Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10): Intipati Pembentangan

Pagi tadi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak telah membentangkan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) yang menggariskan program pembangunan lima tahun negara sehingga 2015. Tapi memandangkan pada masa tu waktu pejabat, saya tidak dapat mengikuti pembentangan sehingga selesai. Hanya sempat mendengar beberapa perkara yang dibentang via televisyen yang dipasang di kaunter pejabat.

Nasib baik dapat sedikit maklumat daripada Berita Harian Online yang meng’update’ pembentangan tu dari semasa ke semasa. Jadi saya ingin kongsikan sedikit intipati pembentangan tersebut di sini. Laporan Ekonomi (RMK10) bagi tempoh 2011-2015 setebal 449 muka surat untuk edisi Bahasa Melayu dan 429 muka surat bagi edisi Bahasa Inggeris telah diterbitkan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri berharga RM80. Boleh dapatkan kemudian.

INTIPATI PEMBENTANGAN RANCANGAN MALAYSIA KE-10 (RMK10)

RMK10Rancangan yang bertemakan “Rancangan Kemakmuran Ekonomi dan Keadilan Sosial” itu memperuntukkan RM230 bilion bagi perbelanjaan pembangunan bagi tempoh lima tahun berkenaan. Daripada jumlah itu, 55 peratus diagihkan kepada sektor ekonomi, 30 peratus kepada sektor sosial, 10 peratus kepada sektor keselamatan dan lima peratus untuk pentadbiran am. RMK10 yang akan dilaksanakan berasaskan hala tuju strategik, program dan peruntukan adalah bagi merealisasikan Wawasan 2020 dan membawa negara ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020.

Perdana Menteri berkata rancangan itu amat kritikal bagi meneruskan kesinambungan prakarsa nasional ke arah merealisasikan Wawasan 2020 menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi. Ia merupakan satu daripada empat tiang utama pentadbiran beliau ke arah menjadikan Malaysia negara berstatus pendapatan tinggi menjelang 2020. Tiga lagi tiang tonggak itu ialah Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE).

RMK10 amat kritikal bagi meneruskan kesinambungan prakarsa nasional ke arah merealisasikan Wawasan 2020 menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi. Rancangan ini menyasarkan Pendapatan Negara Kasar Perkapita meningkat kepada RM38,850 pada 2015, berbanding RM26,420 tahun 2010. Ini bermakna, kadar pertumbuhan ekonomi negara yang disasarkan adalah 6 peratus setahun berbanding 4.2 peratus setahun pada RMK9 (2006-2010).

Pertumbuhan diterajui sektor perkhidmatan dan pembuatan, menggiatkan semula sektor pertanian yang bernilai tambah tinggi dan penyerapan kaedah ICT, bioteknologi serta pelantar teknologi yang berkaitan. Bagaimanapun cabaran besar bagi negara adalah untuk memangkin pelaburan swasta berkembang 12.8 peratus atau RM115 bilion setahun. Di samping itu, kerajaan juga komited untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 5.3 peratus KDNK dalam tahun 2010 kepada kurang daripada 3 peratus pada tahun 2015.

10 Premis Utama RMK10

  1. Memacu ekonomi domestik dengan kepekaan persekitaran luar negara;
  2. Memanfaatkan dan menuas faktor kepelbagaian etnik sebagai satu elemen kejayaan di arena antarabangsa;
  3. Mentransformasi negara ke arah pendapatan tinggi menerusi pengkhususan;
  4. Menjayakan pertumbuhan diterajui oleh produktiviti dan inovasi;
  5. Memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan unggul;
  6. Memastikan peluang yang saksama dan melindungi golongan mudah terjejas.
  7. Pertumbuhan bertumpu, pembangunan inklusif.
  8. Menyokong perkongsian pintar yang efektif.
  9. Menghargai khazanah alam sekitar.
  10. Kerajaan umpama syarikat yang berdaya saing.

