≡ Menu

Perancangan sumber manusia

Sumber Manusia

Sumber ManusiaPerancangan sumber manusia ialah satu proses menjangka dan membuat persediaan untuk pergerakan manusia ke dalam, di dalam, dan keluar daripada organisasi. Ia sangat penting terutamanya dalam sesebuah organisasi kerana ia bertujuan untuk mempermudah dan meningkatkan penggunaan sumber tenaga kerja secara efekttif bagi mencapai matlamat organisasi dan pekerja. Pendek kata, fokus pengurusan sumber manusia adalah untuk menjaga perhubungan pekerja dengan majikan agar objektif perniagaan akan tercapai.

Terdapat beberapa langkah dalam perancangan sumber manusia yang penting, antaranya: Pemantauan persekitaran; Meramal keperluan tenaga kerja; dan Menyeimbangkan bekalan dan keperluan sumber manusia.

Dari segi pemantauan persekitaran, ia akan mampu mengesan secara sistematik desakan-desakan luar yang boleh mempengaruhi organisasi. Contohnya faktor ekonomi, politik dan sebagainya. Selain memantau luaran, pemantauan persekitaran dalaman juga dilaksanakan iaitu dari segi budaya organisasi dan kualiti kehidupan bekerja dalam sesebuah organisasi.

Langkah berikutnya ialah meramal penawaran tenaga kerja. Terdapat beberapa kaedah untuk meramal penawaran tenaga kerja ialah jadual penstafan, analisis Markov, inventori kemahiran, carta gantian dan perancangan gantian.

Seterusnya ialah langkah meramal keperluan tenaga kerja. Langkah ini menggunakan dua kaedah atau pendekatan iaitu pendekatan kuantitatif (teknik statistik dan matematik) dan kualitatif (mengambil kira minat, keupayaan dan aspirasi pekerja).

Langkah terakhir ialah dengan menyeimbangkan bekalan dan keperluan sumber manusia. Langkah-langkah yang diambil itu telah diuji dan didapati boleh membantu pihak tertentu menjalankan tugas mereka.

Selain daripada pengetahuan tentang langkah-langkah pengurusan sumber manusia, seorang pengurus juga perlu mengetahui faktor-faktor persekitaran yang mempengaruhi perancangan sumber manusia. Ini amat penting kerana ia akan dapat memberikan panduan dalam membuat sebarang keputusan berhubung perancangan yang terlibat.

Faktor-faktor persekitaran yang dimaksudkan termasuklah: Faktor ekonomi; Trend persaingan; Teknologi masa kini; Sosial; dan Trend demografi.

Suasana ekonomi serantau atau global mampu mempengaruhi perancangan sumber manusia. Contohnya, pihak organisasi akan dapat membuat persediaan sama ada mengawal kemasukan tenaga pekerja baru atau melakukan pemberhentian pekerja yang berlebihan semasa kegawatan ekonomi. Sebaliknya apabila keadaan ekonomi stabil pihak pengurusan sumber manusia akan membantu organisasi dengan mendapatkan tenaga kerja (dalaman/luaran yang lebih efisyen) supaya organisasi mampu bersaing dengan organisasi lain.

Seterusnya ialah trend persaingan. Faktor ini dapat mempengaruhi perancangan sumber manusia kerana melalui persainganlah organisasi akan meningkatkan mutu perkhidmatan atau mencipta inovasi-inovasi baru bagi mengekalkan organisasi dapat terus bersaing.

Tidak dinafikan juga bahawa perubahan teknologi masa kini yang serba canggih termasuklah teknologi robotik dan automasi pejabat mampu mempengaruhi perancangan sumber manusia. Dalam hal ini, berkemungkinan teknologi canggih masa kini banyak digunakan menggantikan sumber tenaga manusia terutamanya yang kurang atau tidak produktif.

Isu politik dan perundangan termasuklah undang-undang dan pentadbiran merupakan salah satu faktor yang turut mempengaruhi. Suasana politik sesebuah negara mencorakkan sistem pentadbiran sumber manusia sesebuah organisasi. Ini kerana jikalau keadaan politik tidak stabil mustahil sesebuah organisasi itu mampu mengupah pekerja yang ramai dan sebagainya.

