Perlembagaan Malaysia: Pengenalan

Pengenalan

Profesor Dicey berpendapat bahawa undang-undang perlembagaan mengandungi dua prinsip sahaja iaitu Prinsip Kedaulatan Parlimen dan Prinsip Kedaulatan Undang-Undang. Walau bagaimanapun, seperti mana yang dijelaskan oleh Tun Mohamad Salleh Abas (dalam Salleh Abbas, 1986), takrif yang diberikan tersebut tidak mencukupi kerana apa yang terkandung dalam perlembagaan itu merangkumi sesuatu yang lebih luas. Beliau juga telah menjelaskan bahawa perlembagaan itu ialah suatu surat atau surat cara yang mengandungi semua undang-undang tertinggi yang difikirkan mustahak bagi mewujudkan sebuah negara yang moden. Undang-undang tertinggi inilah yang menjadi punca bagi kesemua undang-undang sama ada yang sudah atau akan dibuat.

Sejauh mana kebenaran pendapat yang dikemukakan oleh kedua-dua tokoh tersebut belum dapat dipastikan memandangkan saya sendiri tidak memiliki ilmu yang tinggi mengenai konsep yang dibincangkan itu. Jadi adalah diharapkan melalui kajian-kajian keperpustakaan atau pembacaan saya berkaitan tajuk yang dibincangkan, saya bukan sahaja dapat menjawab persoalan tersebut, malah dapat menjelaskan beberapa konsep lain yang juga sinonim dengan tajuk yang dibincangkan ini.

Konsep Perlembagaan

Hasil daripada rujukan dan pembacaan daripada beberapa sumber yang relevan, saya dapati agak banyak definisi yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh berkaitan bagi konsep perlembagaan itu, antaranya[1]:

1. A. S. Hornby dalam Oxford Advanced Learner’s Dictionary.

Perlembagaan dimaksudkan sebagai satu sistem berkerajaan di mana undang-undang dan prinsip-prinsip kerajaan tersebut berpandukan bagaimanakah sesebuah negara itu diperintah.

2. Geoffrey Marshall dan Graeme C.Moodie dalam Some Problems of the Constitution.

Perlembagaan sebagai satu komposisi (gabungan) dan fungsi kepada prinsip bahagian-bahagian tertentu sesebuah negara yang mengawal kerajaan atau badan yang dikenali sebagai rakyat.

3. C.H. Pritchett dalam International Encyclopedia of Social Sciences.

Perlembagaan sesebuah negara itu sebagai satu rangka kerja peraturan perundangan yang menjadikan atau membuatkan sistem pemerintahan negara itu.

4. C.A. Leeds dalam bukunya, Politics.

Perlembagaan sesebuah negara bermaksud sebagai prinsip-prinsip atau dasar-dasar penting berpandukan kepada cara mana negara itu diperintah dan diisytiharkan, sama ada dalam undang-undang, adapt kebudayaan atau Majlis Piagam Perjanjian.

5. C.F. Strong dalam bukunya Modern Political Constitution.

Perlembagaan sebagai koleksi prinsip-prinsip kuasa pemerintah, hak-hak memerintah dan hubungan antara keduanya akan diubah.

6. R.N. Gilchrist dalam bukunya Principles of Political Science.

Perlembagaan mengandungi satu badan atau peraturan bertulis atau tidak bertulis yang dapat mengenal pasti kerajaan yang dibentuk, satu pembentukan kuasa untuk pelbagai organisasi kerajaan dan prinsip-prinsip umum yang akan menggunakan kuasa ini.

Pada asasnya, perlembagaan ditakrifkan sebagai prinsip asas yang mengasaskan sesebuah negara dan memperkenalkan sistem pemerintahan seperti yang termaktub sama ada dalam undang-undang atau adat perundangan. Perlembagaan adalah sejenis undang-undang yang mengandungi peraturan-peraturan yang boleh dikuatkuasakan. Beberapa konsep penting yang berkaitan dengan perlembagaan adalah:

  • Perlembagaan merupakan undang-undang yang mengandungi peraturan serta prinsip sebagai asas kepada pembentukan kerajaan dan juga panduan kepada kerajaan untuk melaksanakan kuasa dan mentadbir negara
  • Perlembagaan sesebuah negara boleh wujud dalam bentuk bertulis dan juga tidak bertulis. Perlembagaan Malaysia adalah contoh perlembagaan bertulis. Contoh perlembagaan tidak bertulis ialah perlembagaan United Kingdom.
  • Perlembagaan menjadi asas penting untuk menjamin kesinambungan pentadbiran dan kestabilan politik. Ia menjamin pentadbiran yang cekap, jujur, ikhlas, telus dan adil serta menjamin taat setia rakyat yang tidak berbelah bagi kepada negara.

