Sejarah Perkembangan Sistem Pendidikan Di Malaysia

August 6th, 2009 | 3:15 pm | Artikel, Pendidikan | 29 responses

Sistem Pendidikan Negara telah mengalami evolusi penting sejajar dengan pembangunan dan kemampuan negara. Evolusi pendidikan ini telah melalui lima fasa berikut:

  • Zaman Pramerdeka (sebelum 1957);
  • Zaman Pasca Merdeka (1957-1970);
  • Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990);
  • Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000); dan
  • Zaman Dasar Wawasan Negara (2001-hingga sekarang).

Zaman pramerdeka (sebelum 1957)
Semasa pentadbiran British, sekolah-sekolah di Tanah Melayu dipecahkan kepada empat aliran , iaitu Sekolah Inggeris, Sekolah Melayu, Sekolah Cina dan sekolah Tamil. Setiap sekolah mempunyai bahasa penghantarnya sendiri dan kurikulum yang berbeza di antara satu sama lain. Namun menjelang kemerdekaan, timbul kesedaran untuk mewujudkan satu sistem persekolahan. B eberapa jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengkaji sistem persekolahan pada masa itu dan menghasilkan laporan-laporan berikut:

  1. Laporan Barnes (1951) – menyemak dan memperbaiki keadaan pendidikan kaum Melayu;
  2. Laporan Fenn-Wu (1951) – menyemak pendidikan kaum Cina;
  3. Ordinan Pelajaran (1952) – mengesyorkan sekolah kebangsaan sebagai corak sistem persekolahan kebangsaan; dan
  4. Laporan Razak (1956) – meletakkan asas bagi perkembangan sistem pendidikan untuk memupuk perpaduan melalui Sistem Pelajaran Kebangsaan untuk semua, Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama serta kurikulum kebangsaan, sukatan pelajaran dan sistem peperiksaan yang sama bagi semua sekolah.

Zaman Pasca Merdeka (1957-1970)
sistem pendidikanSebaik mencapai kemerdekaan, usaha ditumpukan untuk mewujudkan satu sistem pelajaran kebangsaan. Sehubungan itu, Ordinan Pelajaran 1957 digubal berdasarkan perakuan Laporan Razak (1956) yang mengutamakan perpaduan dan menjadi teras Dasar Pendidikan Kebangsaan. Perakuan Laporan Razak dikaji semula oleh Jawatankuasa Rahman Talib pada tahun 1960. Laporan jawatankuasa ini menjadi asas kepada penggubalan Akta Pelajaran 1961 yang menggariskan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pada semua peringkat pendidikan serta penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk semua pelajar.

Dasar pendemokrasian pendidikan bermula pada tahun 1962 dengan memberi penekanan kepada pendidikan percuma untuk semua pelajar. Dasar ini diperluas dengan mengadakan pendidikan universal selama sembilan tahun apabila peperiksaan pemilihan masuk ke sekolah menengah dihapuskan pada tahun 1964. Penghapusan peperiksaan pemilihan ini menyebabkan peningkatan kadar penyertaan ke sekolah menengah. Kadar ini terus meningkat apabila terdapat perubahan dasar yang melanjutkan pendidikan universal kepada 11 tahun secara berperingkat mulai tahun 1992.

Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990)
Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah satu falsafah pembangunan yang menekankan keseimbangan antara pembangunan sosial dan perkembangan ekonomi (Universiti Terbuka Malaysia, 2008). Dalam tempoh ini, pendidikan diberikan keutamaan untuk menangani masalah ketidakseimbangan dalam masyarakat dengan menyediakan peluang pendidikan yang sama untuk semua kaum.

Pada masa ini juga Sistem Pendidikan Kebangsaan mengalami banyak perubahan, antaranya Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar utama yang dilaksanakan sepenuhnya pada peringkat menengah di Semenanjung Malaysia dan Sabah pada tahun 1982, manakala di Sarawak pada tahun 1990. Penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua juga turut diberi tumpuan. Walau bagaimanapun, selaras dengan Akta Pelajaran 1961, sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan yang menggunakan bahasa Cina atau bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar terus dikekalkan. Mata pelajaran Sivik diperkenalkan bagi menyemai semangat jati diri di kalangan pelajar. Pendidikan Sains dan Teknikal diberi lebih penekanan pada peringkat menengah bagi menghasilkan tenaga kerja mahir.

