Kurikulum Pendidikan Islam

Kurikulum Pendidikan yang patut diberikan kepada anak-anak orang Islam bagi mencapai matlamat untuk melahirkan insan soleh dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelek yang dapat memikul tanggungjawab untuk memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Pendahuluan
Pendidikan membawa pengertian yang cukup luas. Ia meliputi hampir kesemua bidang aktiviti manusia daripada yang paling kecil seperti menjala ikan untuk dijadikan lauk hingga kepada aktiviti yang lebih kompleks seperti berfikir dalam bentuk individual ataupun secara kolektif. Boleh dikatakan, ia mencakupi bidang-bidang yang sama luasnya dengan tamadun sesuatu bangsa itu sendiri. Ini termasuklah bidang-bidang seperti falsafah, kesusasteraan, matematik, sains dan teknologi, pertukangan, ekonomi, agama, dan lain-lain. Jadi persoalannya, bagaimanakah sesuatu pendidikan itu mampu mencapai hasrat untuk melahirkan individu yang dapat menyumbang ke arah kemajuan diri, masyarakat dan negara

Jawapannya adalah bergantung kepada isi kandungan kurikulum suatu mata pelajaran. Kandungan Kurikulum menentukan sama ada suatu mata pelajaran itu mampu mendidik individu untuk menjadi seseorang yang bukan sahaja dapat memanfaatkan ilmu yang diperolehinya untuk kegunaan sendiri, malah dapat digunakan sebaiknya untuk kesejahteraan masyarakat dan negara.

Memandangkan betapa pentingnya kandungan kurikulum itu sendiri, maka pakar-pakar pendidikan telah menyediakan mata pelajaran-mata pelajaran yang difikirkan mempunyai kepentingan kepada masyarakat masing-masing. Jadi dalam konteks Malaysia, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) telah diperkenalkan. Dalam kurikulum ini, pendidikan agama (Islam) dan moral adalah dititikberatkan dan menjadi teras kepada mata pelajaran yang lain untuk memastikan matlamat pendidikan negara yang digariskan melalui Falsafah Pendidikan Negara dapat dicapai.

Jadi dalam perbincangan ini, kita cuba mengupas bagaimana rupa bentuk kurikulum yang perlu dimasukkan dalam pendidikan Islam agar anak-anak Islam dapat dibentuk sebagai seorang individu yang soleh melalui penerapan nilai-nilai intelek, rohani, jasmani dan emosi yang seimbang agar mereka ini nanti mampu memikul tanggungjawab yang dituntut dalam ajaran Islam.

Tujuan Pendidikan Islam
Sebelum kita meneroka lebih jauh tentang isi kandungan kurikulum dalam pendidikan Islam, adalah lebih elok jika kita membincangkan tujuan-tujuan diwujudkan pendidikan Islam. Ini kerana, kurikulum dan tujuan pendidikan tidak boleh dipisahkan dan saling mempunyai wasilah di antara satu sama lain. Kurikulum pendidikan perlu dibentuk berdasarkan tujuan pendidikan itu sendiri. Dalam erti kata lain, kurikulum pendidikan digubal berdasarkan tujuan-tujuan tersebut. Oleh itu, untuk menjelaskan tentang tujuan pendidikan Islam, kita tinjau terlebih dahulu secara ringkas pendapat-pendapat beberapa tokoh yang berkaitan.

Kebanyakan tokoh menggariskan bahawa pendidikan sebenarnya bukanlah sekadar untuk memenuhi bidang pekerjaan tetapi fungsi utamanya ialah untuk mempelajari seberapa banyak ilmu pengetahuan mengajar manusia mengenali diri, penciptanya dan alam ini. Al-Jammali (1966:82) menyenaraikan tujuan pendidikan Islam dengan berdasarkan kepada kandungan al-Quran seperti berikut:

  1. Memperkenalkan kepada manusia akan kedudukannya di antara sekalian makhluk dan tanggungjawab individu dalam alam ini.
  2. Memperkenalkan kepada manusia akan hubungan-hubungan sosialnya dan tanggungjawabnya dalam rangka suatu sistem sosial.
  3. Memperkenalkan kepada manusia akan makhluk (alam jagat), dan mengajaknya memahami hikmah penciptaannya.
  4. Memerkenalkan kepada manusia akan Pencipta alam jagat ini.

Ibnu Khaldun pula membahagikan tujuan pendidikan itu kepada tujuh, iaitu:

  1. Mempersiapkan seseorang dari segi keagamaan, iaitu mengajarnya syiar-syiar agama melalui al-Quran dan al-Sunnah. Dengan jalan itu potensi iman dapat dikuatkan.
  2. Memperlengkapkan akhlak manusia.
  3. Memperlengkapkan sosial manusia.
  4. Memperlengkapkan manusia dengan asas latihan vokasional atau pekerjaan.
  5. Mempertingkatkan daya pemikiran seseorang kerana dengan pemikiran seseorang itu dapat membuat berbagai pekerjaan dan pertukangan atau vokasional tertentu.
  6. Membekalkan seseorang dengan kemahiran kesenian, termasuk muzik, syair, khat, senibina dan lain-lain.

Hasan Langgulung pula menyatakan bahawa terdapat tiga tujuan utama pendidikan Islam, iaitu; Pertama, untuk menentukan haluan bagi proses pendidikan, iaitu ke arah manakah tujuan usaha manusia mendidik generasi muda, atau apakah corak manusia yang dihasilkan melalui pendidikan. Kedua, untuk merangsang dan mendorong manusia bekerja bersungguh-sunggguh bagi mencapai nilai-nilai murni dalam kehidupan. Ketiga, untuk menjadi kriteria dalam menilai proses pendidikan, iaitu menilai pencapaian pendidikan itu, sama ada berjaya atau tidak. Di samping itu, beliau juga membahagikan tujuan pendidikan Islam tersebut kepada dua bahagian utama, iaitu tujuan khas dan tujuan am.

Muka Surat 1 | 2 | 3

Please like & share:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>