Home >> Artikel, Organisasi >> Pengenalan Tentang Kepimpinan

Pengenalan Tentang Kepimpinan

by Kulanzsalleh on September 14, 2009 · 19 comments

leadershipDefinisi Konsep

Secara umumnya, pemimpin ialah seorang individu dalam sesuatu kumpulan yang diberi tanggungjawab mengarah dan menyelaraskan aktiviti-aktiviti untuk mencapai matlamat kumpulan itu. Ini bermakna kepimpinan ialah proses mempengaruhi kegiatan kumpulan ke arah pencapaian sesuatu hasil yang telah dirancang. Sesetengah orang menganggap ‘pemimpin’ itu seseorang yang boleh mendorong pengikut untuk bekerja kuat,menghasilkan sesuatu yang agung dan orang yang membantu lebih daripada orang yang menaikkan semangat atau mengarah. Walau apa pun pandangan, pada asasnya pemimpin adalah gabungan semua sifat iaitu pengarah, pendorong dan pembantu.

Mengikut Katz dan Khan (1978) terdapat tiga perkara yang ditekankan dalam konteks kepimpinan, iaitu kedudukan atau jawatan, Sebagai peribadi seorang individu dan sebagai satu rangkaian tingkah laku tertentu. Robert Dubin (1958) menjelaskan iaitu; Leadership in organizations involves the exercise of autority and the making od decisions.

Berdasarkan definisi tersebut, kepimpinan merujuk kepada keupayaan serta kebijaksanaan seseorang ketua dalam menguruskan kakitangan bawahannya dan sumber yang ada. Ia juga bermaksud sesuatu kuasa yang ada pada seseorang pemimpin untuk menggerakkan anggota kumpulannya untuk mencapai matlamat tertentu.Untuk mempengaruhi kakitangan, biasanya seseorang pemimpin menggunakan pelbagai cara seperti memberi pujian, semangat, sokongan, ganjaran, menunjukkan model yang baik, menjelaskan matlamat yang dikehendaki dan sebagainya.

Dalam pentadbiran pendidikan, peranan kepimpinan adalah sangat penting. Sekolah yang berjaya dalam bidang akademik dan juga kokurikulum adalah bergantung kepada tonggak kepimpinan dan kebolehan seseorang pengetua. Sekolah yang mempunyai pelbagai kelengkapan tetapi pengetuanya pula seorang yang lembap dalam menjalankan tugas menyebabkan sekolah yang berkenaan tidak akan menjadi cemerlang. Jadi, kepimpinan yang cekap adalah memainkan peranan penting dalam kepimpinan pendidikan.

Untuk menjadi seorang pemimpin di sekolah dan juga seorang pemimpin di peringkat Jabatan Pendidikan Daerah, Negeri dan juga Persekutuan memerlukan ketokohan kepimpinan. Ia memerlukan pengetahuan dalam bidang akademik, latar belakang murid dan masyarakat, masalah tingkah laku pelajar dan kakitangan, kurikulum sekolah, pengurusan pejabat, konsep kepimpinan, hubungan komunikasi, masalah politik semasa dan sebagainya. Tanpa pengetahuan yang lengkap dalam bidang-bidang tersebut, seseorang pentadbir pendidikan akan merasa tidak yakin ke atas keupayaan kepimpinannya.

Teori-Teori Kepimpinan
Banyak teori mengenai kepimpinan dikemukakan. Dari dahulu hingga sekarang berbagai-bagai sudut dikaji. Namun pendapat-pendapat mengenainya tidak sekata. Hasilnya muncul pelbagai pandangan berkaitan dengan kepimpinan. Seorang pemimpin yang baik perlu mengetahui tentang teori, model dan konsep kepimpinan yang wujud. Dalam mengkaji kepimpinan, berbagai teori dikemukakan seperti teori sifat, teori perlakuan, teori kotegensi, teori karismatik, teori X, Y dan Z, dan sebagainya.