Selain daripada itu, faktor persekitaran seterusnya ialah hal-hal lain yang berkaitan dengan sosial. Ini termasuklah penjagaan anak dan keutamaan pendidikan. Sekiranya pekerja adalah wanita dan sudah berumahtangga, sudah tentu komitmen terhadap keluarga terutamanya anak amat besar. Oleh yang demikian, pihak pengurusan berkemungkinan akan mengurangkan pekerja wanita atau sebaliknya.

Faktor terakhir ialah trend demografik seperti umur, komposisi dan celik huruf. Pihak pengurusan sumber akan memantau faktor ini untuk mengambil, mengurangkan atau mengawal pekerja. Sekiranya organisasi mahukan pekerja yang baru, muda dan berpengetahuan mereka akan memiliki organisasi yang produktif serta mempunyai semangat berkerja yang tinggi. Namun kekurangan pengalaman serta sikap kurang rasional yang tinggi berbanding pekerja lama dan lebih berpengalaman menjadi kekangan.

Di samping memantau persekitaran luaran, pemantauan secara dalaman juga dilaksanakan. Pemantauan persekitaran dalaman ialah pemantauan budaya organisasi dan kualiti kehidupan bekerja dalam sesebuah organisasi.

Kesimpulannya, perancangan sumber manusia merupakan salah satu tugas yang penting pada sesebuah organisasi. Langkah-langkah perancangan dengan mengambil kira faktor-faktor persekitaran (luaran/dalaman) akan membantu memastikan organisasi berkenaan terus wujud dan mampu bersaing dalam pasaran.

Sumber:
Abd. Aziz Yusof (2004). Pengurusan Sumber Manusia: Konsep, Isu dan Pelaksanaan. (2nd ed). Pearson, Prentice Hall.
Raymond A. Noe. (2000). Pengurusan Sumber Manusia: Memperoleh Kelebihan Bersaing. McGraw Hill.
Robert L. Mathis & John H. Jackson. (2006). Human Resource Management (11th ed). Thompson South-Western.

About the author: Kulanzsalleh

{ 7 comments… add one }

  • tehr September 1, 2010, 1:06 am

    secara peribadi saya tidak bersetuju dengan langkah kerajaan melanjutkan umur bersara kakitangan awam dan sistem kontrak pegawai yang sepatutnya bersara

    langkah ini mengurangkan peluang generasi baru untuk mendapat kerja

    saya sendiri memilih untuk bersara pada umur 55 tahun

    • ashraf September 1, 2010, 2:56 am

      saya sokong, berilah peluang pada anak muda pulak..ramai skg ni pelajar tanam anggur..:)

  • etomyam September 1, 2010, 1:16 am

    artikel yang penuh info ni bro
    sumber manusia memang perlu dirancang dengan betul dan tepat, kalau tidak memang tidak tercapai objektif sesebuah organisasi :D

  • suri September 1, 2010, 10:03 pm

    suri sokong dgn pandangn teh tu.adeh asyik dema je bglah anak2 muda pula mrsa keje gomen.mrka pun ada juga potensi utk majukan ngra mrka jua..

    tak guna byk pusat U dibuka klr masuk pelajar, politeknik, mara dan sbgnya tapi ia tak mmpu utk mengurangkan jumlah penggangguan, malah gjla sosial adalah..

  • jawatan kosong September 1, 2010, 11:23 pm

    perancangan sumber manusia tu penting dalam dunia kerja.

  • mancai September 2, 2010, 3:00 am

    aku pernah mengikuti kursus pengurusan sumber manusia ni… penyertaan dalam 200 orang.. yang paling ramai adalah generasi muda termasuk aku… ternyata ilmu pengatahuan kekadang amat jauh berbeza dengan otai2… yang muda perlu dan patut ambil ilmu otai2 ni banyak2… dan jangan malu2 untuk bertanya… sekadar berkongsi pengalaman

  • fiziesss September 21, 2010, 7:27 pm

    Tenaga muda perlu diberi peluang, harap ramai remaja dapat kerja..:)

Next post:

Previous post: