kuat.

10. Tawakkal kepada Allah
Pemimpin yang tawakkal rela akan apa yang ditakdirkan Allah ke atasnya. Dia yakin akan kebijaksanaan Allah. Dia berserah diri sepenuhnya kepada Allah setelah berusaha sedaya mungkin.

Allah telah berfirman dalam surah Al-Ma’idah ayat 100:
“Katakanlah, tidak akan mengenai kami, kecuali apa yang telah ditentukan Allah ke atas kami. Allah yang menguasai kami. Dan hanya kepada Allah hendaknya orang mukmin berserah diri”.

CIRI-CIRI PROFESIONAL MUSLIM

Satu daripada makna perkataan “profess” dalam Bahasa Inggeris ialah “mengaku percaya secara mendalam mengenai sesuatu perkara” atau “mengaku benar-benar tahu atau pakar dalam sesuatu hal”. “Profession” pula bermakna “sesuatu jenis pekerjaan yang dijalankan oleh seseorang yang menghasilkan upah”.

Apabila dilihat daripada makna kedua-dua perkataan ini, maka profesional bolehlah diertikan sebagai seseorang yang menjalankan sesuatu tugas yang dibayar upah, yang pakar dalam bidang itu yang yakin akan keunggulan pekerjaan yang dijalankannnya jadi tersirat dalam perkataan “profesional” adalah ciri-ciri berikut:

1. Kecekapan
2. Rasa tanggunjawab yang tinggi
3. Dedikasi
4. Pengorbanan
5. Kepakaran (Ibrahim Mamat, 2001:231)

Sejarah telah membuktikan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah berjaya menyatukan bangsa Arab yang berpecah belah, mencipta perubahan dalam kehidupan mereka, mengeluarkan mereka dari ruang lingkup jahiliyyah kepada keimanan yang hakiki, membebaskan mereka dari perhambaan dan kezaliman serta membuka peradaban dan kehormatan serta kecemerlangan dalam menegakkan satu tamadun yang sampai ke hari ini masih lagi diperbicarakan tentang kehebatannya. Semua ini adalah disebabkan kerana wujudnya satu pedoman dalam kehidupan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. sebagai garis panduan dalam mencari dan menggapai tahap kecemerlangan dalam kehidupan.

Menyedari tentang hakikat bahawa keperibadian Nabi Muhammad s.a.w. merupakan sesuatu yang agung, maka penulis merasakan perlu dibuat satu penelitian tentang peribadi Rasulullah s.a.w dan kaitannya dengan sifat-sifat yang perlu ada kepada seorang pendidik samada pendidik tersebut bertindak sebagai seorang guru mahupun sebagai seorang pentadbir.

Penulisan ini akan dibahagikan berdasarkan bab-bab tertentu. Bab pertama akan membincangkan pendahuluan serta definisi konsep. Konsep yang dibincangkan ialah konsep khalifah dalam Islam serta ciri-ciri khalifah menurut Islam.

Manakala dalam bab kedua pula berkaitan dengan keperibadian Nabi Muhammad s.a.w. Keperibadian Nabi Muhammad s.a.w. ini akan disorot dari sudut Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pemimpin masyarakat, Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pemimpin politik, Nabi Muhammad s.a.w. sebagai perancang ekonomi, dan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pemimpin tentera.
Bahagian ini dimulakan dengan bahagian pengenalan, diikuti dengan ulasan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai contoh ikutan kepada seluruh manusia. Semua perbincangan ini adalah sebahagian daripada pembuktian bahawa Nabi Muhammad adalah contoh ikutan bagi semua manusia dalam semua bidang kehidupan. Dengan kata lain , bab ini membahaskan tentang bagaimana Nabi Muhammad s.a.w dan ajaran yang dibawanya mampu menunjukkan satu asas yang cemerlang dalam membina ketamadunan manusia yang gemilang.

Melihat kepada perbincangan di atas, satu penelitian perlu dilakukan untuk melihat perkaitan antara peribadi Nabi Muhammad s.a.w. dengan nilai-nilai yang sepatutnya diterapkan kepada setiap guru dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Sebelum melihat kepada perkaitan tersebut perlulah terlebih dahulu penelitian ini melihat kepada definisi konsep yang tertentu terutamanya konsep khalifah menurut kaca mata Islam.

KONSEP KHALIFAH

Menurut Afzalur Rahman dalam bukunya, Ensiklopedia Sirah, perkataan khalifah terdiri daripada tiga maksud yang berbeza. Pertama, ia merujuk kepada tanggungjawab terhadap kuasa yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. Dalam hal ini seluruh keturunan nabi Adam a.s. merupakan khalifah di muka bumi. Kedua, ia merujuk kepada orang yang mengetuai kerajaan Allah s.w.t. dan menggunakan segala kuasa khalifah di bawah syariat yang diturunkan oleh Allah s.w.t. melalui RasulNya.