5 Teras Strategik
Datuk Seri Najib Razak hari ini menggariskan lima teras strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10), ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020. Bagi menuju ke arah itu, Perdana Menteri berkata Malaysia perlu merangka pendekatan baru yang mengutamakan modal insan berkualiti, inovasi dan kreativiti serta kerajaan bertindak umpama sebuah syarikat yang berdaya saing. 5 teras tersebut ialah:

  1. Menggubah falsafah dan pendekatan kerajaan ke arah mentransformasikan Malaysia dengan metodologi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Prestasi Petunjuk Utama (KPI).
  2. Mewujudkan persekitaran kondusif bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi.
  3. Menuju ke arah pembangunan sosioekonomi secara inklusif.
  4. Membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia.
  5. Mewujudkan persekitaran kondusif ke arah mempertingkatkan kualiti hidup.

Tumpuan Pembangunan

Peruntukan RMK10 bagi infrastruktur bukan fizikal meningkat kepada 40 peratus, berbanding 21.8 peratus dalam RMK9. Beberapa tumpuan utama dalam RMK10 termasuklah:

  1. Tumpuan diberikan kepada program pembangunan kemahiran, aktiviti R&D dan modal teroka;
  2. Selaras dengan langkah untuk untuk meningkatkan kompetensi penjawat awam, sebuah institusi perkhidmatan awam bertaraf dunia akan diwujudkan;
  3. Satu unit khas, iaitu Unit Transformasi Ekonomi, akan ditubuhkan untuk merancang, menyelaras pelaksanaan dan pembangunan NKEA.
  4. Suruhanjaya Persaingan dan Tribunal Rayuan akan ditubuhkan untuk memastikan pelaksanaan undang-undang lebih teratur dan berkesan.
  5. Kerajaan terus berusaha untuk meletakkan Malaysia di lima tangga terbaik negara paling kompetitif di dunia.

Selain itu, kerajaan turut memberi tumpuan  kepada 12 bidang ekonomi utama negara (NKEA) akan diumumkan Oktober nanti, iaitu:

  1. Minyak dan gas
  2. Minyak sawit dan produk berkaitan
  3. Perkhidmatan kewangan
  4. Pemborongan dan peruncitan
  5. Pelancongan
  6. Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)
  7. Perkhidmatan Pendidikan
  8. Elektrik dan elektronik
  9. Perkhidmatan perniagaan
  10. Penjagaan kesihatan swasta
  11. Pertanian
  12. Greater Kuala Lumpur

52 projek berimpak tinggi bernilai RM63 bilion diwujudkan

Kerajaan akan mewujudkan 52 projek berimpak tinggi bernilai RM63 bilion, antaranya 7 lebuh raya (RM15 billion), janakuasa arang batu (RM10 billion) dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10).

Undang-undang kebankrapan dipermudah
Undang-undang kebankrapan akan dipermudah untuk menyokong budaya mengambil risiko terhitung, menghapuskan stigma kegagalan dan membenarkan usahawan berkaliber lagi wibawa yang gagal untuk kembali aktif.

Sekolah Amanah akan diperkenalkan

KUALA LUMPUR: Sekolah Amanah atau Trust Schools akan diperkenalkan untuk memudah cara perkongsian awam swasta dalam pengurusan sekolah kerajaan yang terpilih. Sekolah terbabit akan diberi autonomi oleh kerajaan dan dengan itu dipertanggungjawabkan bagi meningkatkan prestasi pelajar. Autonomi yang akan diberikan termasuk keanjalan untuk mengubah suai kurikulum pembelajaran, menggunakan peruntukan mengikut keperluan, memberi insentif kepada guru mengikut tahap prestasi serta memilih guru dan staf sokongan.

Dana Mudahcara (Facilitation Fund)

Dana berjumlah RM20 bilion akan disediakan melalui Dana Mudahcara atau “Facilitation Fund“ bagi memudahkan sektor swasta membiayai projek perkongsian awam-swasta. Melalui Dana Mudahcara, kerajaan anggar menarik pelaburan swasta sekurang-kurangnya RM200 bilion; Antara projek yang dipertimbangkan ialah penambakan tanah di Westport, Pelabuhan Klang, Pembangunan Malaysia Truly Asia Centre di Kuala Lumpur dan Taman Teknologi Tinggi Senai di Iskandar Malaysia, Johor.