Pada tahun 1979, semakan semula pelaksanaan dasar pendidikan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979) telah menggariskan cadangan pendekatan dan strategi baru untuk memantapkan sistem pendidikan. Pada tahun 1980-an, peluang pendidikan untuk warganegara turut ditingkatkan dengan menambahkan kemudahan fizikal dan infrastruktur terutama di luar bandar. Seterusnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah digubal pada tahun 1988 bagi memperteguh hala tuju dan matlamat pendidikan negara. Falsafah ini menekankan pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu bagi membentuk pelajar yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000)
Dekad terakhir abad ke-20 menyaksikan perubahan yang pesat dalam pendidikan negara. Asas perundangan bagi pelaksanaan dasar pendidikan diperkukuhkan melalui penggubalan dan pindaan beberapa akta yang berkaitan dengan pendidikan, misalnya Akta Pendidikan 1996; Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996; Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 dan lain-lain.

Selain itu, banyak lagi perubahan berlaku dalam bidang pendidikan termasuk:

  1. Peningkatan akses dalam pendidikan khususnya peringkat tertiari;
  2. Perkembangan ICT dalam pendidikan termasuk penubuhan Sekolah Bestari pada tahun 1999;
  3. Menaiktarafkan kelayakan guru-guru daripada sijil kepada diploma;
  4. Menaiktarafkan Maktab Perguruan Sultan Idris kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); dan
  5. Menaiktarafkan Sekolah Menengah Vokasional kepada Sekolah Menengah Teknik.

Zaman Dasar Wawasan Negara (2001-hingga sekarang)
Pada zaman ini Sistem Pendidikan Kebangsaan diperkemas sejajar dengan perkembangan dunia teknologi maklumat. Dengan mengambil kira pelbagai perubahan dan cabaran alaf ke-21, penambahbaikan dan pemantapan sistem pendidikan diperlihatkan dalam perundangan, dasar dan program utama, antaranya: Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002); Program Bimbingan dan (Keputusan Jemaah Menteri, 2002); Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dilaksanakan pada tahun 2003 (Keputusan Jemaah Menteri, 2002). Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) diperkenalkan pada tahun 2003; Program j-QAF diperkenalkan pada tahun 2005 dan diperluaskan pada tahun 2006 bagi memastikan murid Islam menguasai Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain apabila tamat sekolah rendah (Keputusan Jemaah Menteri, 2003); dan banyak lagi program-program pendidikan diperluas.

Perubahan paling signifikan dalam sejarah perkembangan pendidikan negara ialah penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) pada tahun 2004. Dengan pembahagian ini KPM dipertanggungjawabkan kepada pembangunan pendidikan prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, matrikulasi dan pendidikan guru.

Rujukan:

Abdullah Sani Yahaya (2003). Perkembangan Pendidikan di Malaysia. Bentong, Pahang: PTS Pub & Distributor Sdn. Bhd.

Fadzilah bt Abdullah (1996). Dasar Pendidikan Kebangsaan. Kuala Lumpur: As Noordeen.

Laporan Jawatankuasa Kabinet (1984). Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sufean Hussin (2002). Dasar Pembangunan Pendidikan Malaysia. Teori dan Analisis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Sheela Abraham (1993). Sejarah Perkembangan Negara. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Tajul Ariffin Bin Nordin (1993). Perspektif Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Tengku Anuar (1990). Pengetahuan Kenegaraan Malaysia. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.

Artikel lain yang mungkin berkaitan...
HIDUP SEORANG BLOGGER

Semua artikel yang terkandung di blog ini hanya pandangan penulis semasa-mata, melainkan artikel berbentuk ilmiah/berita/informasi yang setiap satunya akan disertakan sumber rujukannya sekali.


