Seminggu di Hospital Pitas

Ahad lepas, 08/04/2012, saya membawa anak saya, Atilia ke wad kecemasan Hospital Pitas selepas jarinya cedera (boleh baca entri Cabaran Getir Ibu Bapa). Selepas rawatan, Atilia perlu ditahan di wad hospital untuk pemeriksaan lanjut dan juga untuk menghabiskan antibiotik selama seminggu. Di wad, Atilia dijaga oleh isteri saya sementara saya pula menjaga abang dan kakak Atilia sebab perlu pergi ke sekolah.

Hospital Pitas

Semasa menerima rawatan di wad kecemasan Atilia mendapat layanan yang baik daripada beberapa jururawat. Malah doktor yang berada di bilik rawatan juga merupakan seorang yang sayangkan kanak-kanak. Atilia tidak sedar pun jarinya sedang dijahit kerana doktor yang bersama ketika itu pandai menarik perhatian Atilia melalui permainan ‘Angry Birds’ pada iPhone yang saya pinjamkan.

Keadaan mereka semasa di wad pun cukup memuaskan. Jururawat yang bertugas di wad kanak-kanak boleh dikatakan terlatih dan memberikan layanan baik sesuai dengan apa yang sepatutnya diterima oleh kanak-kanak. Bukan Atilia seorang, semua pesakit mendapat layanan yang baik. Isteri saya selalu bercerita tentang jururawat di sini yang cukup perihatin. Itulah pengalaman yang dilaluinya sepanjang berada di sana.

Bagaimanapun keadaan ini berbeza dengan pengalaman saya berhadapan dengan dua keadaan ini.

Makanan Rosak

Hari Isnin, 09/04/2012. Saya datang ke hospital kerana Atilia perlu menjalani x-ray. Semasa kami berada di bilik x-ray, isteri saya pula  menemankan anak sulung membelikan makanan ringan di kedai runcit yang beroperasi di bangunan hospital. Selepas rawatan selesai, makanan dibuka, terus masuk ke dalam mulut. Hanya selepas itu baru saya perasan macam ada yang tidak kena pada makanan yang dipegang Atilia.

Makanan Rosak

Memang sah, makanan tersebut telahpun rosak (luput tarikh) Sangat kesal dengan perkara tersebut, saya turun ke kedai runcit tadi dan tunjukkan makanan rosak yang mereka jual.

Saya beritahu penjaga kedai yang makanan dijualnya sudah rosak. Dia meminta maaf dan menggantikan dengan yang baru. Kalau saya ikutkan hati, saya boleh laporkan kepada doktor atau pengarah hospital, biar dia kena! Tapi tak sampai hati sebab dia mengaku kesilapannya. Cuma saya ingatkan dia supaya sentiasa memerika makanan yang dijual di sana. Faham sajalah bukan semua pembeli tahu memeriksa tarikh luput makanan apatah lagi kanak-kanak. Maka tanggunjawab merekalah untuk memeriksa.

Pengawal Keselamatan Menceroboh!

Sabtu, 14/04/2012. Sepatutnya masa melawat tamat jam 7.30, tetapi disebabkan saya perlu menunggu anak saya menghabiskan antibiotik yang ditetapkan selama sejam,  maka saya terpaksa berada di wad sehingga jam 7.40 malam. Waktu itu tabir yang menjadi sempadan katil telahpun ditutup kerana isteri saya juga hendak menggantikan pakaiannya.

Tiba-tiba tabir diselak oleh dua orang pengawal keselamatan. Dengan nada kasar pengawal keselamatan tadi memberitahu dengan keras “Bos, habis sudah masa melawat!” Saya membalas dengan nada yang juga keras, “Tutup dulu tabir tu, isteri saya mahu ganti pakaian!” Bayangkan, pengawal tadi bukannya terus menutup tabir, tetapi sempat lagi menjeling ke arah isteri saya. Sampai dua kali ayat tu saya ulangi baru pengawal keselamatan tadi menutup tabir.

Memang cukup geram dengan tindakan pengawal keselamatan tadi yang tanpa memberi salam atau sebarang isyarat terus menyelak tabir. Mujurlah isteri saya belum membuka pakaiannya, kalau dia tengah membuka pakaian, saya tidak akan jawab dengan perkataan, tapi jawab dengan terajang!

Saya bukannya memandang rendah kepada jawatan pengawal keselamatan, tapi polis yang menyerbu masuk ke rumah orang pun akan beri isyarat sebelum memecahkan pintu, inikan pula pengawal keselamatan hospital?  Kuasa apa yang mereka ada sehingga dibolehkan membuka tabir wad pesakit tanpa memberitahu? Pengawal keselamatan yang bertugas agak kurang sopan dan mungkin tidak pernah menerima latihan. Harap pihak hospital mengambil perhatian perkara ini. Jangan sampai sudah terantuk baru tengadah. Nanti tidak pasal-pasal ada orang bertumbuk di hospital!

Mirror

Ahad, 15/04/2012. Anak saya kembali ke rumah dengan tangan masih berbalut plaster. Kami bersyukur kerana selepas seminggu menempuh ujian di wad dan di rumah, akhirnya semua keluarga berkumpul bersama. Selepas ini akan menerima rawatan susulan di hospital setiap dua hari untuk mencuci luka.

Sepanjang tempoh rawatan ini juga mungkin saya tidak akan meluangkan banyak masa online. Harap maaf jika masih ada persoalan yang belum sempat dijawab.

Kepada doktor dan jururawat yang merawat Atilia dan menjaga makan minum mereka di sepanjang seminggu sana, jutaan terima kasih kami ucapkan. Hanya Allah SWT yang dapat membalas jasa baik kalian semua.

Please like & share:

Comments

  1. says

    Salam,

    Masa anak saya di wad pediatrik..kami ibu dan bapa diberi kad…bila2 sahaja boleh datang melawat,tak salah.Melainkan saudara mara kena hadir waktu melawat sahaja.Kalau saya memang dia dah kena terajang…dah bagi amaran 2 kali.

    • kulanz says

      Salam, kalau hospital lain mmg selalunya ibu bapa dpt kad.. Hospital tu tak ada plk.. Pasal tu lah pengawal tu macam samseng main serbu saja.. Nasib baiklah x ada yg mencabar kesabaran sgt, klu x mmg sah diorang kena malam tu

  2. says

    Moga2 anak bro lekas sembuh

    Aku membaca pun dah geram dengan kegopohan pengawal tu
    Hairan juga bila pengawal keselamatan boleh buat pemeriksaan hingga ke katil pesakit
    Memang dalam bidang tugas mereka begitu ke?

    • kulanz says

      Insyaalllah, bro
      memang sepatutnya diorang dihadkan daripada buat macam tu..
      tapi tak taulah, mungkin petugas malam tu memang jenis yang tak sopan

  3. says

    saya tak pernah lagi masuk ke Hospital Pitas bro..
    memang baguslah jika staff hospital memberi layanan yang baik kepada anak-anak..
    kurang sikit sakit mereka..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>