Home >> Nasional >> Sejarah Masyarakat Pelbagai Kaum di Sabah

Sejarah Masyarakat Pelbagai Kaum di Sabah

by Kulanzsalleh on August 19, 2010

Sudah agak lama tidak menyelitkan artikel-artikel panjang di blog ini. Hari ini ada sedikit kesempatan menyelongkar fail-fail lama yang tersimpan dalam cakera keras komputer saya dan terjumpa artikel berkenaan Sejarah Masyarakat Pelbagai Kaum di Sabah yang pada saya mungkin ada sedikit manfaat jika saya kongsikan di blog ini.

Gunung Kinabalu

Mukadimah
Masyarakat adalah sekumpulan manusia yang berinteraksi dalam kawasan yang ditetapkan dan dibimbing oleh satu budaya yang dikongsi bersama. Setiap masyarakat biasanya mengalami perubahan sosial. iaitu sebuah transformasi budaya dan institusi sosial yang terhasil dalam jangka masa yang berterusan dan menghasilkan kesan positif dan negatif. Proses ini tidak semestinya berlaku dalam kadar dan kepantasan yang sama atau dengan tenaga dan daya yang sama. Namun proses ini tidak dapat dielakkan, adakala dilakukan secara sengaja tetapi selalunya proes perubahan ini berlaku tanpa diduga atau dirancang. Perubahan ini turut melibatkan masyarakat di negeri Sabah. Jadi kajian dokumen ini adalah bertujuan untuk mengkaji latar belakang penduduk atau masyarakat di Negeri Sabah khususnya serta perubahan-perubahan yang dialami sejak zaman pemerintahan Kesultanan Brunei hinggalah sekarang.

SEDIKIT LATAR BELAKANG NEGERI SABAH

Negeri yang terletak di utara Pulau Borneo Sabah ini memiliki keluasan 73,711 kilometer persegi telah mencapai kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1963 dan secara rasminya merdeka dalam Malaysia pada 16 September 1963 ini memiliki keistemewaannya yang tersendiri. Jika dilihat dari sudut sejarah, negeri Sabah boleh dibahagikan kepada empat era, iaitu Sejarah Zaman Kesultanan Brunei dan Sulu Tradisonal hingga tahun 1840; Sejarah Zaman Penjajahan Kuasa Asing (Inggeris dan Jepun) hingga tahun 1945; Sejarah Zaman Nasionalisme dan kemerdekaan daripada tahun 1946 hingga 1963, dan; Sejarah Zaman Selepas Merdeka (Dalam Malaysia) hingga kini.

Negeri Sabah juga dikelilingi oleh tiga perairan laut yang menyimpan banyak sejarah ketamadunan manusia di masa lampau, iaitu Laut China Selatan di sebelah barat, Laut Sulu di sebelah utara, dan Laut Sulawesi di sebelah timur. Terutamanya, Laut Sulu memberi laluan kepada kemasukan unsur-unsur dari Filipina, khusus ke Sabah. Di samping itu, Laut Sulawesi di sebelah timur dan Laut Jawa di sebelah selatan juga penting kepada penduduk Borneo amnya dari segi ekonomi perniagaan dengan saudagar-saudagar dari Pulau Jawa, dan Sumatra. Hal inilah yang menjadikan negeri ini terkenal dengan penduduknya yang berbilang etnik, kebudayaan, adat resam dan agama. Sabah mempunyai 30 kumpulan etnik dengan tidak kurang 80 dialek , yang mana lebih tiga puluh daripada bahasa itu dimiliki oleh kaum bumiputera seperti Murut, Bajau, Rungus, Latod, Irranun, Talantang, Sonsogon, Likabau, Garoh (Kimaragang), Tinagas, Idahan, Sungai dan Dusun. Bahkan, Institut Linguistik S.I.L melaporkan bahasa-bahasa tempatan ini dipercayai termasuk dalam bahasa Austronesian keturunan Bornean dari keturunan asal Austronesian.

Namun visi dalam menuju Negara maju tahun 2020, telah memberi impak yang besar kepada corak dan pembangunan sosial bagi penduduk negeri Sabah. Matlamat murni melalui program-program pembangunan negeri bagi membangunkan taraf hidup masyarakat yang pelbagai suku di bumi yang bertuah ini telah memberikan konotasi yang berlainan. Sesetengah masyarakat menyambut baik perubahan yang dilakukan itu, sementara sebahagian lain memandangnya sebagai ‘ada udang di sebalik batu’. Golongan ini menganggap wujud satu bajet yang tidak seimbang dalam transformasi perjalanan kemajuan di samping suatu agenda yang tersembunyi. Bahkan kemasukan parti-parti politik dari Semenanjug Malaysia turut disalah tafsir, kononnya akan merampas hak-hak pribumi Sabah.

Maka, timbullah pelbagai persoalan di kalangan segelintir masyarakat di negeri ini. Adalah wajar sekiranya masyarakat Sabah bimbang tentang nasib survival mereka pada masa depan? Suatu hari nanti, siapa yang memperjuangkannya dan apa nasib bumiputera Sabah? Bahkan, persoalan juga mula ditimbulkan tentang makna Bumiputera Sabah? Adakah bumiputera itu masih merujuk kepada bangsa Kadazan-Dusun, Bajau, Murut, Bugis, Suluk dan lain-lain kaum yang telah menduduki negeri ini sejak beribu tahun dahulu, atau semua kaum akan diklasifikasi sebagai kaum Bumiputera Sabah yang mempunyai status dan hak kerakyatan yang sama. Persoalan-persoalan inilah yang membelenggu masyarakat Sabah hari ini.