Unsur-Unsur Tradisi Dalam Perlembagaan Malaysia

Sebelum Perlembagaan Persekutuan digubal, Tanah Melayu semasa penjajahan British pada masa itu telahpun mempunyai perlembagaannya. Perlembagaan tersebut digubal berikutan penubuhan Malaysan Union 1946. Walau bagaimanapun Malayan Union telah mendapat bantahan daripada penduduk Tanah Melayu memandangkan perlembagaan yang dibentuk gagal memenuhi tuntutan dan kehendak rakyatnya. Ini adalah kerana banyak perlembagaan tersebut lebih menguntungkan pihak British berbanding rakyat negara ini. Bahkan perlembagaan tersebut juga dikatakan telah mengetepikan nilai-nilai tradisi masyarakat Melayu yang telahpun diwarisi sejak zaman Kesultanan Melaka lagi.

Bagi memenuhi tuntukan rakyat pada masa itu, pihak British telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji dan seterusnya menggubal satu perlembagaan yang dapat memenuhi tuntutan rakyat di negara ini, khususnya berkenaan dengan nilai-nilai tradisi masyarakat pribuminya. Nilai-nilai tradisi yang dimaksudkan adalah: Kedudukan istimewa Raja-raja Melayu; Hak keistimewaan orang Melayu; Agama; dan Bahasa.

Berikut adalah penjelasan bagi keempat-empat nilai tradisi yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan itu.

1. Kedudukan Istimewa Raja-raja Melayu dan Yang Di-Pertuan Agong
Beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan mempunyai kaitan dengan kedudukan istemewa Raja-raja Melayu ini termasuklah Perkara 32, perkara 41, perkara 42, Perkara 44, Perkara153, dan Perkara 122B, perkara 41.

Tradisi pemerintahan beraja di Tanah Melayu pada masa itu sudahpun menjadi amlan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Kesultanan Melayu merupakan elemen penting dalam masyarakat Melayu. Ianya mengekalkan simbol penting bagi survival orang-orang Melayu. Oleh sebab itulah unsur tradisi ini dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan kerana sudah sekian lama orang Melayu diperintah berdasarkan pemerintahan beraja. Tambahan pula, sistem pemerintahan beraja akan dapat meningkatkan taat setia rakyat raja dan negara ini. Ketaatan kepada raja dan negara akan dapat memupuk persefahaman ke arah perpaduan.

2. Agama Islam
Perkara 3 Perlembagaan menjelaskan bahawa agama Islam ialah agama rasmi bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas (Perkara 11). Namun begitu hak-hak seseorang untuk mengembangkan agama boleh dikawal atau disekat oleh undang-undang negeri, atau undang-undang Persekutuan bagi kes Wilayah Persekutuan, jika pengembangan itu dibuat di kalangan mereka yang telah menganut agama Islam – Perkara 11 (4).

Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang bersatu padu. Berdasarkan falsafah Islam “membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia”, maka perlembagaan yang baik pasti akan menghormati hak-hak rakyat dalam negara tersebut, dan tidak cuba memaksa rakyat memperhambakan diri mereka kepada ideologi pemerintah. Peruntukan undang-undang seperti ini menunjukkan bahawa pemerintah amat bertoleransi dengan kaum-kaum lain yang mengamalkan agama yang berbeza. Perkara ini diberikan perhatian supaya masyarakat lain tidak berasa diketepikan atau ditindas dalam soal agama. Ini seterusnya akan dapat mewujudkan persefahaman dan permuafakan ke arah perpaduan di kalangan pelbagai kaum dan agama.