Teori X dan Y
Teori ini telah diasaskan oleh Douglas McGregor (1960) yang membuat dua set andaian terhadap manusia iaitu ‘Teori X’ dan ‘Teori Y’. Teori X ialah pendekatan ‘carrot and stick (Razali Mat Zin, 1966). Teori X mengandaikan bahawa pekerja semulajadinya malas dan akan mengelak daripada bekerja kecuali dipaksa, pekerja tidak mempunyai cita-cita dan tidak mahu memikul tanggungjawab, pekerja tidak mempunyai motivasi untuk menjayakan matlamat organisasi dan pekerja hanya mahu bekerja kerana dirangsang oleh keperluan psikologi dan keperluan keselamatan mereka sahaja.

Teori Y pula lebih bercirikan motivasi dan pengiktirafan. Teori ini mengandaikan bahawa kerja sebagai satu perkara semulajadi iaitu suatu perkara biasa sama seperti bermain, bersukaria dan lain-lain jika keadaan kerja itu baik, tetapi mereka akan menganggap kerja sebagai beban jika pengalaman bekerjanya pada masa lepas tidak menyenangkan. Selain itu, pekerja sememangnya mencari dan mahukan tanggungjawab kerana ia membawa kepada kepuasan jiwa.

Teori Perhubungan Manusia
Teori ini menjelaskan bahawa perhubungan manusia boleh mempengaruhi kelakuan dan perlakuan antara kedua-duanya. Perlakuan pemimpin terutamanya, boleh memberi kesan terhadap kepuasan hati pengikut dalam melaksanakan tugas. Kajian-kajian telah dibuat oleh pelopor-pelopor teori ini untuk mengenalpasti perlakuan-perlakuan ini dan didapati ada dua corak perlakuan pemimpin yang sangat disukai orang-orang bawahan iaitu :

  1. Perhatian dan penekanan terhadap tugas untuk mencapai matlamat organisasi (task-orientation).
  2. Perhatian dan penekanan terhadap perhubungan baik antara pemimpin dengan orang-orang bawahan (human relations orientation).

Kajian-kajian ke atas dua perlakuan ini membawa kepada kesimpulan bahawa pemimpin yang memberi perhatian berat kepada tugas dan orang-orang bawahannya boleh membawa kejayaan kepada organisasinya. Dalam erti kata lain, pemimpin yang berjaya ialah pemimpin yang mengambil berat tentang tugas dan yang menjaga perhubungan baik dengan pengikutnya.

Teori Kepimpinan Mengikut Situasi (Situasional Leadership Theories)
Bermula dari tahun 1940-an lagi penyelidik-penyelidik telah mencari faktor-faktor situasi yang boleh mempengaruhi peranan, kemahiran, dan tingkah laku pemimpin ke atas prestasi dan kepuasan bekerja.Fred Fiedlier telah mencadangkan satu model Kotegensi Kepimpinan yang efektif. Model ini mengandungi hubungan antara stail kepimpinan dengan suasana situasi yang menyenangkan. Kesesuaian situasi ini bergantung kepada 3 dimensi berikut:

  1. Hubungan antara pemimpin dan pekerja berdasarkan kepada percaya dan hormat menghormati.
  2. Darjah struktur tugas, iaitu sejauhmana tugas itu didefinisikan dengan jelas atau kabur.
  3. Kedudukan dan kuasa pemimpin yang didapati melalui autoriti formal, sama ada pemimpin/ individu boleh mempertimbangkan untuk memberi ganjaran, dendaan, menilai atau menaikkan pangkat kakitangan.

Situasi yang menyenangkan akan diperolehi sekiranya ketiga-tiga dimensi tersebut positif. Dengan kata lain, sekiranya ketua itu secara amnya diterima kakitangan, struktur tugas jelas dan ketua mempunyai autoriti dan kuasa formal. Situasi ini menyenangkan dan digabungkan dengan gaya kepimpinan dapat menghasilkan keberkesanan.