Dalam hubungan ini hanya orang yang benar-benar beriman yang dapat dipanggil sebagai khalifah Allah di bumi ini. Ketiga, makna khalifah merujuk kepada penggantian seseorang atau umat yang mempunyai kuasa oleh seseorang atau umat lain.

Dua makna yang pertama berasal daripada perkataan khalifah yang bererti wakil, manakala yang ketiga adalah digunakan dalam erti kata mengambil alih atau mewarisi daripada seseorang atau satu-satu umat. Tegasnya, pengertian khalifah yang dinyatakan di dalam ayat yang telah dicatatkan di atas merujuk kepada kekuasaan kerajaan yang ikhlas dan benar-benar percaya kepada kerajaan Allah s.w.t. serta mengendalikan urusan Negara selaras dengan syariat yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Orang yang memahami istilah khalifah yang dinyatakan dengan maksud kekuasaan semata-mata mungkin akan membuat kesimpulan yang salah tentang institusi khalifah.

Prinsip khalifah seperti yang dijelaskan ini sebenarnya telah dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran yang bermaksud;
‘Allah s.w.t. menjanjikan orang yang beriman dan beramal salih daripada kalangan kamu (wahai umat Nabi Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa……….’

(al-Quran. Al-Nur. 24 :55)

Ayat di atas menjelaskan tentang tiga asas utama khalifah dalam Islam;
a. Negara Islam diketuai oleh orang yang bergelar Khalifah.
b. Gelaran khalifah diberi kepada seluruh masyarakat Islam bukan kepada mana-mana individu, kumpulan atau keluarga.
c. Prinsip khalifah hanyalah untuk orang yang beriman kepada Allah s.w.t. dan mengerjakan amalan kebajikan. Dalam perkataan yang lain orang yang benar-benar baik dan bertakwa. Golongan ini benar-benar bebas daripada tuhan-tuhan yang lain serta mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dengan penuh keikhlasan dan mengakuiNya sebagai Tuan, Raja dan Pemilik kerajaan. Orang seperti ini adalah khalifah yang sebenarnya seperti yang dijanjikan di muka bumi ini dan bukannya orang yang mengabdikan dirinya dibibir mulut sahaja sedangkan amalan kebajikannya kosong. Orang yang seperti ini tidak layak menjadi khalifah dan janji Allah s.w.t. itu tidak sesuai untuknya. (Afzalul Rahman. 1993:1080)

CIRI-CIRI KHALIFAH MENURUT ISLAM

Konsep khalifah menurut Islam adalah berasaskan kepada tiga prinsip yang utama iaitu Tauhid (Keesaan Allah), Risalah (Kenabian) dan Khalifah (wakil atau pengganti). Ia mengakui realiti alam yang kekal iaitu ia dicipta, dipelihara dan ditadbirkan oleh Allah s.w.t. Yang Satu, Yang merupakan Pencipta, Pengawal serta Rajakepada seluruh makhluk. Dialah sahaja yang berhak menerima ketaatan daripada seluruh makhluk termasuk manusia. (Abul A’la Maududi, 1977 : 8)

Pada masa yang sama hukum-hukum dan kehendakNya disampaikan melalui Rasul-rasulNya di dalam bentuk Kitab yang menerangkan hukum dengan interpretasi serta contoh-contoh yang disampaikan oleh Rasul-rasul melalui contoh-contoh mereka daripada segi kata-kata dan perbuatan, yang akhirnya membentuk satu model sistem kerja. Khalifah bererti wakil manusia bertindak sebagai seorang wakil Allah di dunia dan menjalankan perintah Allah melalui kuasa yang diamanahkan oleh Allah kepadanya dalam batas-batas yang ditentukan olehNya.

