Home >> Pendidikan >> Konflik Dalam Organisasi Pendidikan

Konflik Dalam Organisasi Pendidikan

by Kulanzsalleh on February 29, 2012

Konflik Dalam Organisasi Pendidikan

Tulisan kali ini khusus untuk membincangkan punca-punca, jenis dan peringkat konflik khususnya dalam organisasi pendidikan. Ini adalah kisinambungan daripada artikel Kenapa Wujud Konflik Dalam Organisasi?. Adalah dicadangkan pembaca mengikuti artikel tersebut untuk mendapatkan kefahaman tentang definisi konflik sebelum mengikuti artikel ini.

Punca Konflik dalam Pendidikan

Berdasarkan pandangan Hellriegel dan rakan-rakan (2001), konflik merujuk kepada satu proses di mana satu pihak mempunyai tanggapan bahawa keinginannya ditentang atau dipengaruhi secara negatif oleh pihak yang lain. Definisi ini menunjukkan bahawa wujud ketidaksepadanan dalam pandangan di kalangan manusia yang terlibat dan pertikaian tentang pelbagai isu dan peristiwa konflik yang berbeza.

Apabila individu-individu atau kumpulan-kumpulan dengan matlamat, nilai dan persepsi yang berbeza bersaing bersama-sama untuk mendapatkan sumber yang tidak mencukupi atau bersaing untuk mencapai matlamat masing-masing, konflik kemungkinan besar akan timbul (Assael, 1969). Loewen (1983) telah menjangka lebih kurang sepuluh peratus daripada aktiviti manusia dalam organisasi pendidikan terlibat dalam konflik. Beliau menegaskan bahawa konflik boleh dilihat sebagai satu daya yang diperlukan untuk membentuk aktiviti manusia dalam organisasi.

Merujuk kepada konflik dalam organisasi, Roethlisberger (1959) telah menyatakan bahawa amalan pengurusan yang tidak mempertimbangkan sentimen pekerja sering kali didapati bercanggah dengan kehendak pekerja. Ini mengakibatkan perselisihan faham antara kedua-dua pihak pengurusan dan pekerja-pekerja. Ruben (1978) pula melihat aspek komunikasi sebagai satu punca konflik berlaku di mana dikatakan konflik merupakan hasil langsung daripada komunikasi yang tidak betul atau perselisihan faham. Pendapat ini disokong oleh para penyelidik lain seperti Achoka (1990), Bondesio (1992) dan Robbins (2001) yang juga menyatakan bahawa komunikasi memainkan peranan penting dalam pembentukan konflik. Ketiga-tiga penyelidik berkenaan telah membahagikan punca konflik kepada tiga faktor utama iaitu faktor tingkah laku peribadi (pembolehubah peribadi), faktor struktur dan faktor komunikasi. Kesemua punca konflik ini dikatakan merupakan syarat berlakunya konflik dan diletakkan pada peringkat pertama dalam proses konflik yang dicadangkan oleh Robbins (2001) iaitu peringkat ‘Potensi Percanggahan atau Ketidaksepadanan’.

Satu penyelidik lain iaitu Pondy (1967) juga berpendapat bahawa halangan fizikal dalam komunikasi boleh mengakibatkan konflik. Menurut beliau, konflik dalam suatu organisasi adalah disebabkan oleh keraguan, tanggapan tentang peningkatan perselisihan antara jabatan-jabatan, saling kebergantungan antara jabatan-jabatan untuk mencapai matlamat organisasi di samping faktor komunikasi.

Dalam konteks sekolah, Corwin (1969) yang mengkaji konflik di kalangan staf dalam 28 buah sekolah awam telah mengenalpasti lima pembolehubah yang menyebabkan konflik:

  1. pembezaan struktur – di mana konflik dikaitkan dengan darjah pembezaan dalam organisasi, pengkhususan staf, dan bilangan peringkat autoriti
  2. penyertaan dalam struktur autoriti – di mana konflik adalah akibat daripada desentralisasi dalam proses membuat keputusan
  3. prosedur pengawalaturan – konflik dikaitkan dengan darjah kawalan dalam organisasi
  4. kestabilan dan kepelbagaian – di mana kepelbagaian staf dikaitkan dengan konflik
  5. struktur interpersonal – di mana hubungan interaksi tak formal di kalangan staf juga mempengaruhi tahap ketegangan dan konflik di kalangan mereka

Konflik

Corwin telah menunjukkan kesan langsung lima pembolehubah ini ke atas konflik. Menurut beliau, pemimpin atau pengurus perlu mengenalpasti punca wujudnya konflik dalam organisasi mereka. Sebagai contoh, mereka perlu meneliti di peringkat mana dalam organisasi ahli-ahlinya berjumpa dan bagaimana mereka menangani isu-isu yang berkaitan dengan sempadan kawalan mereka. Ini perlu mengambil kira aspek-aspek seperti kekhususan dalam sesuatu perkara, saling kebergantungan, contohnya berkaitan dengan disiplin pelajar, persaingan ke atas sumber seperti perkongsian komputer untuk mengajar dalam kelas, dan perbezaan dalam pendekatan penyelesaian masalah seperti dalam pertikaian disiplin pelajar. Seperti kata Hodgkinson (1991),

“.. the central problem of administration was one of reconciling two often divergent interests : those of the individual and those of the collectivity or organization. To make these interests converge upon the goals of collectivity is to accomplish the core task of leadership.” (p.67)