3. Hak keistimewaan Orang-Orang Melayu
Dalam Perlembagaan Persekutuan, hak-hak orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak ada dinyatakan dalam Perkara 153. Hak Istemewa Orang Melayu dan bumiputera meliputi: Bidang Perkhidmatan Awam – Perkara 153 (2, 3 dan 4); Bidang Ekonomi – Perkara 153 (6) dan Bidang Pelajaran – Perkara 153 (2, 3 dan 4). Selain itu, kedudukan istemewa orang Melayu dan bumiputera yang lain juga terdapat dalam peruntukan Perkara 89 dan 90, iaitu berhubung dengan tanah rizab Melayu; dan Perkara 8(5)(f) berkenaan kemasukan orang Melayu dalam Rejimen Askar Melayu dengan pengecualian orang bukan Melayu sebagaimana dikuatkuasakan. Hak-hak ini tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1971).

Melihat dari sudut kepentingannya, kita sedar bahawa orang Melayu merupakan penduduk asli atau pribumi negara ini. Justeru adalah wajar orang-orang Melayu diberikan hak keistemewaan tersebut. Ini kerana sebelum ini orang Melayu lebih banyak terlibat dalam bidang perikanan atau pertanian. Justeru adalah wajar orang-orang Melayu diberi keutamaan dalam kesemua aspek yang dinyatakan di atas bagi membolehkan mereka memperbaiki taraf hidup yang sebelum ini agak jauh ketinggalan berbanding kaum lain.

4. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan
Perkara 152 (1) menguatkuasakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Persekutuan. Bahasa ini secara automatiknya menjadi bahasa perantaraan untuk digunakan dalam semua maksud rasmi. Maksud “rasmi” ditakrifkan oleh Perkara 152 (6) dengan makna “apa-apa jua maksud kerajaan sama ada kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam”.

Jika melihat dari aspek rasional kenapa bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa rasmi negara, aspek sejarah perlu dipertimbangkan. Berdasarkan sejarah, bahasa Melayu telahpun menjadi lingua franca sekian lamanya (Salleh Abbas, 1986). Jadi tujuan di sebalik meluluskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah untuk memenuhi keperluan menyatupadukan pelbagai kaum di negara ini ke arah menjadi sebuah negara yang bersatu melalui satu bahasa yang sama.


[1] Kesemua definisi tokoh ini diperoleh daripada: Husin Mohd Tap, et.al (2008)

Artikel ini ditulis berdasarkan rujukan daripada beberapa buku. Walau demikian fakta yang diberikan mungkin hanya relevan semasa artikel ini ditulis. Bagi mengelakkan kesilapan fakta, pembaca diingatkan agar membuat rujukan daripada sumber-sumber terkini jika hendak menggunakannya sebagai bahan penulisan ilmiah.

Please like & share:

Comments

  1. bloginformasi says

    Subject berat ni. Baru ni ada baca Bar Council pun tengah anjur program penerangan tentang Perlembagaan Negara. Myconsti kalau tak silap.

  2. kulanz says

    Betul, memang agak berat..
    Ni lah nak kongsi sedikit informasi tentang perlembagaan, sekadar tambah sedikit pemahaman… tapi kalau nak bahas mmg tak berani lah, bab-bab perlembagaan ni sensetif ckit..

    • kulanz says

      Betul tu.. akupun masa belajar dulu tak minat benda2 ni semua.. tapi sekarang ni dah matang sikit dah.. hehe… rasa tanggungjawab mendorong semula utk aku tambah ilmu pasal kenegaraan ni..

  3. wardatul jannah says

    ermmm..boleh sya nk rujukan lengkap tjuk buku ni??
    1)C.H. Pitchett dalam International Encyclopedia of Social Sciences.
    2)C.A. Leeds dalam bukunya, Politics.
    3)C.F. Strong dalam bukunya Modern Political Constitution.
    4)R.N. Gilchrist dalam bukunya Principles of Political Science.
    sya nk wt nota kaki ni..
    so perlukan mklumat buku ni…
    dh cri..tp x der..
    pliss..