Menyalin atau menerbitkan semula sebarang artikel daripada blog ini adalah dibenarkan untuk tujuan kebaikan. Semoga lebih ramai yang akan mendapat manfaat daripadanya.


Sebarang persoalan yang berkaitan dengan kandungan blog boleh dikemukan melalui Email.

 

29 Responses to “Sejarah Perkembangan Sistem Pendidikan Di Malaysia”

  1. 1

    Penulisan ini dibuat berdasarkan keperluan tugasan. Oleh itu, berkemungkinan terdapat pernyataan yang dituliskan secara ringkas sahaja. Rujukan dan pembacaan lanjut perlu dibuat bagi mendapatkan maklumat yang benar-benar terperinci. Harap maklum.

  2. 2

    Saya Siti pelajar IPTA ingin bertanya kepada encik tentang sistem pendidikan selepas merdeka. Apakah tindakan-tindakan yang dilakukan oleh kerajaan dalam usaha untuk menyusun semula sistem pendidikan negara selepas merdeka? Apakah pertimbangan-pertimbangan yang diberi perhatian dalam proses penyusunan tersebut?

    Harap encik dapat memberi pandangan tentang soalan yang telah diajukan ini.

    sekian terima kasih.

  3. 3

    Maaf Cik Siti kerana lambat memberikan respon..
    Bagi menjawab persoalan cik Siti tu, cik Siti boleh rujuk artikel/penulisan bertajuk: Strategi bagi menjayakan Dasar Pendidikan Kebangsaan (di blog ini juga – boleh rujuk link berikut: http://kulanzsalleh.blogspot.com/2009/07/strategi-bagi-menjayakan-dasar.html). Rasanya persoalan cik Siti tu ada kaitan dgn artikel/penulisan berkenaan..

    Terima kasih kerana sudi melawat blog ini..

  4. 4

    Hi. I read a few of your other posts and wanted to know if you would be interested in exchanging blogroll links?

  5. 5

    Pohon kerjasama melampirkan rujukan maklumat di atas.. terima kasih..

    • 6

      dah update tu, harap dapat membantu

  6. 7

    salam encik,boleh tak saya minta izin untuk copy artikel tuan ini di blogspot pendidikan saya?TQ

    • 8

      Salam,
      boleh, xda masalah.. memang utk perkongsian bersama :)

  7. 9

    salam..
    saya mohon jasa baik tuan untuk menerangkan tentang pendidikan vernakular punca masalah pepaduan kaum di malaysia

    • 10

      Salam,
      Persoalan yang dikemukakan ini merujuk kepada masa sekarang atau sebelum merdeka? Perlu jelas sebab mungkin terdapat perbezaan faktor bagi kedua-dua zaman tersebut.

      Bagaimanapun secara umumnya, Sekolah vernakular atau berbeza aliran pada asalnya adalah satu tindakan psikologi British supaya tidak ada kerjasama di antara orang Melayu dengan kaum lain. Dan tidak dinafikan tindakan itu sedikit-sebanyak telah menyebabkan terbentuknya masyarakat yang mempunyai sentimen dan identiti perkauman yang menebal disebabkan pemikiran berbeza. Puncanya:
      1. Kandungan kurikulum yang berbeza menyebabkan wujud fahaman politik yang berbeza dan tiada penyatuan. Sebagai contoh, selepas Revolusi 1911 di China, pengaruh unsur-unsur politik negara China telah diserap masuk dalam sekolah Cina di Tanah Melayu. Begitu juga sekolah Melayu dan India yang juga mempunyai fahaman sendiri.
      2. Penetapan lokasi sekolah yang berbeza (Melayu – perkampungan, Cina – pekan/bandar, India – estet)menyebabkan terbentuknya masyarakat majmuk perkauman yang terpisah dari segi interaksi sosial, di mana hubungan antara kaum tidak akrab, meskipun keadaan sosialnya aman.
      3. Kewujudan sekolah vernakular masih menjadi pertikaian beberapa pihak. Sekolah ini kononnya menunjukkan yang bangsa Melayu gagal mendaulatkan bahasa di tanahair sendiri. Justeru ia menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan pihak terbabit dan ini salah satu punca meletusnya ketidaksefahaman antara pelbagai kaum.

