≡ Menu

Pekerjaan Yang Dianggap Profesional

pic1

Sebenarnya bukan satu tugas mudah untuk memberikan definisi profesional yang benar-benar tepat kerana profesional mempunyai definisi atau maknanya yang tersendiri serta berbeza bagi setiap orang. Ada sesetengah ilmuan memberi perjelasan berdasarkan konteks, sebahagian lagi melihatnya dari segi praktis. Sebagai contoh, ada yang mengatakan profesional adalah berkaitan dengan sikap seseorang, jenis pekerjaan, kesukaran kerja, kepakaran dan bayaran kepada jenis pekerjaan tersebut. Walau bagaimanapun, berikut dijelaskan ciri-ciri pekerjaan yang dianggap profesional. Mungkin daripada penjelasan ini akan dapat memberikan kefahaman kita tentang makna profesional.

1. Pekerjaan itu merupakan perkhidmatan yang unik dan penting.
Sesebuah pekerjaan yang profesional mestilah merupakan pekerjaan yang unik dan penting, sama ada kepada masyarakat atau negara.

2. Banyak menggunakan keupayaan intelek.
Memerlukan keupayaan intelek yang tinggi untuk melakukannya. Tugas guru contohnya merupakan suatu pekerjaan yang perlu ada intelek yang tinggi agar guru-guru dapat menyampaikan ilmu dengan berkesan.

3. Pakar dalam bidang pekerjaannya dan mempunyai autonomi semasa menjalankan tugas.
Pekerjaan yang profesional juga memerlukan seorang yang pakar dalam suatu bidang tersebut dan benar-benar mahir dalam bidangnya.

4. Mendapat latihan khusus.
Bidang kerja profesional adalah pekerjaan yang penting dan harus dilakukan dengan betul. Oleh itu, seseorang haruslah mendapat latihan ikhtisas terlebih dahulu sebelum menceburkan diri dalam bidang tersebut. Latihan ikhtisas ini membolehkan mereka mahir dan faham tanggungjawab yang harus mereka pikul semasa melaksanakan tugas mereka.

5. Mementingkan mutu perkhidmatan serta dedikasi terhadap kerja.
Bidang profesional memerlukan seseorang pekerja yang rajin, cekap dan dedikasi terhadap kerjanya. Sikap ini akan menjamin kualiti kerana mementingkan mutu dan perkhidmatan yang cemerlang merupakan ciri penting dalam pekerjaan profesional.

6. Merupakan ahli kepada autonomi yang menentukan nilaitaranya.
Seseorang yang terlibat dalam pekerjaan profesional mestilah menjadi ahli kepada organisasi di mana mereka bekerja. Ahli dalam organisasi itu pula terikat dengan autonomi organisasi yang akan menentukan peraturan-peraturan yang harus dipatuhi oleh semua ahli organisasi. Peraturan-peraturan tersebut diwujudkan demi mengawal kualiti perkhidmatan.

7. Mematuhi kod etika yang ditentukan oleh organisasi profesion tersebut.
Setiap jenis profesion mempunyai kod etika tersendiri dan berlainan dengan profesion yang lain. Namun begitu, tujuannya adalah sama, iaitu untuk membolehkan seseorang pekerja itu mematuhi garis panduan dan dasar etika yang telah ditetapkan oleh organisasi.

8. Bertanggungjawab terhadap semua keputusan yang dibuatnya.
Pekerjaan yang profesional memerlukan pekerja yang bukan sahaja rajin dan cekap, malahan juga perlu ada tanggungjawab. Tanggungjawab tersebut bukan hanya meliputi tugas-tugas yang mesti dilaksanakannya tetapi turut merangkumi segala keputusan-keputusan yang telah dibuat. Jika seseorang itu bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuatnya, maka jelaslah bahawa sesuatu kerja itu mempunyai ciri-ciri pekerjaan yang profesional.

About the author: Kulanzsalleh

{ 0 comments… add one }