Pembangunan Inovasi

Sebuah unit khas ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi memandu dan mengarah keberkesanan sistem inovasi negara serta program pembangunan inovasi sedia ada. Dana Inovasi Mudharabah (MIF) dengan peruntukan sebanyak RM500 juta akan diperkenal bagi menyediakan modal berisiko kepada syarikat modal teroka kerajaan.

Dana Perkembangan Perniagaan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM150 juta akan ditubuhkan bagi merapatkan jurang pembiayaan antara pengkomersilan peringkat awal dan pembiayaan modal teroka bagi produk berteknologi tinggi.

Pemilikan Ekuiti Bumiputera

Sasaran RMK10 adalah untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti korporat Bumiputera dan ekonomi di peringkat makro kekal. Lima inisiatif strategik memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera telah digariskan yang meliputi usaha:

  1. Meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera melalui penginstitusian;
  2. Mempertingkatkan pemilikan hartanah Bumiputera;
  3. Menambah baik program pembangunan kemahiran dan keusahawanan serta pembiayaan melalui pelbagai agensi pembangunan Bumiputera;
  4. Membangunkan guna tenaga profesional Bumiputera secara lebih tuntas;
  5. Menubuhkan satu majlis peringkat tertinggi untuk merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda pembangunan Bumiputera.

Meningkatkan Pendapatan Isi Rumah

Fokus kepada meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah di mana Bumiputera merupakan bilangan terbesar, iaitu 73 peratus daripada 2.4 juta isi rumah dalam kumpulan ini. Pelaksanaan pelbagai program ekonomi dan penyediaan kemudahan asas kepada golongan terpinggir yang tinggal di kawasan pedalaman, terutamanya yang mendiami rumah panjang di Sabah dan Sarawak, serta Orang Asli dan pekerja di estet di Semenanjung Malaysia.

Kemudahan pinjaman AIM dan TEKUN akan disediakan dalam usaha menangani kemiskinan bandar dan akan dipakej bersama dengan latihan keusahawanan.

Dana RM100 juta untuk pinjaman mudah bagi 280,000 isirumah kampung baru Cina membayar premium tanah bagi perlanjutan tempoh pajakan melalui Bank Simpanan Nasional.

Pemberian Subsidi

Sebagai langkah meningkatkan daya saing dan kecekapan pasaran serta memastikan penggunaan sumber yang lebih optimal, kawalan harga dan subsidi perlu dirasionalkan secara berperingkat untuk menghapuskan penyelewengan pasaran dan penyelewengan. Bagaimanapun, keputusan pengurangan subsidi akan dilaksanakan setelah mengambil kira maklum balas dan merundingi rakyat. Kerajaan memberi jaminan dalam usaha mengurangkan subsidi, golongan berpendapatan rendah dan mereka yang paling memerlukan akan terus diberi bantuan untuk meringankan impak pengurangan subsidi ke atas kos sara hidup masing-masing.

Projek Jalur Lebar

Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi akan meliputi bandar-bandar besar, kawasan pertumbuhan ekonomi utama dan kawasan industri, liputan jalur lebar ke kawasan pinggiran bandar dan luar bandar dan prasarana tanpa wayar dengan pakej mampu langgan bagi penduduk di luar bandar.

Lebuhraya dan Pengangkutan

Lebuhraya Pantai Timur dari Kuantan ke Kuala Terengganu akan disiapkan dalam tempoh RMKe-10 kos RM3.7 bilion dan akan dihubungkan ke Pelabuhan Kuantan yang akan dinaik taraf. Selain itu, pembinaan sepanjang 6,300 kilometer jalan berturap di Semenanjung Malaysia, 2,500 kilometer di Sabah dan 2,800 kilometer di Sarawak yang akan memberi faedah kepada 3.3 juta penduduk juga akan dilaksanakan.

Projek membina landasan elektrik berkembar dari Gemas ke Johor Bahru, dengan kos anggaran RM8 bilion akan dilaksanakan sebagai pelengkap kepada sistem landasan elektrik berkembar dari Padang Besar di utara ke Johor Baharu di selatan.

