Home >> Artikel, Organisasi >> Personaliti Unggul Nabi Muhammad S.A.W.

Personaliti Unggul Nabi Muhammad S.A.W.

by Kulanzsalleh on July 13, 2010 · 7 comments

Sambungan daripada artikel » sebelumnya

PENGENALAN

Sebagai pemimpin yang dipilih oleh Allah, tentunya Baginda dirancang sedemikian rupa untuk menjadikan Baginda pemimpin mithali. Kehidupan Baginda yang yatim, hidup dalam suasana kehidupan yang serba sederhana menjadi batu asas penting dalam proses pemupukan sifat kepemimpinan Baginda. Dengan kehendak dan pemeliharaan Allah, Baginda dapat membataskan diri Baginda dari perkara yang merosakkan dan tidak berfaedah. Baginda akhirnya menjadi manusia yang paling dipercayai yang digelar “al-amin” oleh seluruh masyarakat di zamannya.

PEMIMPIN MASYARAKAT

Nabi Muhammad s.a.w. memang sudah terkenal sebagai pemimpin masyarakat yang dihormati sejak sebelum menjadi rasul lagi, dan Baginda juga terkenal sebagai seorang yang amanah (al-Amin) di kalangan masyarakat Makkah. Akan tetapi oleh kerana ajaran Islam yang dibawanya menyebabkan kepimpinannya diketepikan begitu sahaja oleh masyarakat Quraisy.

Nabi Muhammad s.a.w. memiliki kualiti tinggi yang boleh memikat hati sesiapa sahaja yang baginda dampingi dan menjadi pujaan para pengikut Baginda. Baginda sangat baik, lemah lembut, merendah diri dan pengasih serta dapat memenangi hati orang ramai yang bersedia bekorban apa saja untuk Baginda.

Satu gambaran yang paling baik, mendalam dan wajar tentang Nabi Muhammad s.a.w. telah diberi oleh Umm Mu’bad, tuan khemah yang telah disinggahi Rasulullah s.a.w. ketika dalam perjalanan Baginda ke Madinah. Beliau telah memberi gambaran tentang Baginda kepada suaminya. Baginda memiliki rupa yang kacak, muka yang cerah,perwatakan yang disayangi orang, menarik, rambut panjang dan tebal, suara yang terang, mata besar dan hitam, tidak bercakap banyak, ramah mesra, memikat dan mempesonakan ketika jauh, manis dan memikat ketika dekat, ucapan dan kata-kata yang jelas, berkata-kata ketika perlu,saiz yang sederhana, tidak terlalu rendah dan tidak terlalu tinggi, seperti sesuatu yang segar dari taman yang indah dan kelihatan menarik serta sempurna binaanya. (Naeem Siddiqi. 1978:32)

Apabila berlakunya hijrah ke Madinah dan terbentuknya masyarakat Islam Madinah yang dianggotai kaum Muhajirin dan Ansar, sifat-sifat kepimpinan baginda dalam masyarakat terserlah kembali, malah keadaannya lebih hebat lagi. Sebagai bukti, Baginda telah berjaya menyatukan semula masyarakat Madinah yang berbilang agama dan keturunan setelah berlaku perpecahan begitu lama. Di samping itu, Baginda mengeratkan lagi hubungan di kalangan masyarakat Islam sendiri melalui usaha gigihnya melalui persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar.

Melalui penyatuan ini, sama ada sesama Islam atau antara orang Islam dengan bukan Islam menyebabkan masyarakat Madinah menjadi kuat, aman dan stabil dari segi politik dan ekonominya.

Bagi mengekalkan perpaduan masyarakat Madinah, Baginda menyeru supaya mereka bekerjasama dan bantu-membantu serta sama-sama memikul tanggungjawab mempertahankan Kota Madinah. Perkara ini dinyatakan dalam Piagam Madinah. Begitu juga dinyatakan mengenai prinsip kebebasan beragama. Di samping menghormati agama Islam dan nilai-nilai Islam, ia juga tidak menafikan agama-agama lain dan adat budaya orang bukan Islam. Struktur masyarakat yang berbilang agama, keturunan dan suku kaum dikekalkan seperti yang sedia ada serta dihormati. Ketua-ketua suku diberikan peranan khusus bagi mengendalikan anggota-anggota suku masing-masing.

Sebagai contoh, sebelum hukuman dijatuhkan ke atas kaum Yahudi kaum Bani Quraizah yang berkomplot menentang kerajaan Islam bersama kaum Musyrikin Quraisy, Nabi Muhamad (saw) menyerahkan kuasanya kepada Sa’d bin ‘Ubadah, ketua kaum Khazraj dan Sa’d Mu’adh, ketua suku kaum Aus untuk menjalankan penyiasatan. Setelah terbukti kesalahan Bani Quraizah, maka baginda menyerahkan kepada Sa’d bin Mu’adh untuk menentukan hukumannya kerana beliau lebih arif mengenai kedudukan Bani Quraizah. Bukankah ini suatu penyelesaian bijak sebagai seorang pemimpin masyarakat dalam mengendalikan masalah-masalah rumit seperti itu.

Kewujudan suku-suku atau puak-puak secara secara terpisah-pisah begitu hanya dapat menyelesaikan masalah-masalah dalaman sahaja. Bagi mengendalikan masalah-masalah yang lebih besar di peringkat yang lebih tinggi atau di peringkat antarabangsa memerlukan suatu ikatan yang lebih besar pula. Dengan sebab itulah konsep ummah (komuniti) diwujudkan. Menerusi ikatan perpaduan ummah batas-batas suku atau kaum dengan kaum dengan sendirinya terhapus kerana konsep ummah mempunyai pengertian dan implikasi yang lebih luas. Di samping itu, ikatan akidah dan ketakwaan di kalangan ummah Islam memberikan makna dan implikasi sejagat. Bukanlah ini merupakan suatu dasar demokratik yang adil lagi bijaksana?

Apabila masyarakat Madinah menjadi kukuh dan stabil, maka timbullah perasaan iri hati dan curiga di kalangan kaum musyrikin Quraisy, kerana pada awalnya mereka hanya menyangkakan Nabi Muhamad (saw) hanya sebagai nabi dan rasul yang ditugaskan membawa risalah agama semata-mata. Penentangan kaum Quraisy ini kemudiannya menjadi lebih kuat apabila mereka dapat tahu bahawa Baginda telah menubuhkan sebuah Negara Islam di Madinah. Pihak kaum Yahudi juga turut menentang, walaupun sudah menandatangani perjanjian damai dengan Nabi Muhammad (saw) iaitu Piagam Madinah. Punca timbulnya perasaan irihati serta kebencian kaum Yahudi terhadap Baginda adalah disebabkan kerana keterserlahan kepimpinan Baginda dalam bidang kepimpinan.

Oleh yang demikian, memang tidak memeranjatkan apabila Baginda berjaya memenangi hati sebahagian besar penduduk dan bersedia untuk berkorban apa sahaja, walaupun nyawa mereka untuk Baginda dan tidak membenarkan sebarang kecederaan walaupun kecederaan yang sedikit berlaku kepada Rasul kesayangan mereka.

Sebagai contoh di dalam peperangan Uhud, seorang wanita telah kehilangan ayah, suami dan adik lelakinya. Apabila dia diberitahu tentang kematian mereka, beliau telah bertanya apakah pula yang telah berlaku kepada Rasulullah s.a.w. . Beliau telah diberitahu bahawa dengan ihsan daripada Allah s.w.t. Baginda telah selamat lalu beliau berkata “malang yang menimpa dan menyiksa keluargaku tidak penting asalkan Rasulullah s.a.w. selamat”

Memang luar biasa dan jarang sekali seorang manusia memiliki kesemua ciri kepimpinan. Orang yang memiliki ciri-ciri yang sedemikian lengkap ialah Rasulullah s.a.w. Secara fizikalnya Baginda seorang yang tegap, tampan serta menarik, berucap dengan hati yang berani, manakala jika berhujah Baginda sangat hebat dan tidak dapat dikalahkan. Baginda memiliki watak yang sangat sempurna, jujur, sederhana serta baik hati. Jika mencapai kemenangan di dalam pertempuran, Baginda menjadi seorang yang pemaaf, penyayang dan pemurah. Ketika berurusan dalam masalah yang dihadapi oleh orang ramai, Baginda merupakan seorang yang adil manakala dalam persoalan sosial, Baginda seorang yang bijak, bertimbangrasa serta memahami.

Sehubungan dengan itu, Thomas Carlyle telah mencatatkan; “Melalui kehidupannya kita dapati bahawa Baginda memiliki ciri-ciri yang begitu utuh, sekaligus seorang yang pengasih, bijak, serius, ikhlas, lemah lembut, peramah malah seorang yang lucu”. (Afzalul Rahman, 1993:840)

Ringkasnya, Allah s.w.t. telah menggabungkan kesemua ciri kemanusiaan yang paling baik dan sempurna dalam diri Nabi Muhammad s.a.w. dan telah menunjukkan kesemuanya melalui contoh kehidupan Baginda kepada pengikutnya. Firman Allah s.w.t. yang menjelaskan perkara ini adalah seperti berikut yang bermaksud;
“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada (diri) Rasulullah itu contoh ikutan yang paling baik……..”