SEJARAH AWAL WUJUDNYA PELBAGAI KAUM/ETNIK DALAM MASYARAKAT SABAH

Kaum BajauSabah yang terletak di bahagian utara Borneo, iaitu kira-kira pada garis lintang 30 42′ ke utara dan garis bujur di antara 1150 20′ hingga 1190 15′ ke timur. Ia merupakan negeri yang kedua terbesar di Malaysia dengan keluasan kira-kira 73,620 kilometer persegi, bersempadan dengan Wilayah Kalimantan, Indonesia di sebelah selatan dan negeri Sarawak di sebelah barat-daya.

Pada awalnya negeri ini dihuni oleh daripada beberapa kumpulan suku kaum pribumi. Menurut klasifikasi awal yang diberikan oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara, penduduk peribumi asli Sabah (Borneo Utara) terdiri daripada kaum Dusun, Murut, Bisaya, Orang Sungai, Kwijau, Kedayaan, Idahan, Bajau, Brunei, Dayak, Suluk, dan lain-lain. Dusun dan Murut merupakan dua kumpulan kaum yang terbesar bilangannya. Mereka mewakili lebih kurang 50 peratus daripada jumlah penduduk Sabah dalam kurun masehi ke-19. Pada keseluruhannya penduduk peribumi merangkumi lebih kurang 80 peratus daripada penduduk Borneo Utara ketika itu. Namun tidak dapat dipastikan dengan tepat bila dan bagaimanakah kemunculan penduduk peribumi asli yang mula sekali menghuni pulau Borneo amnya. Ini kerana sebelum penjajahan kuasa-kuasa Barat, tidak wujud sejarah bertulis di kalangan kumpulan-kumpulan etnik di Borneo.

Kisah-kisah lalu mengenai pengalaman dan kehidupan mereka wujud dalam bentuk tradisi lisan yang disampaikan turun temurun hingga ke hari ini. Nenek moyang peribumi asli di Borneo dipercayai telah melalui beberapa siri migrasi sejak lebih kurang 20 ribu tahun yang lalu. Kedatangan dan pendudukan awal mereka adalah berlaku di kawasan-kawasan pantai dan tanah rendah. Lambat laun kemudian penempatan mereka mula tersebar ke kawasan-kawasan pedalaman. Kaum Dusun dipercayai berasal dan keturunan Cina, orang Murut berasal dari Annam di utara Burma, Bajau dari selatan Kepulauan Filipina dan Bisaya dari kalangan kaum Hiligayamon di Filipina dan kaum-kaum lain dari Kepulauan Cocos dan Maluku, Indonesia dan lain-lain

Pada waktu sebelum abad ke-6, kawasan yang kini dikenali sebagai Sabah, Brunei dan Sarawak adalah berpusat pada kerajaan Brunei dan kerajaan Brunei juga merupakan pusat perdagangan dengan China. Wilayah ini sebaliknya dipengaruhi oleh dua kuasa besar pada waktu itu, iaitu Sri Vijaya di Sumatra dan kemudian Majapahit di Jawa. Orang-orang Cina telah datang untuk membuat perdagangan dan hubungan diplomatik dengan Borneo Utara. Rekod Sejarah Brunei (Brunei Annals) telah merakamkan tentang penempatan mereka di kawasan Kinabatangan. Bukti-bukti Arkeologi iaitu seramik yang ditemui di Borneo Utara menunjukkan bahawa orang-orang Cina ada menjalankan perdagangan secara bertukar barang, antara seramik orang-orang Cina dengan rempah ratus dari penduduk tempatan.

Bagaimanapun, pada awal abad ke-15, Empayar Melaka di bawah pemerintahan Parameswara telah menyebarkan pengaruhnya dan seterusnya mengambil alih perdagangan Brunei. Perubahan ini menyebabkan agama Islam tersebar di wilayah Brunei oleh pedagangnya pada akhir abad ke-15. Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 telah menyebabkan Sultan Brunei mengambil alih kepimpinan Islam dari Melaka. Semasa pemerintahan Sultan Bolkiah, kerajaan Brunei telah memperluaskan pengaruhnya ke utara sehingga ke Luzon dan Sulu serta di sebelah selatan dan barat Borneo.

Pages: 1 2 3


Jika anda dapati artikel ini bermanfaat, anda boleh kongsikan kepada pembaca lain.






Terima kasih kepada semua pembaca Kulanzsalleh.com. Semua Artikel di blog ini adalah berdasarkan pandangan peribadi saya sendiri melainkan artikel berbentuk ilmiah, berita, petikan dan perkongsian lain yang tiap satu akan saya nyatakan sumber asalnya (Baca Terma & Syarat). Jika anda dapati artikel di blog ini bermanfaat, anda boleh kongsikan kepada pembaca lain di FACEBOOK atau TWITTER.

Leave a Comment

Previous post:

Next post:


leaderboard denaihati Banner