Dalam Teori Kepimpinan Mengikut Situasi, teori ini bermula dengan anggapan bahawa keadaan yang berbeza memerlukan cara memimpin yang berbeza, jika keberkesanan ingin diwujudkan. Rasionalnya ialah kepimpinan yang berkesan akan bukan sesuatu yang nyata yang boleh wujud tersendiri dengan bentuk yang sama, tetapi ianya bergantung kepada beberapa faktor lain berupa manusia dan persekitaran yang saling berinteraksi dan saling mempengaruhi. Intipati kepada teori-teori ini ialah :

  1. Cara memimpin yang berbeza boleh berkesan, bergantung kepada kematangan orang-orang bawahan ; mereka yang matang kurang memerlukan penyeliaan, manakala mereka yang kurang matang memerlukan arahan dari ketua
  2. Cara memimpin yang berbeza sesuai dalam keadaan yang berbeza ; cara paling baik hendaklah mengambil kira faktor-faktor penting sebelum sesuatu keputusan dibuat
  3. Tidak ada hanya satu saja cara memimpin yang paling baik; keberkesanan seseorang pemimpin bergantung kepada persekitaran yang berupa manusia dan keadaan
  4. Pemimpin yang berkesan adalah mereka yang mendorong dan menunjuk jalan kepada orang bawahan untuk menghasilkan sesuatu yang paling baik.

Teori Perlakuan
Teori ini menjelaskan bahawa perhubungan kemanusiaan boleh mempengaruhi kelakuan dan perlakuan antara kedua-duanya. Perlakuan pemimpin terutamanya, boleh memberi kesan terhadap kepuasan hati pengikut dalam melaksanankan tugas. Kajian-kajian oleh pelopor-pelopor teori ini untuk mengenalpasti perlakuan-perlakuan ini dan didapati ada dua corak perlakuan pemimpin yang sangat mempengaruhi orang-orang bawahan iaitu perhatian dan penekanan terhadap tugas untuk mencapai matlamat organisasi (task-orientation) dan perhatian dan penekanan terhadap perhubungan baik antara pemimpin dengan orang-orang bawahan (human relations orientation).

Kajian-kajian ke atas dua perlakuan ini membawa kepada kesimpulan bahawa pemimpin yang memberi perhatian berat kepada tugas dan orang-orang bawahannya boleh membawa kejayaan kepada organisasinya. Pemimpin yang berjaya ialah pemimpin yang mengambil berat tentang tugas dan yang menjaga perhubungan baik dengan pengikutnya.

Fungsi dan peranan pemimpin dilihat melalui dua kategori iaitu untuk menyelesaikan masalah dan pengendalian kumpulan pengikut. Pemimpin yang berkesan lazimnya bijaksana dalam mengendalikan kedua-dua perkara tersebut dalam memenuhi tuntutan individu, kumpulan dan organisasi. Pemimpin juga dinilai dari segi keupayaannya dalam melaksanakan tangungjawab berorientasikan pekerja atau tugas.

Pemimpin yang mementingkan organisasi tugas lebih mengutamakan standard pencapaian dan daya pengeluaran tetapi hubungan kemanusiaan dan kebajikan pekerja kurang dititik beratikan. Pemimpin yang berorientasikan pekerja mendapat pujian dan popular tetapi mungkin menurun dari segi produktiviti dan kualiti. Kesan perlakuan pemimpin berdasarkan tangungjawab berorientasikan tugas dan orentasi pekerja telah memberi impak terhadap keberkesanan peranan kepimpinan mereka.

Keseluruhannya, walaupun teori-teori yang dikemukakan ini berbeza dari segi pendekatan, isi dan kesimpulan, kesemuanya mirip menyatakan ada satu saja cara yang terbaik untuk memimpin orang bawahan. Masing-masing mengutarakan cara mereka. Ada yang mengatakan kejayaan bergantung kepada karisma seseorang, ada yang mengatakan bahawa kejayaan pemimpin bergantung kepada kelakuan dan perlakuan tertentu, dan ada pula yang mengatakan kejayaan bergantung kepada anggapan pemimpin terhadap orang-orang bawahannya ( Ibrahim Mamat, 2001).