Menurut Owens (2004), terdapat beberapa jenis konflik asas yang terpendam boleh mengakibatkan konflik organisasi iaitu:

  1. kekurangan sumber dalam organisasi untuk memenuhi kehendak subunit dalam menjalankan kerja mereka mengakibatkan persaingan untuk mendapatkan sumber (misalnya, peruntukan bajet untuk setiap panitia; pengagihan tugas mengajar di kalangan guru; peruntukan ruang atau kemudahan kepada guru-guru, dan sebagainya)
  2. satu pihak ingin mengawal aktiviti-aktiviti kendalian subunit lain, dan subunit kedua ini menentang campur tangan pihak lain dalam aktiviti-aktiviti mereka (contohnya, bantahan guru-guru sains dan matematik ke atas campur tangan panitia bahasa inggeris dalam memantau dan mengawal aktiviti pengajaran mereka dalam bilik darjah)
  3. dua pihak dalam suatu organisasi yang perlu bekerjasama tetapi tidak dapat mencapai kata sepakat akibat pandangan berbeza (misalnya, konflik tentang tawaran jenis mata pelajaran di Tingkatan Empat bagi aliran sains kemanusiaan yang berlaku di kalangan guru kanan dan pihak pentadbir)

Konflik-konflik terpendam ini dikatakan lazimnya tidak akan hilang sepenuhnya dalam suatu organisasi, dan tidak ada satu cara terbaik untuk mengurus kesemua konflik ini.

Jenis Konflik dalam Pendidikan

Kajian-kajian lepas tentang konflik telah merumuskan bahawa tidak semua konflik memberikan kesan yang negatif. Di sebaliknya, terdapat sebahagian daripada konflik-konflik yang wujud bermanfaat kepada organisasi. Berdasarkan aspek ini, ramai penyelidik telah membahagikan konflik mengikut kebolehfungsiannya iaitu kepada konflik berfungsi dan konflik tak berfungsi (Robbins, 2001; Deutsch, 1993). Konflik berfungsi juga dikenali sebagai konflik membina atau konstruktif sementara konflik tak berfungsi sebagai konflik membinasa atau destruktif. Deutsch (1993) telah membezakan konflik destruktif (membinasa) dan konflik konstruktif (membina). Konflik dikatakan destruktif jika ia mengalihkan perhatian daripada aktiviti-aktiviti yang mustahak, memecahbelahkan kumpulan dan mengurangkan kerjasama, meningkatkan perbezaan, serta mecetuskan sikap yang tidak bertanggungjawab seperti pergaduhan, maki-memaki dan sebagainya. Di sebaliknya, konflik konstruktif masih berpusatkan kepada isu utama yang dipertikaikan di mana semua pihak masih terikat dengan proses penyelesaian masalah, dan konflik ini biasanya berakhir dengan hasil yang memuaskan semua pihak yang terlibat. Menurut Deutsch (1993), konflik destruktif dapat diurus dengan teliti atau secara konstruktif agar menjadi berkesan untuk menghasilkan kesudahan yang baik seperti peningkatan dalam harga diri, perkembangan kemahiran berkomunikasi, kemahiran membuat keputusan, penilaian secara kritis, dan penaakulan logik.

Setengah-setengah penyelidik pula membahagikan jenis konflik berdasarkan aspek yang lain. Hellriegel dan rakan-rakan (2001) misalnya mengkategorikan konflik kepada empat jenis berdasarkan ketidaksepadanan dalam aspek-aspek tertentu iaitu konflik matlamat (ketidaksepadanan dalam keperluan/kehendak), konflik kognitif (ketidaksepadanan dalam fikiran), konflik afektif (ketidaksepadanan dalam perasaan) dan konflik prosedur (ketidaksepadanan dalam pandangan terhadap sesuatu proses). Konflik matlamat merupakan salah satu jenis konflik yang lazim berlaku di sekolah. Contohnya, perbezaan matlamat di kalangan guru di bawah Panitia Sains di mana ada guru sains yang berpendapat penggunaan komputer adalah tidak perlu dalam pengajaran sains sementara guru lain pula berpendapat ianya penting dan berguna untuk meningkatkan pemahaman pelajar tentang konsep-konsep dan proses-proses sains.

Konflik matlamat yang wujud ini akan mempengaruhi pencapaian matlamat organisasi (sekolah khususnya, dan Kementerian Pelajaran Malaysia serta negara Malaysia amnya) iaitu untuk melahirkan masyarakat yang saintifik dan progresif seperti yang dinyatakan dalam salah satu daripada sembilan cabaran Wawasan 2020. Pendedahan kepada penggunaan komputer di peringkat sekolah merupakan antara langkah-langkah kerajaan ke arah pengujudan masyarakat yang saintifik dan progresif, dan mempunyai daya perubahan yang tinggi dan menjadi penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.

Muka Surat: 1 | 2

Pages: 1 2


Jika anda dapati artikel ini bermanfaat, anda boleh kongsikan kepada pembaca lain.






Terima kasih kepada semua pembaca Kulanzsalleh.com. Semua Artikel di blog ini adalah berdasarkan pandangan peribadi saya sendiri melainkan artikel berbentuk ilmiah, berita, petikan dan perkongsian lain yang tiap satu akan saya nyatakan sumber asalnya (Baca Terma & Syarat). Jika anda dapati artikel di blog ini bermanfaat, anda boleh kongsikan kepada pembaca lain di FACEBOOK atau TWITTER.

Leave a Comment

Previous post:

Next post:


leaderboard denaihati Banner