    • kulanz says

      nak buat asgmt ke? hehe
      ni antara rujukan tu:
      1. C. A. Leeds, 1968. Politics. London: Macdonald & Evans.
      2. C.F. Strong, 1963. Modern Political Constitution. London: Sidwick & Jackson
      3. Strong, C. F. 1949. Modern political constitutions: an introduction to the comparative study of their history and existing form. London: Sidgwick & Jackson
      4. R. N. Gilchrist, 1975. Principles Of Political Science – 8th Ed. London: Orient Longman.

      utk C.H Pritchett tu, tak ingat dah apa tajuk n page brapa.. try cari di buku: International Encyclopedia Of Social Science (international Encyclopedia Of The Social Sciences), terbitan Macmillan Reference Library, tahun 2007 (edisi baharu)

  4. peace_;) says

    apakah yang dimaksudkan dengan kedaulatan undang-undang? apakah perbezaan diantara rule of law dengan rule by law?

    • kulanz says

      Terima kasih sebab meninggalkan komen..

      Pertama sekali ingin saya maklumkan yang saya tidak mengambil jurusan undang-undang secara khusus, jadi ilmu masih kurang… wlupun begitu, saya cuba jelaskan mengikut fahaman saya sendiri:

      1. Secara ringkas, kedaulatan undang-undang adalah kedudukan undang-undang sesebuah negara sebagai kuasa tertinggi yang mesti dihormati dan dipatuhi oleh semua pihak atau lapisan masyarakat

      2. Perbezaan paling ketara bagi rule of law dan law by rule adalah dari segi pelaksanaannya atau bagaimana seseorang/negara menjalankan kuatkuasa undang2. Ringkasnya begini, seseorang yg berpegang kpd rule of law menjalankan kuasa undang2 berdasarkn apa yg tertulis, maknanya prinsip demokrasi/keadilan/nilai/etika undang2 itu dipatuhi. Manakala rule by law pula adalah pelaksanaan sesuatu hukum/undang2 atas dasar kekuasaan semata-mata. Undang2 tertulis tidak lagi dipatuhi, tapi ditentukan sendiri oleh orang yg ‘memegang’ kuasa tsbt.

      *Ini adalah pandangan umum saya, harap buat rujukan daripada sumber yang sahih.

    • kulanz says

      Nak bagi pendapat umum, boleh, tapi tak tau lecturer boleh terima atau tak. Apapun saya kongsikan beberapa perkara yg mungkin dapat membantu.

      1. Perkara 152 (1): Penggunaan bahasa Melayu (Malaysia). Hipotesis utama disebalik meluluskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah bertujuan untuk memenuhi keperluan menyatupadukan pelbagai kaum ke arah menjadi sebuah negara yang bersatu melalui satu bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu yang telah menjadi bahasa pengantar negara ini sejak dahulu lagi – (Salleh Abbas, 1986)
      2. Kebebasan beragama. Walaupun agama Islam dipilih sebagai agama rasmi, namun agama lain juga bebas diamalkan di negara ni sesuai dgn apa yg termaktub dalam perlembagaan. Ini juga langkah ke arah penyatuan pelbagai kaum.
      3. Perkara 153: kedudukan istimewa orang2 Melayu tanpa menafikan kedudukan yg sah kaum lain.
      4. Perkara 8: persamaan & hak sama rata & pengecualian peruntukan ini dlm soal agama, kedudukan istimewa org Melayu dan seumpamanya.
      5. Perkara 10(4): batasan hak kebebasan bersuara drpd menyentuh kedudukan Raja-raja, Islam, org Melayu, kewarganegaraan & seumpamanya.
      6. Perkara 38: kuasa Majlis Raja2 menghalang parlimen membuat undang2 yg menyentuh kedudukan Raja2 Melayu, org Melayu, Islam & bahasa Melayu
      7. Perkara 150 (6) : kedudukan agama Islam, adat istiadat Melayu dan bumiputera Sabah Sarawak, kewarganegaraan meskipun dlm keadaan darurat.

      Boleh juga rujuk berkenaan Kontrak Sosial* untuk buat penjelasan tentang hubungan etnik/perpaduan kaum berdasarkan Perlembagaan Persekutuan ni..

      *‘kontrak sosial’ – menstrukturkan sistem sosial Malaysia. Proses penggubalan dan penerimaannya penuh dengan perundingan, perdebatan dan tolak-ansur antara kelompok etnik di Malaysia.

  5. mimi says

    kedudukan dan peranan perlembagaan Malaysia sebagai kontrak sosial yang menstrukturkan negara? Apa pendapat anda? boleh bagi sedikit maklumat?