Bekalan Air dan Loji Rawatan

Peruntukan RM109 juta untuk sambungan bekalan air ke 182 estet yang mempunyai keluasan 1,000 ekar (400 hektar) atau kurang dan terletak tidak melebihi lima kilometer dari paip utama. Liputan bekalan air luar bandar yang lebih berkualiti dengan sasaran liputan sebanyak 99 peratus di Semenanjung Malaysia, 98 peratus di Sabah dan 95 peratus di Sarawak. Loji rawatan kumbahan yang menggunakan teknologi hijau di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, akan diperluaskan ke seluruh negara.

Bekalan Tenaga

Bekalan tenaga akan terus diperkukuh ke arah mewujudkan pasaran yang lebih kompetitif dan mengurangkan tanggungan subsidi tenaga secara berperingkat. Kemudahan elektrik di kawasan luar bandar juga akan diperluaskan untuk meliputi penyambungan bekalannya ke 6,000 buah rumah di Semenanjung Malaysia, 59,000 di Sabah dan 76,000 di Sarawak.

Perluasan Pelaburan dan Bantuan Modal

  1. Beberapa bandar raya akan dijadikan destinasi tarikan baru kepada pelabur dalam industri berteknologi tinggi serta tenaga kerja berbakat dan berpengetahuan.
  2. Kerajaan akan tambah RM3 bilion lagi menjadikan jumlah Skim Jaminan Modal Kerja kepada RM10 bilion bagi enterpris kecil dan sederhana (SME) mendapat akses kemudahan pembiayaan.
  3. Kerajaan sedang mengkaji untuk mempertingkatkan lagi sumber kewangan SME dan Agro Bank.

Rumusan

Bagi melaksanakan program pembangunan RMKe-10, kerajaan akan menyediakan siling peruntukan sebanyak RM230 bilion bagi perbelanjaan pembangunan. Untuk tujuan ini, sebanyak 55 peratus akan diagihkan kepada sektor ekonomi, 30 peratus kepada sektor sosial, 10 peratus kepada sektor keselamatan dan 5 peratus kepada sektor pentadbiran am.

Apa yang menariknya, Perdana Menteri turut mengaitkan pembentangan RMK10 kali ni dengan semangat Piala Dunia yang akan bermula esok. Perdana Menteri berkata rakyat negara ini bolehlah mengiaskan kejayaan untuk merealisasikan sebuah negara Malaysia yang maju dengan rakyat berpendapatan tinggi kepada analogi sebuah pasukan bola yang berjaya.

Bagi sebuah pasukan bola, untuk berjaya, kesemua pemain daripada pasukan tersebut tanpa mengira posisi, perlu bekerjasama serta bermain sebagai satu pasukan. Jika tidak, mereka bukan sahaja tidak mungkin menang malahan boleh kalah teruk. Setiap pemain bermula daripada penjaga gol, pemain pertahanan, pemain tengah dan penyerang adalah sama pentingnya. Bagaimana hebat pun pemain secara individu namun mereka hanya akan menggondol kemenangan sebenar secara berpasukan. Oleh itu, setiap aset pasukan adalah berharga dan perlu dioptimumkan potensina bagi mencapai kejayaan.

Kita berharap agar RMK10 yang dirancang kali ini dapat dilaksanakan seperti apa yang tertulis di atas kertas.

Please like & share:

Comments

    • AyieBlog says

      yeep semua golongan merangkumi pelajar,maklumlah dah bergelar pelajar sepenuh masa,part time job dah tak buat asyik kena kencing.. hehehehe :)

  1. nor says

    smoge smue phak mndpt faedh drpd rmk10 nie.
    arap2 ape yg dirncagkn dpt dilaksnakn dgn sbaiknye untk kbaikn rkyat. :D
    credit pd pnulis. info yg pdat!:)

    • VICKY says

      Yup..tapi dari sudut kesihatan perlu lebih diutamakan contoh sumber air perlu lebih difokuskan.Air merupakan sumber penting manusia,kalau air tercemar boleh mendatangkan musibah kepada masyarakat Malaysia.Sila pertimbangkan idea ini bersama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>