Home >> Artikel, Pendidikan >> Kuasa dan Politik Dalam Pendidikan

Kuasa dan Politik Dalam Pendidikan

by Kulanzsalleh on June 29, 2009 · 1 comment

Sering kali kita mendengar di sana-sini orang memperkatakan tentang politik. Tidak kira pelbagai peringkat penutur dan pelbagai pandangan mengenai pengertiannya. Ahli politik memperkatakan tentang makna politik bagi mereka, semetara pihak yang lain pula mengujarkan tentang kuasa politik yang disalah guna oleh sesetengah pihak. Para guru sedang aktif dalam politik negara, sedangkan pelajarnya leka berpolitik dengan rakan di luar sekolah. Sang bapa sibuk berpolitik di luar rumah, sedangkan si ibu sedang asyik berpolitik dengan jiran tetangga. Lihatlah betapa besarnya pengaruh politik ini dalam kehidupan kita. Setiap orang memang tidak dapat lari daripadanya.

Walaubagaimanapun saya bukanlah hendak menghuraikan panjang lebar tentang politik negara. Apatah lagi untuk mencampuri bidang tersebut. Bukan kerana tidak berminat atau menyerahkan bulat-bulat kepada orang tertentu untuk menguruskannya, tetapi hanya belum sampai masanya saya terlibat dalam arena tersebut. Ini kerana masih banyak selok-belok politik yang belum saya ketahui. Bahkan politik di rumah dan di tempat kerja juga perlu saya uruskan. Justeru, saya hanya ingin berkongsi bidang politik ini dengan mereka yang seangkatan dengan saya, iaitu kuasa dan politik dalam pendidikan.

Dalam bidang pendidikan, khususnya sesebuah sekolah, kuasa adalah milik pentadbir dan guru-guru kanan dalam herarki pentadbiran. Pihak pengurusan sekolah mempunyai sumber kuasa dalam hal tertentu yang menyebabkan arahan dan dominasi politik mereka dipatuhi. Dominasi politik dalam konteks ini adalah berupa kuasa yang mempengaruhi seseorang dalam membuat keputusan, menentukan budaya pengurusan dan komunikasi dalam organisasi. Dalam hal ini, kuasa dan politik dalam pendidikan amat penting dalam membuat keputusan, aktiviti, sistem dan iklim sekolah berkenaan. Kuasa dan politik dapat mendominasikan sistem dan peraturan sesebuah sekolah yang akan memangkin kelancaran pengurusan sesebuah sekolah. Bahkan ia juga menjadi penentu aras dalam menentukan sama ada berkesan atau tidak pengurusan di sekolah berkenaan. Secara analoginya, sebuah sekolah yang berkesan adalah disebabkan amalan kuasa dan politik yang positif dan sebaliknya sekolah yang kurang atau tidak berkesan pula adalah disebabkan amalan kuasa dan politik yang negatif oleh pentadbirnya.

Kuasa dan politik dalam pentadbiran sekolah adalah merangkumi kuasa dan autoriti pihak pengurusan yang mencakupi sumber kuasa mereka yang menyebabkan mereka dapat mempengaruhi kakitangan bawahan untuk berkerja ke arah pencapaian matlamat organisasi. Begitu juga amalan politik yang positif sudah tentu akan menjadi pemangkin kepada kejayaan amalan kuasa tersebut dan seterusnya membawa kepada pencapaian matlamat dan wawasan sekolah yang telah ditetapkan. Justeru, kuasa dan politik sangat penting dalam mempengaruhi kejayaan sesebuah sekolah. Namun demikian, kuasa dan politik adalah bergantung dengan penerimaan kakitangan sekolah. Ini telah dijelaskan oleh Griffith (1984) dalam Zaidatol Akmaliah Lope Phie (2000) yang menganggap kuasa dan politik sangat penting dalam mempengaruhi hubungan manusia. Kejayaan dalam hubungan tersebut bergantung kepada hubungan dua hala di antara pentadbir dan orang di bawah pentadbiran mereka. Hubungan yang baik akan dapat membantu kelancaran pentadbiran manakala hubungan yang menolak atau negatif sudah pasti akan menggagalkan segala usaha yang telah dirancang.

Sebagai contoh, kita fokuskan pandangan pada situasi di sekolah-sekolah. Organisasi tersebut terdiri daripada guru-guru, kakitangan am, ibu bapa, pelajar, peraturan, lembaga sekolah, iklim, budaya dan juga autoriti profesionnya sendiri. Justeru, adakah pentadbir dapat menggunakan kuasanya tanpa penglibatan daripada seluruh oraganisasi terlibat. Mungkin ada yang menjawab “ya” dengan alasan pentadbir boleh menggunakan kuasa autokratiknya, tetapi adakah hasil yang diperoleh sama seperti yang diharapkan? Sudah tentu tidak. Pentadbir tidak akan mampu bertindak sendirian jika pengikutnya tidak bersetuju dengannya dan tidak rela dipengaruhi. Maka dengan itu, dapatlah dirumuskan bahawa kuasa sebenar dalam politik di sekolah atau institusi pendidikan adalah diukur berdasarkan sejauh mana pentadbir dapat memaksimumkan penglibatan atau penerimaan kakitangannya secara sukarela terhadap kepimpinan beliau, bukannya diukur berdasarkan betapa hebatnya pentadbir mengarah kakitangannya secara paksa.