Walau bagaimanapun, semuanya mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri. Tidak ada satupun yang sempurna. Namun teori-teori ini sangat berguna untuk diteliti oleh orang-orang yang ingin menjadi pemimpin kerana mereka dapat mengetahui hal-hal yang boleh memberi kesan ke atas kepimpinan.

Jenis-Jenis Kepimpinan

Penyelidikan mengenai jenis kepimpinan ini masih berjalan dengan lancar dan selain dari jenis yang disebutkan di atas, ada berbagai-bagai lagi gaya kepimpinan. Reddin , 1970 (dalam Robiah Sidin, 1989) telah membahagikan gaya kepimpinan mengikut model dimensi yang mengandungi tiga gaya asas, empat gaya pengurusan yang berkesan dan empat lagi gaya pengurusan yang agak kurang berkesan. Manakala Boles dan Davenport, 1975, telah menyarankan beberapa gaya untuk kepimpinan dan cara dia menggunakan kuasa itu.

Gaya kepimpinan yang pelbagai menunjukkan bahawa konsep kepimpinan itu adalah amat rumit. Seseorang pentadbir yang memegang sesuatu jawatan itu tidak semestinya terus dianggap menjadi seorang pemimpin. Pentadbir harus pertama sekali berupaya menggerakkan anggota-anggota lain di dalam sesuatu kumpulan itu, membimbing dan mengarahkan mereka menuju ke suatu matlamat tertentu.

Dalam pada itu, pentadbir harus memastikan bahawa dia mematuhi norma-norma yang telah ada mengenai seseorang pemimpin. Segala langkah tindakannya juga harus memberi kepuasan kepada anggota-anggota secara individu. Untuk membolehkan pentadbir membuat penyesuaian terhadap keperluan-keperluan yang bermacam-macam lagi kompleks, seseorang pemimpin harus berupaya mengubahsuai gaya kepimpinannya mengikut keadaan yang timbul.

Kepimpinan Demokratik (Democratic Leadership)
Pemimpin demokratik percaya kepada penglibatan semua orang dalam membuat sesuatu keputusan/tindakan. Dia juga percaya kepada musyawarah. Dia sering menurunkan kuasanya kepada orang-orang bawahan dan memberi kebebasan kepada mereka untuk membuat sesuatu keputusan berlandaskan kebijaksanaan dan kebolehan masing-masing.

Pemimpin demokratik berperanan menjadi pembimbing yang baik kepada kumpulannya. Dia menginsafi peranannya sebagai penyelaras tugas anggotanya dengan mengutamakan rasa tanggungjawab dan kerjasama baik kepada setiap individu yang dipimpinnya. Dia juga tahu urusan kumpulan bukan masalah peribadinya. Kekuatan kumpulan bergantung kepada penglibatan semua pihak. Sebagai pemimpin, ia menyedari dia tidak mampu bekerja seorang diri. Dia memerlukan sokongan orang-orang bawahannya. Kuasa diagih-agihkan menyebabkan semua orang merasa yakin dan senang hati menunaikan tugas masing-masing. Dengan demikian kumpulan akan terus berjalan lancar dan bergerak maju.

Menurut Ibrahim Mamat (2001), pemimpin demokratik berfungsi sebagai pemangkin yang mempercepatkan perjalanan proses menuju matlamat dengan cara yang paling sesuai. Disebabkan kepimpinannya bersifat membantu, dia dihormati dan dihargai serta dilihat sebagai lambang ‘kebaikan’. Orang bawahan tidak melihatnya sebagai majikan kerana apabila sesuatu hasil diperolehi, ia dianggap sebagai hasil dari komitmen bersama, buka hasil dari usahanya bersendirian kerana dia sedar bahawa dia buka ‘superman’.