(al-Quran. al-Ahzab 33:21)

PEMIMPIN POLITIK

Kepimpinan politik Nabi Muhamad (saw) memang sudah terserlah sejak Baginda masih di Kota Makkah lagi iaitu apabila Baginda berjaya menyelesaikan masalah pemindahan Hajar al-Aswad ke tempat asalnya di Kaabah. Ekoran daripada itu berlaku pula peristiwa Perjanjian Aqabah, di mana Baginda telah menunjukkan peristiwa kepimpinan politik yang matang. Akan tetapi peristiwa itu hampir dilupakan oleh musuh-musuhnya, termasuklah kaum Yahudi ekoran berlakunya hijrah Baginda ke Madinah. Mereka sebagai orang pelarian, dan sekali gus memberikan penghormatan yang besar kepada kaum musyrikin Makkah kerana berjaya menghalau Baginda dari kota itu. Akan tetapi niat buruk di hati mereka itu terbongkar sebaik sahaja orang Islam memenangi perang Badar pada tahun ke-2H. Namun begitu, sebagai seorang pemimpin politik yang berkaliber, Nabi Muhamad (saw) tidak menunjukkan permusuhan terhadap kaum Yahudi, malah Baginda terus mengadakan perundingan dengan mereka. Setelah perundingan ini gagal, barulah Baginda membuat tindakan menyingkir mereka dari bumi Madinah. Penyingkiran mereka ini dilakukan secara terhormat.

Kepimpinan politik Nabi Muhamamad (saw) bukan hanya terserlah di peringkat tempatan, tetapi turut terserlah di peringkat antarabangsa. Baginda boleh dianggap sebagai seorang diplomat yang berjaya kerana inisiatifnya menghantar perwakilan ke luar Negara seperti Habsyah, Mesir, Byzantine dan Parsi bagi memperkenalkan ajaran Islam kepada mereka. Kesan daripada misi diplomatik ini segera dicapai, tidak sampai setengah abad lamanya semua negara berkenaan telah tunduk di bawah pemerintahan Islam.

Di samping itu, Baginda juga berjaya menerusi bimbingan wahyu, memperkenalkan sistem syura atau musyawarah. Sistem syura ini dilaksanakan di semua peringkat dalam semua bidang, khususnya dalam bidang politik dan ekonomi. Sebagai contoh, pengadilan terhadap tawanan Yahudi Bani Quraizah dilakukan secara syura. Lanjutan daripada inilah suatu majlis syura ditubuhkan secara rasmi pada zaman Khalifah ‘Umar bin al Khattab.

PERANCANG EKONOMI

Nabi Muhammad s.a.w. turut memperkenalkan dasar ekonomi baru bagi menggantikan dasar ekonomi zaman jahiliyyah. Baginda menggalakkan orang Islam bekerja keras dan bergiat aktif dalam urusan perniagaaan dan pertanian. Usaha-usaha mencari kekayaan dan kesenangan dunia diharuskan, aslkan tidak melibatkan riba, faedah, dan menunaikan bayaran zakat setelah sampai haul dan nisabnya.

Baginda sendiri berusaha untuk membangunkan ekonomi orang Islam. Sebagai contoh, tanah yang terbiar hendaklah diusahakan semula, tanah yang tergadai kepada kaum Yahudi mestilah ditebus semula dan dikerjakan, mempertingkatkan usaha menyekat kegiatan kaum Quraisy yang memonopoli aktiviti perdagangan antara Mekkah, Madinah dan Syam. Kegiatan menyekat aktiviti perdagangan kaum Quraisy ini ada kaitannya dengan ekspedisi-ekspedisi pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.

PEMIMPIN TENTERA

Nabi Muhammad telah menunjukkan mutu kepimpinan yang tinggi dalam bidang ketenteraan. Setiap ekspedisi ketenteraan yang disertainya pasti Baginda akan menjadi ketuanya.Asas kepimpinan Baginda sama ada dalam bidang ketenteraan atau lainnya adalah berdasarkan akidah, syariat dan akhlak yang mulia.

Menerusi akidah, Baginda dan sahabatnya mempunyai keyakinan ketika menghadapi tentera musuh berdasarkan peraturan-peraturan peperangan yang disyariatkan oleh Allah s.w.t .Baginda dan para sahabtnya bertindak mengikut batas-batas yang telah ditetapkan seperti tidak memerangi golongan yang lemah, orang tua, wanita, kanak-kanak, orang yang tidak bersenjata, tidak memusnahkan harta benda seperti bangunan dan tanaman dan lain-lain lagi peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Ini merupakan sebahagian daripada etika peperangan dalam Islam.

Di samping itu, Baginda telah menunjukkan contoh-contoh akhlak yang baik, seperti dalam peperangan di Hunayn dan Taif di mana Baginda telah menunjukkan perasaan peri kemanusiaan dengan memulangkan semula harta benda yang ditawan kepada pihak musuh. Tindakan ini telah berjaya memikat hati musuh, lantas mereka memeluk agama Islam.