      Jika ada fakta di atas yang mungkin kurang tepat, harap maaf. itu mungkin hanya pandangan peribadi saya.

      Untuk penerangan lanjut, boleh rujuk dariapda buku:
      1. Ho Hui Ling. 2004. Darurat 1948-1960: Keadaan Sosial di Tanah Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
      2. Sheela Abraham. 1993. Sejarah Perkembangan Negara. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

  8. 11

    assalamualaikum..
    saya ingin bertanya,,, bagaimana pendidikan djdikan sbgai asas keutuhan masayarakat dan sbgai paradigma dlm mmbentuk pemkikiran bersepadu di malaysia…
    harap encik reply ye,,,hahahaha

    • 12

      walaikumsalam,
      ni untuk buat assignment ke? :D

      Jawapan untuk persoalan yang dikemukakan…
      Melalui pengajaran pelbagai unsur ilmu pengetahuan di samping penyerapan nilai-nilai murni berlandaskan ajaran agama/moral. Jawapan untuk persoalan itu sebenarnya ada tersirat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Bolehlah dirujuk yang tu.. :D

      • 13

        hehehehe…just umtuk memantapkn lgi…..terima kasih…

  9. 14

    Salam.
    Boleh saya dapatkan info mengenai sejarah perkembangan ICT/TMK dalam pendidikan di Malaysia.

    • 15

      Salam,
      Rasanya ada juga info pasal ICT tu, tapi tak ingat mana letak. Tapi mungkin saudara boleh merujuk salah satu bahan rujukan yang mengandungi info tentang perkembangan penggunaan ICT dalam pendidikan. Online pun ada, boleh lihat: Buku Pembangunan Pendidikan 2001-2010. Rujuk Bab 8 – ICT Dalam Pendidikan. harap dapat membantu

  10. 16

    Terima kasih. Membantu sangat2 untuk saya bakal pendidik yang akan melangkah masuk ke dalam sistem tak lama lagi.

    • 17

      untuk perkongsian bersama,
      terima kasih juga singgah di sini :)

  11. 18

    salam…
    saya nak minta izin untuk menngunakkan maklumat yang ada dalam ruangan ini sebagai bahan rujukan dalam projek tahun akhir saya…

    maklumat yang disiarkan sgt menarik dan bertepatan dengan apa yang saya cari-cari selama ini..
    mohon kebenaran untuk menggunakan..

    • 19

      Salam,
      keizinan memang sentiasa diberikan kepada sesiapa yang memerlukan.. terima kasih :)

  12. 20

    sy guna info2 di sini utk interview bln depan.thanxs

    • 21

      alhamdulillah, harap dapat membantu

  13. 22

    salam..
    saya mohon en kulanz spesifikkan sumber di setiap perenggan boleh x?

    • 23

      nanti saya rujuk semula artikel asal :)

  14. 24

    salam..saya sedang buat research mengenai literature component in English (sek menengah) dan saya tengah mengumpulkan maklumat mengenai sejarah bahasa Inggeris dan pengenalan literature component in English at secondary schools. Bagaimana saya boleh dapat info menganai ini ye? harap Encik dapat tolong saya. Artikel mana yg patut saya baca? Terima kasih.

    • 25

      saya akan rujuk kepada seseorang yg mungkin ada maklumat ni, jika ada, saya akan maklumkan ASAP

  15. 26

    salam..
    sy ingin bertanya mengenai perkembangan pendidikan di malaysia pada peringkat ipta sebelum dan selepas merdeka.

    • 27

      saya mungkin ada sedikit bahan (ringkas) tentang perkembangan pendidikan tinggi ni.. saya akan berikan maklumat tu malam nanti

  16. 28

    Salam, saya nak tahu tentang kronologi perkembangan sukatan mata pelajaran Matematik di sekolah rendah semenjak selepas Perang Dunia Kedua. Boleh encik bantu saya ?

Leave a Reply

Kongsi artikel terbaharu anda