Para pemimpin jenis demokratik ini juga dikatakan mudah lentur dan bergantung kepada sumber-sumber kuasa yang tidak mendesak seperti kepakaran, memujuk, alasan-alasan yang kukuh dan ganjaran. Di samping itu, dia juga menekankan konsep perkongsian tanggungjawab apabila sesuai dan juga memberi kuasa. Jenks (1990) mengaitkan gaya kepimpinan ini juga dengan tingkah laku dan mengatakan bahawa kepimpinan turut serta mementingkan kedua-dua pengeluaran dan manusia atau struktur tugas dan timbangrasa. Di antara matlamat stail kepimpinan ini adalah semangat kerja berpasukan.

Kepimpinan Autokratik (Autocratic Leadership)
Individu autokrat percaya kuasa membuat keputusan mesti dipegang oleh pemimpin. Dia memberi perintah dan pengikut mesti patuh kepada arahan yang diberi tanpa banyak soal. Pemimpin autocrat dapat mempastikan tugas-tugas yang diberi dilaksanakan dengan sempurna oleh orang bawahannya, tetapi oleh kerana mereka hanya mengikut arahan dan tidak boleh bersuara, semangat kerjasama mereka lemah dan mereka tidak kreatif serta tidak mempunyai inisiatif.

Para pemimpin autokrat lazimnya berfungsi secara autonomi memberi tunjuk ajar tentang apa dan bagaimana tugas-tugas harus dilakukan, membuat keputusan sendiri dan suka memberi arahan (Keith & Girling, 1991). Kepimpinan mereka dicirikan oleh penekanan yang kuat terhadap pengeluaran dan kurang terhad elemen manusia (Jenk, 1990). Orang-orang bawahan diharapkan mengikut dan membuat apa yang mereka diarahkan. Konflik atau masalah diselesaikan dengan pantas dan komunikasi lebih bersifat dari atas ke bawah.

Mereka menggunakan ganjaran dan hukuman, memuji dan memberi penghargaan dan selalunya menggunakan kritikan tidak membina (Keith & Girling, 1991). Power & Power (1983) berpendapat, sekiranya pemimpin ini berketrampilan, tingkahlakunya yang autokratik itu akan dianggap sebagai beban yang terpaksa diterima. Jika tidak berketrampilan perasaan marah, kebencian dan kerisauan akan timbul dan ini akan melumpuhkan seluruh operasi organisasi. Stail kepimpinan autokratik diangggap berkesan dalam situasi yang terdesak kerana ia membenarkan proses membuat keputusan yang tepat.

Kepimpinan Lepas-Bebas (Laizssez-Faire Leadership)
Pemimpin jenis ini memberi sepenuh kebebasan kepada orang-orang bawahan untuk bertindak atau membuat keputusan. Dia tidak mencampuri langsung. Dia melihat mereka sudah matang, tahu yang mana baik dan yang mana buruk serta membezakan antara betul dan salah. Baginya mereka bertanggungjawab sepenuhnya ke atas tindakan yang dilakukan, membiarkan mereka bersendirian dan jangan mengusik. Apa yang diperlukan hanyalah matlamat yang telah dipersetujuai tercapai.

Keadaan yang sangat bebas dan liberal ini terkadang memperlihatkan sesebuah kumpulan itu seolah-olah tidak mempunyai pemimpin kerana setiap orang bekerja mengikut cara tersendiri. Seandainya orang-orang bawahan betul-betul matang, maka penghasilannya memang baik, tetapi jika ramai antara mereka yang kurang matang, maka hasilnya sangat tidak memuaskan kerana mereka seperti kehilangan pedoman sebab tiada pemandu/pembimbing yang menunjuk arah.

Menurut Keith & Girling (1991), stail kepimpinan laissez-faire bersandar kepada falsafah membiarkan setiap individu dalam organisasi membuat kerjanya sendiri. Para pemimpin jenis ini tidak mempunyai matlamat dan objektif kerja yang jelas dan juga tidak mempunyai perancangan. Oleh kerana keadaan organisasi di bawah pemimpin-pemimpin itu tidak ada prosedur untuk membuat keputusan yang jelas, maka konflik antara berbagai kumpulan dinamik sama ada formal atau tidak formal akan wujud dan sukar untuk dikawal.