Khalifah menggambarkan empat syarat penting sebagai fungsi wakil. Pertama, kuasa yang sebenarnya berada di tangan Allah; kedua, manusia hanyalah semata-mata pentadbir hukumNya; ketiga, pentadbiran hukum-hukumNya mestilah selaras dengan batas-batas yang telah ditetapkaNya; keempat, dalam mentadbir hukumNya manusia akan melaksanakan kehendakNya dan memenuhi tujuanNya. Oleh itu perlantikan manusia sebagai khalifah yang diwujudkan dalam kerajaan Allah adalah untuk memenuhi tujuan dan objektifNya di dalam batas-batas yang telah ditentukanNya. (Abul A’la Maududi, 1979 : 42)

Menurut Abul A’la Maududi lagi seluruh manusia diberi kuasa sebagai khalifah, bukan hanya satu kelas atau kumpulan manusia yang tertentu sahaja. Sesiapa sahaja yang bersediauntuk menerima syarat-syarat khalifah , akan memikul tanggungjawab khalifah untuk seluruh masyarakat. Ini merupakan titik permulaan demokrasi Islam yang setiap ahlinya menikmati hak-hak dan kuasa sebagai khalifah Allah s.w.t. Pada masa yang sama semua rakyat akan menikmati hak ini secara saksama, tanpa sebarang perbezaan. Agensi yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan urusan-urusan Negara akan dibentuk melalui persetujuan rakyat.

Berdasarkan kepada fakta inilah bolehlah disimpulkan bahawa kuasa seorang khalifah akan menjadi kuasa yang diamanahkan kepada orang yang memegang sesuatu tampuk pemerintahan atau kekuasaan.

Berdasarkan perbincangan di atas jelaslah menggambarkan bahawa seorang khalifah itu mestilah seorang yang memiliki perwatakan dan personaliti yang sangat tinggi dan menarik. Contoh yang paling agung bagi menggambarkan seorang khalifah yang tiada tolok bandingnya ialah Junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Baginda adalah merupakan seorang negarawan yang sempurna samada sebagai seorang pemimpin masyarakat, pemimpin angkatan tentera, pemimpin politik, pendidik (guru), perancang ekonomi, ketua rumahtangga mahupun sebagai seorang sahabat.

Ikuti sambungan artikel ini di » sini


Jika anda dapati artikel ini bermanfaat, anda boleh kongsikan kepada pembaca lain.






Terima kasih kepada semua pembaca Kulanzsalleh.com. Semua Artikel di blog ini adalah berdasarkan pandangan peribadi saya sendiri melainkan artikel berbentuk ilmiah, berita, petikan dan perkongsian lain yang tiap satu akan saya nyatakan sumber asalnya (Baca Terma & Syarat). Jika anda dapati artikel di blog ini bermanfaat, anda boleh kongsikan kepada pembaca lain di FACEBOOK atau TWITTER.

{ 9 comments… read them below or add one }

1 etomyam July 14, 2010 at 9:47 am

perkongsian yang amat berfaedah, alangkah indahnya kalau pemimpin2 kita semua dapat menghayati dan menjadikan style kepimpinan Rasulullah sebagai contoh dan ikutan
etomyam recently posted..Bila Gengblogger Jadi Tamublogger Kosmo-My Profile

Reply

2 kulanz July 15, 2010 at 12:32 am

pemimpin sekarang ramai yang sibuk jaga tepi kain orang daripada perhatikan diri sendiri..

Reply

3 AyieBlog July 14, 2010 at 5:54 pm

Salam,apa yang diterangkan oleh bro kulanz amat benar dan tepat,kita dijadikan sebagai pemimpin dimuka bumi dan atas kewajipan kita untuk memimpin,antara satu sama lain :),dalam konsep islam tak ada jaga tepi kain orang :).

Reply

4 kulanz July 15, 2010 at 12:33 am

jaga tepi kain orang lain tu boleh juga rasanya.. tapi sebelum tu kena jaga tepi kain sendiri dulu.. kan bro?

Reply

5 nazrin August 8, 2010 at 1:27 am

saya nak tanya apa beza definisi khalifah dan bezanya dengan khalifah

Reply

6 kulanz August 8, 2010 at 1:50 am

mohon perhalusi soalan, saya kurang faham :)

Reply

7 Jazirah October 17, 2011 at 6:37 pm

menanti pemimpin yang adil di negeri ini.
Jazirah recently posted..Hadist tentang Keutamaan Puasa Tiga Hari Setiap BulanMy Profile

Reply

8 kepompong wangwung January 13, 2012 at 3:31 am

kepemimpinan seperti yang dikatakan dalam tulisan di atas hanyalah sebuah puing-puing di zaman sekarang, terus apa yang harus kita lakukan untuk meregenerasi sebuah kepemimpinan yang sebenarnya menurut islam??
apa dari diri kita kah? terus harus dari manakah?

salam dari saya sang kepompong wangwung

Reply

9 aina June 13, 2012 at 5:37 pm

mintak izin copy sedikit maklumat untuk pembentangan :)
terima kasih

Reply

Leave a Comment

Entri Terkini

Previous post:

Next post:

leaderboard denaihati Banner