Bagaimanakah pula pentadbir dapat memaksimumkan penglibatan kakitangannya (secara sukarela) dalam politik pendidikan yang dimaksudkan. Jawapannya adalah bergantung kepada gaya kepimpinan dan bagaimana pentadbir melaksanakan kuasa mereka.

Terdapat beberapa gaya kepimpinan yang boleh diamalkan oleh pentabir, iaitu:

1. Kepimpinan Demokratik (Democratic Leadership)
Pemimpin demokratik percaya kepada penglibatan semua orang dalam membuat sesuatu keputusan/tindakan. Dia juga percaya kepada musyawarah. Dia sering menurunkan kuasanya kepada orang-orang bawahan dan memberi kebebasan kepada mereka untuk membuat sesuatu keputusan berlandaskan kebijaksanaan dan kebolehan masing-masing. Para pemimpin jenis demokratik ini juga dikatakan mudah lentur dan bergantung kepada sumber-sumber kuasa yang tidak mendesak seperti kepakaran, memujuk, alasan-alasan yang kukuh dan ganjaran. Di samping itu, dia juga menekankan konsep perkongsian tanggungjawab apabila sesuai dan juga memberi kuasa.

2. Kepimpinan Autokratik (Autocratic Leadership)
Individu autokrat percaya kuasa membuat keputusan mesti dipegang oleh pemimpin. Dia memberi perintah dan pengikut mesti patuh kepada arahan yang diberi tanpa banyak soal. Pemimpin autocrat dapat mempastikan tugas-tugas yang diberi dilaksanakan dengan sempurna oleh orang bawahannya, tetapi oleh kerana mereka hanya mengikut arahan dan tidak boleh bersuara, semangat kerjasama mereka lemah dan mereka tidak kreatif serta tidak mempunyai inisiatif. Stail kepimpinan autokratik diangggap berkesan dalam situasi yang terdesak kerana ia membenarkan proses membuat keputusan yang tepat.

3. Kepimpinan Lepas-Bebas (Laizssez-Faire Leadership)
Pemimpin jenis ini memberi sepenuh kebebasan kepada orang-orang bawahan untuk bertindak atau membuat keputusan. Dia tidak mencampuri langsung. Dia melihat mereka sudah matang, tahu yang mana baik dan yang mana buruk serta membezakan antara betul dan salah. Baginya mereka bertanggungjawab sepenuhnya ke atas tindakan yang dilakukan, membiarkan mereka bersendirian dan jangan mengusik. Apa yang diperlukan hanyalah matlamat yang telah dipersetujui tercapai. Selain itu, pemimpin jenis ini tidak mempunyai matlamat dan objektif kerja yang jelas dan juga tidak mempunyai perancangan. Oleh kerana keadaan organisasi di bawah pemimpin-pemimpin itu tidak ada prosedur untuk membuat keputusan yang jelas, maka konflik antara berbagai kumpulan dinamik sama ada formal atau tidak formal akan wujud dan sukar untuk dikawal.

Ketiga-tiga gaya kepimpinan di atas adalah penentu kepada bentuk kuasa dan juga penjalanan politik dalam pentadbiran di sekolah. Oleh itu terpulanglah kepada para pentadbir gaya kepimpinan yang mana jadi amalan mereka selama ini. Sebagai rumusannya, memang tidak ada satupun jenis kepimpinan yang terbaik kerana aplikasi gaya kepimpinan itu juga bergantuk kepada amalan kerja dan sikap individu dalam sesebuah organisasi.

Cuma apa yang dapat diperkatakan di sini, semua pentadbir seharusnya dapat menghindarkan diri daripada menjalankan kuasa dan politik yang berunsurkan kepentingan diri sendiri. Ini kerana amalan seumpama itu akan melunturkan sikap saling mempercayai di antara satu sama lain yang akhirnya meruntuhkan sistem politik organisasi yang cuba dibangunkan. Wallahualam..


Jika anda dapati artikel ini bermanfaat, anda boleh kongsikan kepada pembaca lain.






Terima kasih kepada semua pembaca Kulanzsalleh.com. Semua Artikel di blog ini adalah berdasarkan pandangan peribadi saya sendiri melainkan artikel berbentuk ilmiah, berita, petikan dan perkongsian lain yang tiap satu akan saya nyatakan sumber asalnya (Baca Terma & Syarat). Jika anda dapati artikel di blog ini bermanfaat, anda boleh kongsikan kepada pembaca lain di FACEBOOK atau TWITTER.

Leave a Comment

Previous post:

Next post:


leaderboard denaihati Banner