Ikuti Sambungan artikel ini:

- Model-Model Kepimpinan
- Ciri-Ciri Pemimpin yang Baik

Rujukan artikel ini boleh diperoleh di laman: Ciri-Ciri Pemimpin yang Baik


Jika anda dapati artikel ini bermanfaat, anda boleh kongsikan kepada pembaca lain.






Terima kasih kepada semua pembaca Kulanzsalleh.com. Semua Artikel di blog ini adalah berdasarkan pandangan peribadi saya sendiri melainkan artikel berbentuk ilmiah, berita, petikan dan perkongsian lain yang tiap satu akan saya nyatakan sumber asalnya (Baca Terma & Syarat). Jika anda dapati artikel di blog ini bermanfaat, anda boleh kongsikan kepada pembaca lain di FACEBOOK atau TWITTER.

{ 19 comments… read them below or add one }

1 M.YAZID September 14, 2009 at 7:37 am

wah.. informasi yg bagus!

Reply

2 Kulanz Salleh September 14, 2009 at 1:56 pm

Terima kasih saudara M. Yazid..

Reply

3 Lina February 10, 2010 at 12:19 pm

Thanks for the info in this article.
Hoping that we can share the sources taken for this article writing.
Do email me . Thank you.

Reply

4 kulanz February 11, 2010 at 12:58 am

terima kasih sudi bertandang..
sya akan pos sambungan artikel ni bsama rujukannya sekali, ASAP..

Reply

5 eira February 27, 2010 at 1:11 pm

salam, de sambungan artikel ni x?

Reply

6 kulanz March 1, 2010 at 1:31 am

Salam, entri ni mmg dah ada sambungan dah..
boleh rujuk Bahagian 2 dan Bahagian 3.

Tapi bahagian penutup tak sempat publish lagi. Terpaksa pos dalam entri berlainan sebab panjang sangat.

Reply

7 KinGer March 29, 2010 at 5:12 pm

thx, it help me a lot

Reply

8 hanna May 14, 2010 at 5:39 pm

nak tahu…references nie nak tahu dari mana ek?

Reply

9 mail June 30, 2010 at 1:36 am

ya ampun…tq kpd penderma bhn ni.amat berguna kpd sy

Reply

10 etomyam July 18, 2010 at 12:51 am

Laizssez-Faire Leadership ni kalau tak ada kawalselia boleh jadi huru har jugak ni

Reply

11 dyg jamilah August 30, 2010 at 5:46 am

best untuk rujukan

Reply

12 azlan December 20, 2010 at 2:22 pm

menarik sekali

Reply

13 kents_az January 16, 2011 at 11:28 am

salam…
artikel ini banyak membantu kajian saya yang mengkaji kepimpinan wanita dalam pentadbiran. blh x en. kulanz send kt emel saya rujukan yang en gunakan untuk artikel ini? terima kasih kerana membantu..

Reply

14 Kulanzsalleh June 11, 2012 at 11:51 pm

harap maaf terlepas pandang komen ini..
walau bagaimanapun rujukan telah saya kemaskini untuk kegunaan akan datang..

Reply

15 rosdi marzuki January 2, 2012 at 9:16 pm

copy deh

Reply

16 amy January 31, 2012 at 3:18 pm

Boleh x bagi bahan rujukan yang en gunakan dalam penulisan ini..
Ini kerana ianya amat berguna untuk saya taw..

Reply

17 Kulanzsalleh June 11, 2012 at 11:51 pm

sudah saya kemaskini… maaf lambat memberi respon

Reply

18 eka June 7, 2012 at 11:07 am

slm..boleh tak en bg bahan rujukan yang encik gunakan dlm penulisan encik ni.TQ

Reply

19 Kulanzsalleh June 11, 2012 at 11:49 pm

Salam, senarai rujukan telah saya kemaskini.. sila rujuk pautan di bahagian akhir artikel..

Reply

Leave a Comment

Previous post:

Next post:


leaderboard denaihati Banner