Baginda turut mengamalkan sifat amanah. Sifat ini memang sudah sebati dalam dirinya. Dengan sebab itu, sebelum diangkat menjadi rasul lagi, Baginda sudah mendapat gelaran al-Amin (beramanah). Sifat amanah ini juga ditunjukkan oleh baginda pada ketika memimpin ekstradisi ketenteraan. Dalam semua ekspedisi yang dipimpinnya, Baginda telah melaksanakan amanah Allah (swt) dan juga amanah umat Islam seluruhnya bagi memimpin tentera untuk mencapai kejayaan di medan peperangan. Andainya tentera Islam tewas, seperti yang berlaku dalam perang Uhud pada tahun ke-3H, baginda tetap tidak berganjak. Kekalahan ini juga tidak melemahkan semangatnya untuk meneruskan perjuangan menghadapi musuh.

Di samping itu, Baginda sentiasa adil kepada semua orang, tidak kira kawan atau lawan. Keadilan terhadap kawan ialah seperti membahagikan harta-harta rampasan perang sama rata kepada tentera-tentera yang menyertai peperangan. Keadilan terhadap lawan pula ialah tidak melakukan pencerobohan seperti tidak mengejar musuh yang sudah lari dari medan perang, tidak bertindak agresif seperti tidak memerangi golongan yang lemah dan lain-lain lagi. Dengan adanya sifat-sifat kepimpinan yang tinggi lagi mulia ini menyebabkan Baginda dihormati oleh kawan dan juga lawan.

Kehebatan baginda memimpin tentera Islam mula terserlah dalam perang Badar. Dalam sejarah menghadapi peperangan hanya sekali tentera Islam pimpinan baginda tewas iaitu dalam perang Uhud.

Dalam Islam pula, kisah perang Uhud boleh dipertengahkan sebagai perkaitan dengan konsep strategos ini. Dalam perang tersebut Jeneral tentera Islam (Nabi Muhamad s.a.w) telah mengarahkan pasukan pemanah supaya terus berada di atas bukit Uhud kerana tempatnya tinggi dan banyak kelebihannya. Arahan ini dibuat walaupun tentera Islam telah dianggap berjaya kerana musuh telah berundur.

Walau bagaimanapun, ramai daripada pemanah telah meninggalkan tempat tinggi itu kerana tamak dan ingin mendapatkan harta rampasan peperangan dan mengingkari arahan ketua pasukan mereka. Melihat keadaan startegik yang dipegang oleh tentera Islam tidak begitu kukuh, maka pihak musuh telah kembali dan berjaya menduduki bukit Uhud yang strategik dan dituruti dengan kekalahan tentera Islam. (Zainal Abidin, 2004:286)

Ikuti sambungan artikel ini di » sini


Jika anda dapati artikel ini bermanfaat, anda boleh kongsikan kepada pembaca lain.






Terima kasih kepada semua pembaca Kulanzsalleh.com. Semua Artikel di blog ini adalah berdasarkan pandangan peribadi saya sendiri melainkan artikel berbentuk ilmiah, berita, petikan dan perkongsian lain yang tiap satu akan saya nyatakan sumber asalnya (Baca Terma & Syarat). Jika anda dapati artikel di blog ini bermanfaat, anda boleh kongsikan kepada pembaca lain di FACEBOOK atau TWITTER.

{ 7 comments… read them below or add one }

1 etomyam July 14, 2010 at 9:48 am

sememangnya personaliti dan kelakuan rasulullah patut menjadi ikutan seluruh umatnya
etomyam recently posted..Bila Gengblogger Jadi Tamublogger Kosmo-My Profile

Reply

2 kulanz July 15, 2010 at 12:17 am

InsyaAllah bro, moga lebih ramai lagi yang mencontohi baginda..

Reply

3 AyieBlog July 14, 2010 at 6:00 pm

Salam,nabi muhammad saw adalah contoh terladan yang baik buat umat islam diseluruh dunia :),keperibadian baginda yang menawan siti aishah :).

Reply

4 kulanz July 15, 2010 at 12:18 am

Itu memang tak dapat dinafikan bro.. cuma sayangnya ada sesetengah pihak yang cuba memutar belit fakta dan cuba memburuk-burukkan keperibadian baginda..

Reply

5 zik July 14, 2010 at 9:32 pm

NAbi Muhammad S.A.W contoh sebaik umat…

Reply

6 kulanz July 15, 2010 at 12:19 am

Moga jadi ikutan semua umat..

Reply

7 Hany Sychanny February 25, 2013 at 11:28 pm

Boleh terangkn dengan lbih lanjut tentang konsep Dan ciri2 ekonomi zaman nabi Muhammad s.a.w?

Reply

Leave a Comment

Entri Terkini

Previous post:

Next post:

leaderboard denaihati Banner