    • says

      Saya kurang jelas dengan persoalan yang dikemukakan, bagaimanapun saya cuba beri pandangan berdasarkan apa yg saya fahami.

      Pertama sekali, untuk menjawab persoalan ini, anda perlu mengetahui apa elemen-elemen kontrak sosial yang dijadikan asas dalam penggubalan perlembagaan (Rujuk Unsur-Unsur Tradisi Dalam Perlembagaan Malaysia di atas. Kedua, boleh dirujuk sistem pentadbiran kerajaan Malaysia (yang terbahagi kepada kuasa eksekutif, legistatif dan kehakiman) dan juga tanggungjawab sosial lain yang dilaksanakan kerajaan.

      Peranan Kontrak Sosial yang termaktub dalam Perlembagaan.

      1. Kedudukan dan peranan perlembagaan mmg telah jelas, ia merupakan dokumen bertulis yg mengandungi undang-undang tertinggi negara ini. Perlembagaan dijadikan asas dalam menentukan struktur pentadbiran/pemerintahan negara dan juga dalam melaksanakan tanggungjawab sosial kepada rakyat.

      2. Bagaimana perlembagaan (yang mengandungi kontrak sosial) menjadi asas kepada penstrukturan negara?

      i. Malaysia mengamalkan sistem ”Raja Berperlembagaan” – ini adalah berdasarkan unsur tradisi/kontrak sosial no.1 di atas; Kedudukan Istimewa Raja-raja Melayu dan Yang Di-Pertuan Agong
      ii. Menetapkan Islam sebagai agama rasmi – Berdasarkan Perkara 3 perlembagaan.
      iii. Menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara (juga terkandung dalam konntrak sosial dan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan).
      iv. Perlembagaan memperuntukkan pengasingan kuasa pentadbiran kepada 3, iaitu kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman.
      v. Penstrukturan Perkhidmatan Awam.
      – Tanggung jawab YDPA utk menentukan rezab org melayu/bumiputera dgn memperuntukkan satu kadar bilangan jawatan dlm perkhidmatan awam persekutuan yg baginda fikirkan perlu.
      – Dlm masa yg sama, semua kakitangan perkhidmatan awam mestilah diberi layanan yg adil & baik dr segi kenaikan pangkat, gaji dan kebajikan yg lain.
      – Peranan terpenting kontrak sosial (yg termaktub dlm perlembagaan malaysia) adalah berjaya melaksanakan dasar toleransi yg tinggi antara org Melayu dan bukan Melayu.

      Moga dapat menjawab persoalan.

  6. shafinaz says

    assalamualaikum wbt..bleh terangkan x pkaitan antara perlembagaan dlm proses pmbinaan sesebuah negara..dan boleh cadangkan x beberapa rujukan yg boleh digunakan…segala bantuan didahulukan ngn ucapan jutaan trima ksih….

    • says

      waalaikumsalam wbt,

      Sementara saya mendapatkan maklumat berkaitan, cuba rujuk jawapan yang saya berikan kpd saudari mimi di atas, mungkin ada sedikit yg dpt menjelaskan perkaitan di antara perlembagaan dan proses pembinaan negara bangsa.

      Untuk rujukan pula, mungkin senarai berikut boleh membantu:

      Mohamed Suffian Hashim. (1984), Mengenal Perlembagaan, (terj.) Abdul Majid Abd. Latiff dan Ridzuan Omar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

      Salleh Abbas. (1986). Traditional Element of Malaysia Constitutions: Its Development 1957-1977. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka.

      Sheela Abraham. 1993. Sejarah Perkembangan Negara. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

      Ting, C.P. 1987. Hubungan Ras dan Etnik: Satu Pengantar. Kuala Lumpur: Pustaka Dimensi.

    • says

      Kuasa Pengampunan Yang di-Pertuan Agong ada termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 42:

      Perkara 42. Kuasa pengampunan, dsb.
      (1) Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam Negerinya.

      (2) Tertakluk kepada Fasal (10), dan tanpa menjejaskan mana-mana peruntukan undangundang
      persekutuan yang berhubungan dengan peremitan hukuman kerana kelakuan baik atau khidmat khas, apa-apa kuasa yang diberikan oleh undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri bagi meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman bagi apa-apa kesalahan bolehlah dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika hukuman itu telah dijatuhkan oleh mahkamah tentera atau oleh mahkamah sivil yang menjalankan bidang kuasa di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, dan dalam apa-apa hal lain, kuasa itu bolehlah dijalankan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri tempat kesalahan itu telah dilakukan.

      (3) Jika sesuatu kesalahan telah dilakukan keseluruhannya atau sebahagiannya di luar Persekutuan atau di lebih daripada satu Negeri atau dalam hal keadaan yang boleh menimbulkan keraguan di mana kesalahan itu telah dilakukan, maka bagi maksud Perkara ini kesalahan itu hendaklah dikira telah dilakukan di Negeri tempat kesalahan itu telah dibicarakan. Bagi maksud Fasal ini, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, mengikut mana-mana yang berkenaan, hendaklah masing-masingnya dikira sebagai suatu Negeri.

      (4) Kuasa yang disebut dalam Perkara ini—
      (a) adalah, setakat yang kuasa itu boleh dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong, antara fungsi yang peruntukan berkenaan dengannya boleh dibuat oleh undang-undang persekutuan di bawah Fasal (3) Perkara 40;

      (b) hendaklah, setakat yang kuasa itu boleh dijalankan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri, dijalankan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi Negeri itu mengikut Fasal (5).

      Boleh rujuk Perlembagaan Persekutuan di sini:

  7. fakrul says

    assalamualaikum
    boleh x en jelaskan apa manfaat(keuntungan) dan kelemahan (kerugian) perlembagaan bertulis..
    terima kasih..

    • says

      waalaikumsalam wbt,
      Nak jelaskan tu susah sedikit, sayapun x pakar dalam bidang ni.. tapi beberapa point mungkin boleh saya beri:

      Kebaikan
      1. Sistem pentadbiran lebih sistematik dan lancar kerana terdapat setiap perkara (berkaitan pentadbiran) telah ditulis. Hanya perlu dipraktikkn sahaja. maka tidak akan wujud pertikaian tentang undang2 tertentu.
      2. Campur-tangan kuasa satu pihak kpd pihak lain tidak akan berlaku kerana dlm perlembagaan bertulis, kuasa bagi setiap pihak telah ditentukan.

      Kelemahan:
      1. Boleh mempengaruhi keputusan penghakiman. Contohnya, mahkamah memutuskan hukuman setimpal kpd orang tertentu mengikut suatu kesalahan. Tapi apabila keputusan tersebut berlawanan dengan apa yang tertulis dalam perlembagaan, berkemungkinan keputusan tersebut akan terbatal.
      2. Suatu undang-undang yg terkandung dalam perlembagaan itu mungkin sudah tidak relevan pada masa sekarang. Untuk mengubah perlembagaan, perlu melalui banyak prosedur.. suatu tindakan (undang2) berkaitan mungkin lambat diputuskan.

      Ini adalah pandangan peribadi saya.. harap maaf jika tidak dapat menjawab persoalan

  8. fakrul says

    terima kasih en atas penerangan yg en berikan..penerangan tu dah cukup buat sy memahami apa itu keburukan dan kebaikan perlembagaan bertulis

    kalau en tak keberatan sy ada beberapa lagi soalan yg sy tak fahami..susah jgkkan pasal2 perlembagaan ni..

    1. Apa keuntungan dan kerugian perlembagaan yang kaku?

    2. Jelaskan keuntungan dan kerugian perlembagaan fleksibel.

    3. Jelaskan demerits tidak bertulis (uncodified) perlembagaan?

    • kulanz says

      Nak jelaskan satu persatu memang susah..
      tapi tak silap saya perlembagaan yang kaku adalah perlembagaan yang hanya ‘bertulis’ tetapi tidak dilaksanakan atau peraturan tu tidak dikuatkuasakan.. Keuntungannya, boleh dirujuk bila-bila masa sebagai panduan dalam menetapkan peraturan.. kerugian, suatu perubahan mungkin sukar untuk dilaksanakan kerana perlu melalui proses undang-undang. Undang-undang fleksibel pula adalah sebaliknya..

    • kulanz says

      cuba rujuk komen no. 15, Fasal-Fasal yang disenaraikan tu adalah antara peruntukan yang bertujuan untuk membina perpaduan..
      di samping tu, boleh juga rujuk Perlembagaan Persekutuan yang lain, rujuk komen no.20 untuk muat-turun perlembagaan.
      harap dapat membantu..

  9. mackenzie wee says

    soalan
    1.pekara 152 perlembagaan persekutuan:boleh tolong jelaskan.
    2.peranan bahasa untuk menjayakan hasrat 1 malaysia.
    terima kasih

    • kulanz says

      Undang-undang bertulis dan tidak bertulis mempunyai perbezaan yang jelas. Biasanya Undang-undang bertulis dinyatakan dan dihuraikan maksudnya dengan jelas. Contoh undang-undang bertulis ialah seperti yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan/Malaysia – Perkara 152 (1): Penggunaan bahasa Melayu (Malaysia).

      Manakala undang-undang tidak bertulis pula ialah undang-undang/peraturan-peraturan yang tidak ditulis di mana-mana buku atau tidak mempunyai sistem undang-undang yang lengkap dan jelas, tapi ia tetap dilaksanakan. Undang-undang ini merupakan satu sistem amalan kuno (tapi di sesetengah tempat masih dilaksanakan hingga sekarang dan biasanya melibatkan undang-undang adat). Selalunya hukuman ditentukan berdasarkan amalan dan kebiasaan suatu kaum/puak/tempat. Sebagai contoh, jika pasangan lelaki dan perempuan ditangkap khalwat, ketua kampung/ketua puak akan memutuskan hukuman kedua pihak. Kadang lelaki dan perempuan tersebut dikehendaki untuk segera berkahwin. Kadang lelaki dan perempuan dikehendaki membayar denda. Ada juga hukuman yang menetapkan si lelaki perlu membayar lembu, kambing dan sebagainya kepada pihak perempuan sebab telah memalukan keluarga pihak perempuan. Begitulah lebih kurang.. tiada hukuman yang tetap bagi satu-satu kesalahan..

  10. noor farah says

    mengapakah perlembagaan persekutuan dikatakan tertinggi dalam sistem undang-undang di malaysia???? saya kurang pasti…

  11. yie says

    boleh tak beri satu contoh yg berlaku kebelakangan ini yg menunjukkan bahawa unsur-unsur tradisi telah dicabar?

  12. tisyam says

    Bole terangkan x sejauhmanakah unsur-unsur tradisi dipraktiskan dan dikekalkan di dalam perlembagaan malaysia??

  13. wanda says

    Assalammualaikum.. artikel en dpt mnmbhkn ilmu. Blh x en trangkn tntng darurat yg prnah brrlaku d mlysia, terutama tntng darurat di sarawak(stephen kalong nikan) n di kelantan.. saya dapati sgt kurang mklumat tntng darurat d negeri trsebut.. blh en mmbntu?

  14. AZA hanie says

    salam.. maklumat yang berguna yang telah encik sampaikan. boleh encik komen berkaitan…. Malaysia merupakan negara yang amalkan sistem pemerintahan yg unik berteraskan demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan. tq

  15. nramalina says

    assalamualaikum..
    boleh tak, Encik tolong jelaskan maksud kenyataan ini..

    perlembagaan malaysia selain berperanan sebagai dokumen perundangan tertinggi negara juga merupakan satu ‘kontrak sosial yang menstrukturkan sistem sosial malaysia ..

  16. margaret pan says

    Thanks kulanz, sy baru nak buat assignment ni… tak sangka plak jumpa maklumat ni dlm blog u. Jumpa lagi…

  17. syila says

    assalamualaikum..
    boleh tak, Encik tolong jawab kenyataan ini..
    mengapakah perlembagaan persekutuan yang menekankan unsur tradisi berasaskan kepada orang melayu bukan orang asli?

  18. rinie says

    Salam… boleh tlg jelaskan makna kontrak perkhidmatan dan kontrak untuk perkhidmatan?
    – apakah perkara-perkara yang patut dilakukan atau digunapakai dalam mahkamah dalam menentukan hubungan majikan dengan pekerja?
    – CAdangan yang boleh dibuat kepada perundangan semasa mengenai isu perundangan ini.
    Please….. I dah ble… ni… fikir perkara ni….. tq.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>